ANDI KAMAROOL memperlihatkan reaksi yang sungguh berbeza.
Dia meluruskan badan,
menegakkan kepala. Sepasang matanya bercahaya garang
terpanah ke wajah Haji Simpul.
Pandangan mereka bertembung, sama-sama tidak mahu mengalah.
Hati saya kembali berdebar,
bimbang terjadi sesuatu yang tidak diingini. Lebih dari lima
minit mereka beradu kekuatan, selama
itu jugalah jantung saya berdenyut kencang.
Ternyata dalam pertarungan itu, kekalahan berada di pihak
Andi Kamarool. Matanya, berair dan
meleleh di cerun pipi. Andi Kamarool tidak mampu menandingi
kekuatan anak mata Haji Simpul.
Dengan segera Andi Kamarool mengalihkan pandangan ke arah
lain. Dia merenung ke lantai.
Suasana dalam rumah terasa sepi sekali. Sukar untuk
diramalkan, siapakah di antara kami bertiga
akan bersuara lebih awal.
"Bagaimana Andi?" Andi Kamarool panggungkan
kepala. Dengan sinar mata yang layu dia renung
muka Haji Simpul.
"Apa dia tuan haji."
"Boleh kamu beritahu keputusannya sekarang," kata
Haji Simpul.
"Maafkan saya, susah nak buat keputusan. Nanti dululah,
tuan haji. Bila sampai masanya, saya
beritahu tuan haji."
Jawapan Andi Kamarool itu membuat Haji Simpul mengkerutkan
dahi dan termenung sejenak.
Macam ada sesuatu yang difikirkannya. Tiba tiba dia senyum
sinis sambil merenung keluar,
melihat dedaun pisang yang melintuk-liuk ditolak angin
rembang.
"Nanti dulu tu, bila Andi?" Haji Simpul minta
kepastian. Andi Kamarool terus membisu dan resah.
Dua tiga kali dia menelan air liur.
"Seminggu, sebulan atau dua bulan?" Tambah Haji
Simpul.
"Nanti, saya beritahu kemudian, tuan haji."
"Tapi…… kamu suka pada Mia."
"Iya tuan haji," angguk kepala Andi Kamarool.
"Mia juga sukakan Andi, tuan haji," sampuk saya.
Air muka Andi Kamarool berubah. Dia tersipusipu.
"Perkara tu, saya tak tahu tuan haji," Andi
Kamarool gelengkan kepala tanpa mahu merenung ke
arah saya.
"Kalaulah cakap Tamar betul, jangan persiakan hajat
Mia," tambah Haji Simpul bersama senyum
panjang. Penuh makna dan kiasan. Ternyata senyuman yang
terukir di kelopak bibir lelaki tua itu,
membuat Andi Kamarool menundukkan wajahnya merenung lantai.
SALAH
BILA melihat Andi Kamarool berada dalam keadaan serba salah,
saya tersenyum panjang. Andi
Kamarool tahu, senyuman saya itu menyindirnya. Buktinya Andi
Kamarool, mencubit paha saya
sambil menunjukkan penumbuk. Haji Simpul yang nampak gelagat
Andi Kamarool ketawa kecil.
"Mahu bergaduh," katanya.
Kami berdua cuma mampu tersenggih saja.
Setelah hampir dua jam berlabuh di rumah Haji Simpul,
banyaklah rahsia tentang rumah batu,
tentang ladang peninggalan orang tua Mia, kami ketahui. Apa
yang kami perolehi tetap menjadi
rahsia, tidak boleh disebarkan kepada orang lain. Itu pesan
Haji Simpul yang pasti patuhi. Kalau
dilanggar, padahnya sedia menanti. Apakah padah yang
menanti, tidak pula diberitahu kepada
kami.
Saya dan Andi Kamarool segera minta diri untuk pulang.
Dengan senang hati Haji Simpul
merestui kepulangan kami.
"Silakan, hati-hati dengan orang yang kamu temui. Kalau
boleh, rahsiakan kedatangan kamu
berdua ke sini jika ada yang bertanya. Kalau tak ada yang
bertanya, lagi bagus," dari muka pintu
Haji Simpul mengingatkan kami. Apa yang mampu kami lakukan
ialah menganggukkan kepala.
Sebaik saja telapak kaki memijak bumi, secara tidak semena-mena
hujan panas turun berderai.
Kami terpaksa naik ke rumah kembali. Haji Simpul turut
merasa hairan dengan peristiwa yang
terjadi. Menurutnya, jarang terjadi hujan panas turun
mendadak tanpa sebarang tanda. Dia
bergegas turun ke kaki tangga lalu mendonggakkan kepala ke
langit.
