SAYA jadi bosan berhadapan dengan kerenah datuk dan Harun
Fadillah, tidak habis-habis
dengan persoalan keluarga. Dan saya tidak berdaya keluar
dari suasana yang menjemukan itu.
Saya tidak berani menyatakan rasa bosan itu kepada datuk.
Takut kena herdik. Mahu tidak mahu,
terpaksa menjadi manusia pendengar yang paling setia di
dalam suasana yang sungguh
menjemukan perasaan.
Secara mengejut telapak tangan kiri datuk menepuk lantai.
Dengan serta merta dia bangun
seperti mahu membuka buah silat. Bersama wajah yang tenang,
datuk mendada melangkah ke
pintu.
"Husss..... "
Datuk mendengus dan serentak dengan itu dia menolak daun
pintu. Aneh sungguh, pintu yang
diselak terbuka sendiri. Angin malam pun merempuh masuk,
sambil berdiri di muka pintu datuk
merenung ke arah halaman Istana Maimun.
"Lagi apa katanya, Run?"
Datuk memusingkan badan, membelakangi halaman Istana Maimun
merenung ke arah saya dan
Harun Fadillah.
"Arwah memberitahu saya, semua rahsia, semua pantang
larang sudah diceritakan kepada
Memanda semasa hayatnya. Bila sampai masanya Memanda akan
menolong, jika diminta," suara
Harun Fadillah tersangkut- sangkut. Mukanya nampak cemas.
Angin malam bertambah hebat merempuh masuk membawa kertas
dan dedaun ke ruang tamu.
Beberapa ketul bebatu kecil berterbangan menghentam belakang
datuk. Dengan pantas datuk
memusingkan badan lalu merapatkan kembali daun pintu yang
terbuka. Perlahan-lahan datuk
melangkah ke arah kami, terus duduk bersila ditempat semula.
Ada sesuatu yang ganjil dapat saya rasakan pada diri datuk.
Dia berhadapan dengan kami. Mata
kami dengan matanya berlaga tetapi, dia tidak melafazkan
sepatah kata Dengan tenang sepasang
tangannya di dakap ke dada. Kedua-dua belah kelopak matanya
dirapatkan dan sepasang
bibirnya bergerak-gerak. Kerana akrab dengannya saya dapat
membaca gerak bibirnya. Saya
pasti, datuk membaca surah yassin hingga tamat.
Perlahan-lahan datuk membuka kelopak mata. Seluruh dahinya
berpeluh dan beberapa bahagian
bajunya basah kerana peluh. Dari arah dapur terdengar
seperti ada orang yang berjalan. Dengan
secara tiba-tiba saja, bulu roma saya tegak berdiri. Datuk
renung muka Harun Fadillah.
"Dalam rumah ni, ada bilik larangan dan......
"Datuk berhenti bercakap. Badannya terlayah ke
belakang seperti ada yang menolaknya. Bersusah payah datuk
membetulkan kedudukan
tubuhnya kembali.
Bila dirasakan cukup selesa, sepasang mata datuk mula
melilau ke setiap sudut ruang. Dan
renungan itu terpaku pada daun pintu yang bermanggakan
tembaga putih. Tidak berkelip datuk
merenung ibu kunci yang tergantung di situ.
"Agaknya, bila aku boleh berjumpa dengan si Nonong,
Run?" dengan segera datuk mengalih
pandangan dari pintu bilik bermangga tembaga putih ke wajah
Harun Fadillah yang nampak
resah tidak menentu. Seluruh wajah Harun Fadillah berada
dalam anak mata saya. Penuh debar
saya menanti jawapan yang bakal ditutUrkan oleh Harun
Fadillah untuk datuk.
PARAS
TERLALU lambat rasanya Harun Fadillah mahu membuka mulut.
Jawapan dari Harun Fadillah
menentukan, sama ada saya berpeluang untuk melihat rupa
kakak sulungnya. Memang, saya
teringin sekali mahu melihat kecantikan paras rupa si Nonong
sebagaimana yang didakwa oleh
datuk. Adakah Nonong lebih cantik dari Mia gadis keturunan
harimau?
