Nasihat yang diluahkan oleh ibunya, disambut dengan perasaan
separuh hati. Nonong tahu,
jawapan dari ibu sekadar melepaskan batuk di tangga.
Lebih-lebih lagi bila ibu menekankan
tentang ‘berdoa,’ terasa lucu sekali. Ibunya sendiri
menyaksikan dia berdoa siang malam.
Jadi kenapa perkara itu ditekankan, bila dia bercakap
tentang jodoh. Sebuah pertanyaan yang
sukar dicari jawapan pasti. Tetapi, menimbulkan tanda tanya
dan misteri yang tidak berjawap.
Kalau dikutkan hati memang Nonong tidak mahu berdoa lagi.
Dia sudah bosan dan perbuatan itu
kerja sia sia. Tuhan bagaikan menolak permohonannya melalui
doa.
Nonong juga sudah jemu berusaha, benci melihat muka dukun,
pawang dan bomoh yang bukan
sedikit mengaut wangnya. Jodoh yang diharapkan tidak juga
menjelma.
Dalam suasana kehidupan yang serba tertekan zahir batin,
Nonong berazam mahu meluluskan
dirinya dari kepompongan keluarga, dan masyarakat sekitar
yang selalu beranggapan gadis
berusia lanjut, tidak menikah merupakan tanda tidak baik untuk
keluarga, hidup tidak beruntng.
Kerana Nonong bertugas dengan kerajaan di bawah Kementerian
Luar dia berpeluang untuk
bertugas di seberang laut.
Kesempatan itu di manfaatnya dengan sebaik mungkin untuk
keluar dari suasana yang tidak
menyenangkan itu. Nonong mengemukakan permohonan untuk
bertugas di luar tanah air.
Harapannya terlaksana. Nonong gembira bukan kepalang. Dia
dihantar berkhidmat di Konsul
Republik Indonesia, di Pulau Pinang sebagai kerani.
Di Pulau Mutiara, Nonong bagaikan mengalami kejutan budaya
yang amat berbeza dengan di
Medan. Dia turut melibatkan dirinya dengan dunnia yang serba
baru dan asing itu. Nonong yang
selama ini merasakan pergerakannya agak terbatas, kini mula
mengubah cara hidupnya sesuai
dengan situasi yang dihadapinya.
Di Medan pulang sahaja dari pejabat, dia tidak kemana-mana.
Banyak menghabiskan masa
bersama ibu. Menemani ibunya mengajar tarian dan anak-anak
gadis yang berminat dalam
bidang tarian tradisional dikelas menari. Bila ibu dan
kumpulannya diundang menghiburkan
orang ternama dalam sebuah upacara penting seperti pembukaan
gedung perniagaan, ulangtahun
kemerdekaan dan sebagainya. Nonong akan turut serta.
Kerana kecantikan semulajadi yang dimiliki oleh Nonong, dia
menjadi perhatian para tetamu
undangan. Dan orang tertentu segera menyiasat latar belakang
diri dan keluarga. Tetapi, ibunya
bagaikan enggan memberi kerjasama. Dan perkara itu tidak
berlanjutan, mati begitu saja.
Keadaan di Pulau Mutiara yang serba membangun dan sibuk
menyebabkan Nonong menyususun
agenda hidup tersendiri yang berbeza dengan di Medan.
Bagaikan bumi dengan langit. Dari seorang gadis yang agak
pemalu dan sering merasa rendah
diri bertukar menjadi gadis yang periang. Dia melibatkan
diri dengan badan-badan sukarela.
Menjalinkan persahabatan dengan siapa saja. Mula berusaha
untuk menguasai bahasa Inggeris
dengan baik.
DORONGAN
Kerana desakan dan dorongan kawan-kawan, Nonong mula
mengunjungi kelab-kelab malam.
Secara beransur ansur dia mula menghisap rokok dan
berjinak-jinak dengan alkohol. Dia makin
jarang menghalakan wajahnya ke arah kiblat.