"Hujan biasa," katanya selamba. Dia naik semula ke
rumah. Bersila seperti tadi di ruang tamu
yang luas. Kali ini perbualan dan cerita sudah habis
diluahkan. Bagi mengatasi kesepian. saya
dan Andi Kamarool lebih hanyak bercerita tentang minat diri
kami pada Haji Simpul. Orang tua
yang baik hati itu sedia mendengarnya. Meskipun cerita yang
kami tuturkan tidak layak untuknya
dan membosankan.
Haji Simpul mempelawa kami makan tengah hari dan sembahyang
zuhur di rumahnya.
Permintaannya tidak kami hampakan. Makan nasi dengan sayur
lemak pucuk ubi, sambal belacan
berulamkan jering muda yang dihidangkan oleh piut Haji
Simpul memang menyelerakan.
Kira-kira pukul tiga petang, rumah Haji Simpul kami
tinggalkan. Saya dan Andi Kamarool
menyusuri jalan tanah merah hingga sampai ke kawasan kedai
sederet.
Kerana cuaca tidak begitu panas, angin bertiup berterusan
menyebabkan badan kami kurang
berpeluh. Kedai runcit paling hujung kami masuki.
Andi Kamarool membeli kira-kira tiga kepul beras, ikan
masin, tiga biji telur ayam dan sedikit
sayur segar.
"Cukup tak, untuk kita makan malam Tamar."
"Lebih dari cukup, Andi."
Andi Kamarool segera menjelaskan harga barang yang dibeli
kepada si penjual bertubuh kecil,
berkulit hitam manis dan sentiasa senyum.
"Terima kasih, saya jual, halal," katanya.
"Saya beli, halal," balas Andi Kamarool. Mereka
berbalas senyuman dan akhirnya saling
bersalaman.
ASING
MUNGKIN kerana kami orang asing,sudah tentu kedatangan kami
ke kedai runcit paling hujung itu
jadi perhatian para pelanggan kedai sederet.
Semasa mahu keluar dari kedai runcit, secara tidak sengaja
bahu kiri saya berlaga dengan bahu
seorang lelaki setengah baya yang mahu masuk ke kedai
runcit.
"Maafkan saya."
"Tak mengapa, sepatutnya saya yang minta maaf bukannya
kamu, saya yang tak merenung
orang," kata lelaki yang setengah baya. Kami segera
bersalam. Kemudian Andi Kamarool juga
turut bersalaman.
"Tetamu Mia?"
Kami segera anggukkan kepala. Hairan, bagaimana lelaki
setengah baya itu tahu yang kami jadi
tetamu Mia. Saya renung batang tubuh lelaki itu dari atas ke
bawah. Dari bawah ke atas hingga dia
resah semacam.
"Adik saya bekerja di ladang Mia, dia jadi mandor
parit. Dia yang ceritakan kepada saya tentang
kamu berdua."
"Begitu," sahut kami serentak dengan perasaan
lega.
Kerana berdiri di laluan orang keluar masuk, kami segera
beredar dari situ. Berlabuh di kaki lima
kedai runcit. Orang yang lalu di situ, kalau merenung akan
menjeling ke arah kami.
"Bagaimana dengan pengalaman di sana?"
Pertanyaan yang menimbulkan rasa cemas dalam hati. Saya dan
Andi Kamarool saling
berpandangan. Saya beri laluan pada Andi Kamarool untuk
menjawab.
"Macam biasa," jawab Andi Kamarool.
"Tak mengalami perkara-perkara ganjil."
"Maksudnya?" celah saya.
Lelaki itu terdiam, macam berfikir sesuatu.
"Maksudnya," sambung lelaki setengah baya,"
kata orang kawasan rumah tu ada penunggu,
hebat juga bila awak berdua boleh tinggal di situ."
"Hummmmm...kami tak alami semuanya itu," saya
membohonginya.
Andi Kamarool tersenggih. Dia mula menyedari yang saya mula
jual temberang. Apa yang pasti,
kata-kata saya tadi membuat lelaki setengah baya itu
termenung panjang. Saya tidak tahu, apakah
dia percaya atau tidak. Pokoknya, saya dan Andi Kamarool
tidak mahu dia bertanya lebih
terperinci tentang kami, tentang rumah batu, tentang Mia.
"Dah jumpa Haji Simpul."
Lagi sekali kami dikejutkan oleh lelaki setengah baya. Kami
kini, berada di saat yang sungguh
genting. Kalau tidak berhati-hati, semua rahsia akan
terbongkar.