"Dua hari lagi, Memanda."
Suara Harun Fadillah penuh keyakinan. Dia menarik dan
melepaskan nafas. Dan kali ini biji
mata datuk yang bercahaya ditentangnya.
"Kalau begitu, aku tunggu kepulangannya," datuk
tegakkan batang leher, sinar matanya
memancarkan sebuah keyakinan.
"Itulah yang sebaik-baiknya dan itulah yang harapan
saya," wajah Harun Fadillah dibalut
keriangan. Senyum pun berlari dikelopak bibirnya.
BIOLA
SUARA alunan biola dan gendang dari halaman Istana Maimun
sudah lama berhenti. Deru
kereta sudah agak berkurangan tetapi, lampu jalanan terus
mengerdip. Kedinginan malam terasa
mengigit kulit. Masalah Nonong, sudah tidak menjadi bualan
atau perbincangan utama antara
datuk dengan Harun Fadillah. Jam tua di dinding pun
berdenteng sebelas kali.
"Mengantuk?" Soal Harun Fadillah bila dia melihat
saya menguap panjang.
"Boleh tahan lagi," saya menjawab.
Harun Fadillah senyum, dia sudah menyediakan bilik yang
berasingan untuk saya dan datuk.
Bilik besar yang berdepan dengan beranda untuk datuk. Saya
disuruh tidur dibilik kecil
bersebelahan dengan bilik yang pintunya bermangga tembaga
putih.
Pada mulanya, saya berhasrat tidak mahu tidur dibilik yang
ditawarkan. Sebabnya, bukan apaapa.
Setiap kali saya memandang mangga tembaga putih yang
tergantung dipintu, terasa seram
dan bila direnung lama-lama, pandangan saya jadi
berpinar-pinar. Kepala terasa pening. Tekak
jadi loya dan mahu muntah.
Bila difikirkan, mungkin itu adalah perasaan semata-mata.
Hasrat itu saya saya batalkan.
Lagipun jarak antara bilik saya dengan bilik datuk tidak
jauh. Jika terjadi sesuatu yang diluar
dugaan saya, saya boleh memanggil atau berlari saja ke bilik
datuk. Saya menguap lagi, entah
kali yang ke berapa saya sendiri tak tahu.
"Nampaknya kamu dah mengantuk, pergilah tidur,"
Harun Fadillah tersenyum ke arah saya.
Barangkali, dia sudah menghirung berapa kali saya
tersengguk. Kalau tidak, masakan dia boleh
memberikan komentar sedemikian, fikir saya.
"Pergilah tidur," datuk menyokong saranan Harun
Fadillah.
Saya segera patuh dengan saranan mereka berdua, terus
bangun. Dengan dada yang berdebar
saya melangkah ke bilik bermangga tembaga. Sebelum mangga
tembaga disentuh, saya renung
ke arah Harun Fadillah dan datuk.
"Tidak berkunci, mangga kecil sengaja ditaruh
disitu," terang Harun Fadillah," tolak saja pintu."
Saya amat penjelasan itu dengan wajah tenang dan senyum.
Kedudukan mangga, saya alihkan
dan daun pintu ditolak. Suis lampu saya petik.
Seluruh ruang bilik terang benderang. Ada katil bertilam
tebal dengan cadar kain berwarna
belang harimau, sarung bantalnya pula kain yang bercorak
kulit ular sawa. Bantal peluk dengan
sarung kain yang bersorak kulit buaya. Ada meja kecil dan
lampu untuk membaca, terdapat
beberapa buah majalah hiburan terbitan Kota Medan.