Begitulah Nonong, amat cepat berubah. Apa yang sedang
dilaluinya membuat dia lupa dengan
masalah yang menggayuti kehidupan dan dirinya. Tidak timbul
masaalah belum bertemu jodoh,
tidak kisah dengan usianya yang kian bertambah. Semuanya
sudah dilemparkan jauh-jauh dari
dalam kotak hati dan fikirannya.
Seiring dengan itu , Nonong tidak suka melihat wajahnya di
cermin, tidak suka menghias diri
untuk menarik perhatian lawan jenis. Tidak ambil peduli
dengan jiran kiri kanan rumah sewanya.
Sesuatu yang sungguh drastik bila Nonong tidak menulis surat
atau menghubungi keluarganya di
Medan. Dia bagaikan mahu menjauhkan diri dari mereka.
Ternyata usaha itu tidak sepenuhnya berhasil. Kedua-dua
orang tuanya sering mengunjunginya,
terutama ibunya yang boleh dikatakan setiap bulan datang ke
rumah sewanya. Dan secara
sembunyi-sembunyi (ketika Nonong tidur) mengusap tubuh
anaknya dengan asap kemenyan.
Kisah yang diungkap Nonong memang mengharukan. Saya
bersimpati dengan nasib yang di
alaminya. Mengapa gadis yang lambat kahwin menjadi buah
mulut masyarakat. Dan apakah
perkara seperti ini, hanya berlaku dikalangan masyarakat
melayu sahaja. Fikir saya dalam hati.
“Ada lagi yang mahu ceritakan, Nonong?” Itu yang terluah
dari kelopak bibir datuk, sebaik
sahaja Nonong berhenti bercakap dan tidak mau menyambung
lagi.
Saya resah sendirian melihat Nonong menundukkan muka.
Kedua-dua belah sayap bahunya
bergerak lemah. Mengertilah saya, bahawa gadis cantik tidak
bahagia itu sedang tersedu hiba.
Kalau sudah begini kesudahannya, tidak mungkin Nonong mahu
melanjutkan cerita. Saya
membuat andaian sendiri.
“Tak apalah memanda, cukup setakat ini saja. Hiba benar
rasanya hati.”
Saya arahkan sepasang mata ke arah Nonong. Andaian saya
hampir menjadi kenyataan.
“Maafkan saya,” lemah benar nada suara datuk.
Tiada jawapan dari Nonong. Cuma yang kedengaran sedu dan
sedannya sahaja.
Mungkin kerana hiba atau tidak mahu terpengaruh dengan
kesedihan yang melanda hati Nonong,
datuk segera bangun menuju ke jendela. Berdiri di situ,
merenung keluar. Nonong masih juga
tersedu. Dan saya tidak bergerak ke mana-mana. Sedu-sedan
Nonong beransur lemah dan
akhirnya mati begitu sahaja. Suasana di ruang makan terasa
amat sepi sekali.
Perlahan-lahan datuk melangkah kembali ke tempat asalnya.
Sejak datuk berdiri di tepi jendela,
saya tidak menumpukan perhatian ke arah Nonong, saya lebih
banyak merenung dinding rumah
tamu sambil mengelamun sendirian. Tiba-tiba datuk menyebut
perkataan Allah hu Akbar yang
diikuti dengan batuk kecil. Pada hemat saya batuk itu
sengaja dibuat-buat. Barangkali untuk
menarik perhatian saya atau Nonong.
Entah macam mana ketika saya menoleh ke arah datuk secara
tidak sengaja terpandang wajah
Nonong. Pandangan kami bertembung. Tidak percaya rasanya, Nonong
menghadiahkan senyum.
Nampak cukup menarik dan manis sekali. Tidak berkedip
kelopak mata saya memandang ke
aranya. Alam khayalan yang tidak bertepi itu, datuk batuk
lagi. Saya tahu itu batuk nakal.