"Kami tak kenal dia," sahut saya.
"Tak adakah pekerja Mia yang beritahu tentang kehebatan
Haji Simpul."
"Tak ada," Andi Kamarool mula menjawab.
"Pembantu rumah Mia, si Harisun."
Jawapan saya itu membuat lelaki setengah baya menarik nafas
dalam- dalam. Dia mengigit bibir
sambil merenung orang yang lalu lalang di jalan tanah merah.
Kemudian merenung bungkusan
yang dibimbit oleh Andi Kamarool. Dari air mukanya, dapat
diduga keinginannya untuk
mengetahui apa yang ada dalam bungkusan.
"Barang dalam bungkusan tu, untuk makan malam."
"Ha..." lelaki setengah baya tersentak. Dia
terkejut kerana tidak menduga yang saya mahu
memberitahu barang dalam bungkusan (di tangan Andi Kamarool)
kepadanya.
"Nampaknya, awak berdua ni bukan sebarang orang, dada
awak berisi," nada suaranya lembut.
"Itu sangkaan saja," balas saya.
Mungkin menyedari yang kami tidak memberi tindak balas yang
baik dan berfaedah untuk dirinya,
membuat lelaki separuh baya itu tawar hati untuk mengajukan
sebarang pertanyaan kepada kami.
"Biar saya masuk kedai dulu, saya nak beli rokok,"
dia minta diri secara hormat dan spontan.
"Silakan," saya memberi laluan.
"Terima kasih."
Lelaki setengah baya itu pun masuk ke kedai runcit. Dan kami
pun beredar dari kaki lima kedai
runcit tersebut.
SELATAN
MUNGKIN rencana yang disusun begini, setelah membeli barang
di kedai runcit, kami harus
meninjau arah selatan kawasan kedai sederet. Kemudian
bergerak lagi menyusuri sebatang parit
kecil yang airnya tidak seberapa. perjalanan akan berakhir
di satu kawasan lapang, di mana
terdapat kira sepuluh buah rumah papan.
Kami harus minta tolong pada para penghuni rumah di kawasan
tersebut agar menunjukkan di
mana rumah kaum kerabat Kak Sun. Ternyata, rancangan kedua
tidak terlaksana. Baru kira-kira
setengah rantai menyusur tepi parit, kami bertembung dengan
seekor ular sawa sebesar batang
pinang. Ular sawa itu, seolah-olah menanti kedatangan kami
dengan perasaan marah. Si ular
membuka mulut dengan luas, bersedia untuk membelit tubuh
salah seorang dari kami.
Saya dan Andi Kamarool mencari jalan selamat. Kami berpatah
balik dan lari dengan sekuat-kuat
hati, meredah onak dan duri. Sebaik saja kami memasuki
kawasan ladang Mia, Kak Sun menanti di
bawah pohon sena yang berdahan rendang.
"Kamu jumpa Haji Simpul," katanya.
Kami tidak menjawab dan meneruskan perjalanan ke rumah papan.
Kak Sun terus mengekori.
"Kenapa tak beritahu aku," tambahnya.
Kami terus membisu. Langkah dipercepatkan. Kak Sun tidak
putus asa. Dia terus bertanya.
"Kamu berdua memang tidak tahu menghargai budi baik
orang. Menyesal aku berbudi kepada
kamu," Kak Sun tidak dapat mengawal perasaan, seperti
tadi juga, kami buat tidak kisah dengan
apa yang dituturkannya.
Kami berpisah dengan Kak Sun sebaik saja sampai di halaman
rumah batu. Tergesa-gesa dia
masuk ke rumah batu dan kami meneruskan perjalanan ke rumah
papan.
Peristiwa bertemu ular sawa di tepi parit, meninggalkan
kesan yang mendalam di hati kami.
Pelbagai tanggapan dan andaian muncul dalam kepala saya dan
Andi Kamarool.
Kesimpulannya, ternyata Kak Sun mempunyai peranan yang
tersembunyi dalam perkara ini. Dia
menjadi dalangnya. Dia menjadi orang suruhan penunggu rumah
batu.
"Paling baik untuk keselamatan berdua. kita jangan ke
mana-mana malam ni," turut saya sambil
menatap wajah Andi Kamarool yang gusar. Dia bersandar di
dinding.
Kita tak pergi jemaah maghrib dan Isyak dengan orang kampung
sebelah?"
"Tak payah, kalau kita pergi entah apa pula yang
terjadi."
"Ok, sahut Andi Kamarool. Dia tidak memperlihatkan
sebarang reaksi.