PATUNG
BERSEBELAHAN susunan majalah terdapat sepasang patung kuda
sedang berlaga yangdibuat
daripada kayu keras. Patung yang sudah dikilat dengan
sejenis kimia nampak bercahaya. Bila
kaki patung itu disentuh dengan hujung jari, seluruh sendi
tangan saya seperti terkena kejutan
letrik. Saya batalkan hasrat hati untuk menyentuh atau
melurut seluruh badan patung tersebut.
Tingkap kamar saya buka, kelihatan kabus nipis mula bangkit.
Kubah Masjid Raya jelas
kelihatan. Sekumpulan kelawar liar berterbangan sambil
berbunyi. Melepaskan makanan (buah)
yang digonggong, menimpa pondok burung merpati berdekatan.
Kerana terkejut beberapa ekor
burung merpati berterbangan.
Saya terperanjat, kumpulan kelawar liar itu terus menyerang
burung merpati yang terbang tidak
keruan, di malam kelam. Seekor merpati yang menjadi mangsa,
entah macam mana masuk ke
bilik, jatuh terkapar dilantai hujung katil. Burung itu
menggelepar kesakitan sebelum keras dan
kaku dilantai.
Merpati malang itu saya periksa dengan teliti. Satu persatu
bulu lehernya saya selak dan saya
temui dua lubang kesan gigitan dari gigi yang tajam. Ada darah
beku di situ.
"Keriaaaaaaaakkkkk......
Merpati ditangan, saya lepaskan. Mata saya merenung ke
lelangit bilik. Seekor kelawar berbadan
besar, bermata merah menyeringai ke arah saya sambil membuka
sayapnya lebar-lebar. Kelawar
besar itu menjerit, mempamerkan gigi dan siungnya yang
tajam. Suara yang dikeluarkannya
sekejap kasar, sekejap halus dalam berbagai bentuk dan irama
yang menyeramkan.
Matanya bertambah merah menyala. Saya jadi cemas, tidak tahu
apa yang harus saya lakukna.
Saya terfikir untuk mengusir kelawar ganjil yang bergayut di
lelangit bilik dengan patung kuda
berlaga ke arahnya.
Bila tangan saya menyentuh badan patung dengan segera
kelawar menyambar patung tersebut
lalu dicampakkan ke atas tilam. Saya termanggu.
"Keluarlah, jangan ganggu aku," kata saya ke arah
kelawar yang terbang berlegar-legar di ruang
bilik. Bagaikan mengerti dengan bahasa yang saya ucapkan,
kelawar ganjil menyambar bangkai
merpati lalu dibawa keluar. Dengan serta merta daun tingkap
saya rapatkan. Saya berdoa,
semoga peristiwa tersebut tidak akan berulang lagi.
Patung kuda berlaga yang berada di atas tilam segera saya
ambil dan meletakkan kembali
ditempat asalnya. Perlahan-lahan badan direbahkan. Mungkin
kerana keletihan atau terlalu
mengantuk, saya terus terlelap. Kira-kira jam dua pagi, saya
terjaga. Ibu jari kaki kiri bagaikan
disentap sesuatu. Dengan segera saya melompat dari katil
lalu memetik suis lampu.
LAMPU
DI bawah sinar lampu panjang, setiap sudut ruang bilik,
malah bawah katil saya jenguk, mencari
makhluk yang menyentap ibu jari kaki kiri hingga saya
terjaga dari tidur. Tidak ada apa-apa yang
saya temui.
Saya berusaha menyambung tidur yang terganggu. Tetapi, usaha
itu tidak berhasil. Puas saya
rapatkan kelopak mata. Peluk bantal guling, pusing
kiri-pusing kanan-menelentang dan
meniarap. Semuanya tidak menjadi. Akhirnya, terus duduk
memeluk kepala lutut. Fikiran saya
terus bercelaru. Wajarkah saya pergi ke bilik datuk?
"Keeerrruuiuuuuukkkkk........
Terdengar daun pintu, bermangga tembaga putih ditolak dari
luar dan dituruti dengan bunyi
telapak kaki orang berjalan dalam bilik. Tidak lama
berselang, terdengar suara orang yang
bercakap sendirian. Bila suara orang bercakap itu hilang,
terdengar bunyi kain dikoyak bertalutalu.