Memang, ekor mata datuk tetap menyorot setiap inci pergerakan
diri saya.
“Kenapa Tamar?” Soal datuk, sepasang biji matanya merenung
tepat ke arah saya, “ kamu
nampak resah semacam saja,” tambahnya bersama senyum sinis.
“Ehhh……..” terkeluar dari kelopak bibir saya.
“Kenapa Tamar?”
Memang tidak saya duga pertanyaan itu datang dari Nonong.
Nadanya tidak lagi membayangkan
keresahan. Saya jawap pertanyaan itu dengan mengelengkan
kepala. Senyuman pun berlari di
kelopak bibir Nonong.
Aduh! Manis sekali senyuman gadis anak Deli ini , bisik
batin saya.
KESAN
Sebagai orang tua yang banyak pengalaman, datuk dapat
mengesan yang sesuana di ruang makan
agak aman. Perasaan Nonong tidak bercelaru lagi. Ketika yang
baik untuk mencungkil kisah
lampau gadis Deli yang tertonggok di sisinya.
“Perasaan kamu dah tenang Nonong?”
Nonong anggukan kepala.
“Bolehlah kamu bercerita lagi.”
“Ehhhh……memanda,” Nonong seperti tersentak. Anak mata
hitamnya dihalakan ke arah saya
untuk beberapa saat. Perlahan-lahan saya anggukkan kepala
sebagai tanda supaya Nonong
memberikan kerjasama pada datuk.
“Boleh Nonong,” ulang datuk lemah.
“Boleh,” sahut Nonong.
Datuk membetulkan duduknya supaya selesa. Bila merasai cara
duduknya serasi dengan
kemahuan hatinya, datuk mengeliat lemah. Saya menanti penuh
debar. Apakah kisah silam yang
bakal diungkapkan oleh Nonong itu akan membuka jalan bagi
menjejaki, kenapa dia tidak mahu
didampingi lelaki?.
Sepuluh minit masa berlalu, Nonong masih belum membuka
mulut, asyik merenung keluar saja.
Resah mula terpamer di wajah datuk. Dua tiga kali orang tua
itu menarik dan melepaskan nafas.
Nonong kelihatan masih bersahaja, buat tidak kisah semacam.
“Keadaan kamu bertambah kelam kabut bila mendapat tahu yang
emak kamu meninggal dunia?”
Datuk cuba memancing agar Nonong memulakan kisah.
“Memang benar memanda,” sahut Nonong pantas.
Dari gerak geri dan gambaran di wajahnya membayangkan
kesungguhan Nonong untuk
bercerita. Saya gembira dengan keputusan yang dibuat oleh
Nonong. Datuk juga barangkali
sependapat dengan saya.
“Kematian emak membuat saya seperti orang gila, berhari hari
saya menangis. Emak tidak sakit
apa-apa, mati cara mengejut. Lemah seluruh sendi badan bila
menerima berita kematiannya, saya
balik ke Medan dengan kapalterbang.”
“Kamu ikut menghantar jenazah emak kamu ke tanah kubur?”
“Iya, memanda atas permintaan ayah, emak di tanam
betul-betul atas sempadan antara kawasan
tanah kubur dengan tanah milik orang perseorangan.”
“Orang persaorangan itu tak marah?” datuk ajukan pertanyaan.
Nonong termenung sebentar,
macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.
“Ayah minta izin dari orang tu, ” jawap Nonong.
“Kenapa ayah kamu buat macam tu, kenapa tidak dikuburkan
dalam kawasan tanah kubur.”
“Itu permintaan emak saya, memanda.”
“Pelik,” keluh datuk lemah.
Perkataan “pelik” yang diucapkan oleh datuk dapat didengar
oleh Nonong. Tetapi, dia tidak
menunjukkan sebarang reaksi. Wajahnya nampak selamba sahaja.
Seterusnya, Nonong pula
meluahkan apa yang ada di dalam kalbunya pada saya dan datuk
.