PENDEK
SETELAH menunaikan sembahyang Isyak dan melakukan wirid
pendek. Kami terus ke dapur,
masak ala kadar untuk makan malam. Kali ini Andi Kamarool
memperlihatkan bakat tersembunyi
dalam bidang masak memasak.
"Sedap," itu komen yang setelah perut kenyang.
"Itu baru permulaan," sahut Andi Kamarool, saya
sambut dengan ketawa yang panjang. Ketawa
saya terhenti dengan serta merta.
Andi Kamarool menahan nafas, pinggan dan piring di depan
bergerak ke kiri dan ke kanan.
Terdengar seperti orang bersilat di ruang tamu. Dinding
rumah seperti dipalu dengan kayu. Pada
saat itu juga muncul lembaga hitam dengan sepasang tangan
dan kaki yang berbulu.
"Pengawal rumah batu," bisik Andi Kamarool.
"Barangkali, segala-galanya akan berakhir di sini,
Andi," kata saya cemas.
"Bertenang, Tamar."
Lembaga hitam itu kian berani, wajahnya yang selama ini
disembunyikan dari kami
dipamerkannya. Bentuk wajahnya agak bulat, bibirnya tebal
melentur ke bawah, menutup
bahagian dagunya yang tajam macam muncung musang. Telinganya
macam telinga kuda.
Sepasang biji matanya yang sebesar telur ayam tersembul
keluar, memancarkan cahaya merah
dan biru silih berganti. Kulit mukanya berbulu, macam bulu
kuda. Dalam tempoh lima minit,
wajahnya boleh bertukar menjadi harimau, anjing, ular tedung
atau orang utan.
Apa yang terjadi membuat saya tergamam, mati akal untuk
berikhtiar. Semua ayat-ayat Quran
yang saya amalkan selama ini, tidak dapat saya ingati. Saya
lupa dan bodoh. Segala-galanya saya
serahkan kepada Andi Kamarool untuk mengendalikannya.
"Biar aku uruskan semuanya, Tamar."
"Terpulanglah pada kamu Andi."
Dengan perlahan-lahan Andi Kamarool berdiri, berdepan dengan
lembaga yang mengerunkan.
Bau nafas si lembaga hitam amat busuk sekali, macam bau
bangkai. Tekak saya jadi loya dan
mahu muntah.
"Aku terpaksa menentangnya, Tamar," kata Andi
Kamarool setelah dia berdiri di sudut yang baik
untuk melakukan serangan. Biji mata lembaga menyorot setiap
gerak-geri dan langkah Andi
Kamarool dengan teliti. Sepasang tangan yang berbulu
digerakkan ke kiri dan ke kanan.
"Aku terpaksa, Tamar."
Selesai saja dia bersuara, Andi Kamarool terus melompat dan
membuka silat bangau putih, tubuh
lembaga diserang dengan tendangan yang padu, buah penumbuk
dilepaskannya ke sasaran yang
dikirakan dapat melemahkan si lembaga hitam. Temyata
semuanya tidak berbasahi badan.
Andi Kamarool merangkak perlahan-lahan mendekati saya.
Lembaga hitam yang berbulu tebal
terus menyeringgai memperlihatkan deretan gigi sebesar
kapak.
"Aku mesti mencuba dengan pelbagai cara, kau bantu
Tamar."
"Bantu dengan apa Andi?"
"Dengan apa saja," kata Andi Kamarool.
Dia terus mengambil air sembahyang. Kemudian duduk bersila
di kanan saya. Kerana saya hafaz
yassin, saya terus membacanya dalam hati. Andi Kamarool
terus berzikir. Lembaga hitam, tidak
berganjak di depan kami. Dia semakin garang, pinggan dan
piring terus berterbangan dan hancur
berderai.
Saya terkejut besar, secara mendadak Andi Kamarool melompat
ke arah tangan kanan lembaga
hitam yang berbulu. Tangan lembaga itu, dipegangnya sekuat
hati dan pada saat itu juga wajah
lembaga yang mengerunkan itu bertukar menjadi wajah Kak Sun.
"Muka Kak Sun," jerit saya sekuat hati.
Dengan sekelip mata, lembaga hitam ghaib depan mata kami. Di
tangan kanan Andi Kamarool
tergenggam seruas buluh kuning yang sudah hampir reput.
Manakala di sebelah kiri saya terdapat
cebisan kain kafan yang dilekati tanah merah. Saya menggigit
lidah menahan rasa cemas yang
menggoncang dada.
"Kita berhasil mengusirnya Tamar" nada suara Andi
Kamarool riang.
"Semoga dia tak datang lagi."