Kata Nonong kematian ibunya cara mendadak tanpa sebab
sungguh mengejutkan.
“Kematian emak cara mendadak tanpa sebab sungguh mengejutkan
kaum keluarga. Masingmasing
tertanya-tanya puncanya dan setiap keluarga membuat andaian
yang tersendiri, tidak
terlepas dari anggapan yang emak jadi korban perbuatan orang
yang sakit hati terhadapnya
melalui ilmu hitam,” kata Nonong.
“Kamu pula berpendapat macam mana dalam hal ini, Nonong,”
celah datuk sebaik sahaja
Nonong berhenti bercerita. Nonong renung kearah dinding
sambil mengosok-gosok hujung
hidungnya dengan jari telunjuk.
“Saya memanda?” Nonong bertanya minta kepastian.
“Iya,” angguk datuk tenang.
“Saya tak ada apa-apa. Ajal emak sudah tiba,” jawap Nonong
penuh yain.
“Apa kata adik beradik kamu yang lain.”
“Tidak pulak saya bertanya pada mereka tentang hal itu.
Harun nampak macam biasa. Tapi
Khatijah………” Nonong tidak meneruskan, air mukanya berubah.
TERBUKU
Perubahan wajah Nonong bagaikan memberi gambaran ada sesuatu
yang terbuku dalam
batinnya. Dan datuk mahu memanfaatkan peluang itu dengan
sebaik mungkin. Datuk tahu, kalau
dia terlalai atau terlambat, Nanong akan mengalihan
persoalan yang dibincangkan kepada
persoalan lain.
“Maksud kamu Khatijah, adik kamu yang di Tanjung Pura.”
“Iyalah memanda Khatijah mana lagi,” Nonong ketawa kecil.
Datuk senyum penuh yakin Nonong berada dalam keriangan. Agar
suasana menjadi lebih rancak,
datuk turut berjenaka. Saya dan Nonong ketawa kecil, tidak
terasa berada dalam keadaan
tertekan untuk menyelesaikan sesuatu masaalah yang dikira
agak serius juga.
“Apa yang Khatijah katakan kepada kamu Nonong?”
“Ha……….” Nonong seperti tersentak.
Mungkin dia tidak menduga datuk mahu menimbulkan tentang apa
yang dikatakan oleh Khatijah
kepadanya. Nonong seperti tidak tentu arah. Sekejap garu
pangkal leher, sekejap garu cuping
telinga.
“Apa katanya Nonong?”
Dalam keadaan yang agak tertekan, datuk terus bertanya dan
mendesak. Terbukti, Nonong sudah
terjerat dan dia tidak boleh berdalih lagi.
“Cakaplah Nonong,” kata datuk terus memujuk.
“Kata Khatijah yang kebetulan berada dekat emak pada malam
kematian itu, ada sesuatu yang
ganjil terjadi sebelum emak meninggal dunia,” cukup
hati-hati Nonong mengatur kata-kata.
“Teruskan….” Desak datuk lagi, dia tidak mahu kisah itu
terhenti begitu saja. Bila kerap
berhenti, mungkin keghairahan Nonong untuk bercerita menjadi
tawar.
“Malam itu, sebelum nyawa terpisah dari badan, matanya
terbeliak merenung kemana saja.
Emak mengoyak-ngoakkan baju dan kain yang dipakai, dia
bertelanjang bulat lari ke setiap sudut
ruang rumah….”
Nonong behenti bercerita, tunduk merenung lantai.
Perlahan-lahan dia menarik dan melepaskan
nafas. Barangkali dia terfikir, menceritakan keburukan ibu
pada saya dan datuk sama seperti
menceritakan keburukan dirinya.
“Khatijah tidak beritahu kamu, ketika itu ayah kamu berada
di mana Nonong?”
Nonong angkat kepala merenung wajah datuk yang menghamburkan
pertanyaan. Saya resah
sendirian, mengaru pangkal leher yang tidak gatal. Di luar
cuaca masih macam tadi. Kicau
burung di halaman bagaikan bercampur baur dengan deru
kenderaan.