"Aku juga harap begitu, kita bersihkan serpihan
pinggan. piring dan gelas," Andi Kamarool segera
mencampakkan seberkas penyapu lidi kepada saya.
Ruang dapur yang berserakkan dengan serpihan tembikar
pinggan, piring dan kaca gelas terus
dibersihkan. Dilonggokkan di suatu sudut ruang dapur,
sebelum disumbatkan, ke dalam raga
sampah. Tetapi bau busuk masih berlegar-legar di ruang
dapur. Beberapa helai bulu, seperti bulu
nibung terlekat di dinding.
"Aku fikir bulu tu, milik makhluk aneh," kata
saya.
"Aku fikir juga macam tu, biarkan di situ. Jangan di
usik," jawab Andi Kamarool.
BEREDAR
KERANA semuanya sudah selesai. Kami pun beredar ke ruang
tamu. Andi Kamarool terus
berzikir. Dan saya juga turut berzikir.
Suara Andi Kamarool yang keras beransur menjadi lemah dan
perlahan, akhirnya terus hilang.
Bila saya toleh ke arahnya. saya dapati dia sudah rebah di
lantai. Dia keletihan, fikir saya.
Bila berseorangan, saya tidak dapat meneruskan wirid dengan
baik. Macam-macam yang datang
dalam tempurung kepala. Badan saya rebahkan di sisi Andi
Kamarool dengan harapan dapat tidur
segera.
Setengah jam masa berlalu tetapi, saya masih belum tidur.
Masih mengiring ke kanan, mengiring
ke kiri, menelentang menatap lelangit rumah. Berpuluh-puluh
kali, kelopak mata saya rapatkan
tetapi, mata saya masih terbeliak, masih segar tidak ada
sedikit pun tanda-tanda mahu
mengantuk.
Suasana malam yang sepi membuat saya tidak tentu arah. Rasa
takut dan cemas silih berganti
datang dalam diri.
Bila terdengar suara lolongan anjing, suara burung hantu,
desiran dedaun yang berlaga sama
sendiri membuat bulu roma yang tegak berdiri. Rasanya, pada
saat itu juga saya mahu
mengejutkan Andi Kamarool. Biarlah dia tidur, saya membuat
keputusan.
Saya terus duduk mencangkung memeluk sepasang lutut,
merenung tiap sudut ruang. Beberapa
ekor cicak berlarian di dinding dan ke langit mengejar seranga
yang merayap di situ. Apa yang
peliknya, saya sentiasa merasa cemas, takut dan seram.
Bagi mengatasi masalah tersebut, saya harus melakukan
sesuatu. Dengan berbuat demikian
secara langsung rasa seram dan takut akan terusir dari saya.
Tiba-tiba secara tidak sengaja, saya terpandangkan dupa
tembaga di tepi tiang. Di kaki tembaga
terdapat beberapa ketul kemenyan. Tanpa berfikir panjang,
saya terus membakar dan
menghidupkan bara api dalam dupa. Ketul kemenyan saya
pecah-pecahkan menjadi butir-butir
kecil. Bahang bara dari dupa menghangatkan tubuh.
Butir-butir kemenyan saya campakkan ke dalam dupa. Asap
nipis mula mengembang bersama
bau yang kurang menyenangkan.
Dua tiga kali saya tersedak dan mata terus berair. Bila
sudah begitu. saya sepatutnya berhenti
mencampakkan butir-butir kemenyan dalam dupa. Tetapi, saya
tidak berbuat demikian, sebaliknya
saya terasa seronok bermain dengan bara dan asap kemenyan.
Akibat dari keseronokkan tanpa batas itu, seluruh ruang
dipenuhi dengan asap kemenyan
membuat saya sesak nafas.
Dalam kepulan asap itu, saya terlihat pintu sebelah kanan
dan kiri (yang pernah digunakan oleh
datuk dan Haji Basilam) bergerak dengan kuat memukul
dinding.
Bunyinya memekakkan anak telinga. Rumah bergegar semua
barang yang tergantung dan berada
di tempat tinggi, jatuh berserakkan di lantai. Batang tubuh
Andi Kamarool bergolek ke arah pintu
ruang dapur, terkandas di bendul. Anehnya, Andi Kamarool
tidak terjaga dari tidur.
Saya cuba berdiri tetapi, tidak berhasil. Saya mula terasa
rumah seperti berpusing, macam gasing.
Pandangan saya berpinar-pinar. Saya cuba menjerit malangnya
suara tidak keluar. Saya benarbenar
takut dan cemas. Andi Kamarool masih terbujur macam mayat.