“Masa kejadian itu, ayah ke masjid. Suami Khatijah dan Harun
segera mendapatkan ayah. Sebaik
sampai di rumah ayah dengan dibantu oleh suami Khatijah,
Harun segera bertindak. Ayah
menyelimutkan emak dengan kain gebar tiga warna yang diambil
dari bawah katil.” Lagi sekali
Nonong berhenti bercerita. Dia memicit-micit kepalanya.
“Kenapa Nonong?” Tanya saya.
“Aku pening Tamar, aku terasa macam ada orang memukul
pangkal leher aku dengan dahan
jambu batu kering bercabang tiga.”
“Bertenang Nonong.”
Datuk mengambil secawan kopi yang tersedia di situ. Sebelum
diserahkan pada Nonong , saya
melihat datuk menyapu punggung cawan tiga kali dengan
telapak tangan kiri. Bermula dari
pangkal telapak tangan membawa ke hujung jari. Mulutnya
bergerak. Ada sesuatu yang datuk
‘tawarkan’ pada air kopi tersebut.
TEGUK
Seteguk air kopi dihirup, Nonong nampak aman. Tidak lagi
memicit-micit kepalanya.
“Ada lagi yang mengganggu kamu Nonong?”
“Tak ada memanda.”
Nonong menyerahkan cawan kopi itu kembali kepada datuk.
Sebaik sahaja tangkai cawan
terkena ibu jari datuk, punggung cawan terus bocor. Tembikar
berselerakkan di lantai, air kopi
tumpah hilang meresap dalam papan lantai.
“Biarkan di situ, nanti aku sendiri yang bersihkan.” Datuk
memberi amaran.
Saya tidak jadi memegang badan cawan yang tidak pecah dan
mengumpulkan tembikar
punggung cawan yang berserakan di lantai.
“Bila emak dibalut dengan selimut khas tiga warna, dia tidak
menjerit tetapi nampak lemah.
Ayah membawa emak masuk ke bilik khas, tempat dia selalu
beramal. Emak tidak membantah
malah dia membayangkan memang itulah yang dihajatinya.”
“Dikunci?” Datuk renung batang hidung Nonong.
“Iya,” angguk Nonong.
“Lepas tu, tak ada kejadian lain?” Tekan datuk.
“Menurut kata adik (Khatijah) setelah dikurung, emak
memanggil-manggil nama saya serta
nama orang lain yang dikenali oleh adik saya,” ungkap Nonong
sambil merenung lesu ke arah
datuk dan saya. Dari sinar matanya, dia memang mengharapkan
sesuatu dari datuk.
Penceritaan selanjutnya makin lancar dan rancak. Tidak
tersangkut-sangkut seperti tadi. Nonong
semakin yakin dengan keikhlasan hati datuk. Dia semakin
berani dan bersemangat.
Kematian emak sungguh pelik dan tidak wajar. Setelah
dikurung semalaman, pagi-pagi esoknya,
adik (Khatijah) membuka pintu bilik untuk melihat keadaan
emak. Sebaik sahaja pintu dibuka,
adik saya terkejut besar, emak terlentang kaku di lantai,
sudah menjadi mayat. Tangannya
terkedang macam mahu menjamah sesuatu.”
Nonong berhenti bercakap, sambil mengerut dahi. Dia cuba
mengingati sesuatu. Bila diingat
muncul dalam benaknya, Nonong tersenyum dan terus menyambung
kisah yang tersangkut.
“Mata emak terbeliak macam takutkan sesuatu atau
terpandangkan benda yang mengerikan.
Uban yang hampir, memenuhi kepalanya bertaburan atas lantai.
Adik saya yakin, uban itu
dicabut sendiri oleh emak,” Nonong menelan air liur.
Renungan matanya redup kearah halaman
rumah yang berumput hijau.