Bau kemenyan mula menusuk lubang hidung. Serentak dengan itu
terdengar bunyi dinding
dicakar dan ditumbuk. Suara kelawar dan cengkerik saling
tingkah meningkah diluar rumah.
Sayup-sayup kedengaran suara salakan anjing liar. Bau
kemenyan bertukar bau hangit seperti
bau rambut yang dibakar.
Suasana yang terjadi membuat saya cemas dan mengigil.
Tetapi, hati kecil saya membuat
keputusan agar tabah menghadapi keadaan yang gawat itu.
Ayat-ayat dari AI-Quran segera saya baca. Peliknya, makin
kerap saya baca ayat-ayat Quran,
makin kuat pula bunyi papan dinding dicakar. Suara kelawar
dan cengkerik makin keras. Bau
rambut dibakar terus mencucuk lubang hidung. Suara orang
bercakap sendirian makin rancak
diselang seli dengan suara orang ketawa dan batuk-batuk
kecil.
"Aku harus mendapatkan datuk."
Saya membuat keputusan dan terus berdiri. Tiba-tiba lampu
dalam bilik padam. Batang leher
saya disentuh oleh sepasang tangan berbulu. Bila mahu
menjerit minta tolong, telapak tangan
berbulu tebal menekup mulut. Dengan penuh kekuatan saya meronta-ronta.
Dalam perjuangan
antara hidup dan mati itu, lampu dalam bilik bercahaya
kembali.
"Apa yang mesti saya lakukan? Tidak wajar rasanya
menganggu datuk. Biarlah saya hadapi
semuanya ini. Rasanya, saya mampu berhadapan dengan cubaan
syaitan laknat ini," sambil
menggenggam penumbuk saya membuat keputusan nekad.
KATIL
DENGAN semangat dan keyakinan yang tinggi, katil saya
renung. Bantal, gebar, buku dan cadar
berserakkan. Aneh, saya diganggu oleh telapak tangan berbulu
di lantai. Kenapa pula barang di
atas katil yang bertaburan? Di dalam seribu persoalan yang
belum selesai. Saya menarik nafas
dalam-dalam sambil menjeling ke sudut bilik.
"Ada kesan telapak kaki di lantai," bisik batin
saya, setelah sepasang anak mata tertumpu ke arah
tanah merah yang masih basah, membentuk bekas telapak kaki.
Setelah diamati-amati, telapak
kaki itu memang ganjil, bukan telapak kaki manusia.
Panjangnya lebih dari dua belas inci, lebarnya hampir tujuh
inci. Ibu jarinya berbentuk seperti
anak lesung batu. Jumlah jarinya lebih dari dua belas jari.
Dalam tompokkan tanah liat merah,
terdapat bulu yang berwarna kekuning-kuningan yang
panjangnya saya kira lebih dari dua inci.
Saya terpegun dan terkaku berhadapan dengan keadaan yang
tidak pernah saya fikirkan.
Suara-suara ganjil yang menyeramkan dari bilik sebelah kian
gamat dalam berbagai-bagai nada.
Malam yang dingin terasa membahang, suara cengkerik, suara
anjing liar dan burung-burung
malam terus berbunyi. Terdengar suara wanita mengeluh,
mengerang, merayu minta dikasihani.
Tidak lama berselang, terdengar suara orang membaca mentera
dan jampi serapah.
Perasaan saya terus berperang, sama ada mahu memanggil datuk
atau tidak. Setelah ditelek dan
ditimbang secara terperinci, biarlah datuk dengan urusannya.
Biarlah datuk membaca AI-Quran
dan melakukan sembahyang sunat. Tugas yang bakal
dilakukannya bukanlah sesuatu yang
mudah. Keputusan muktamad segera saya rumuskan.
Dengan tenang saya duduk bersila di lantai dekat pintu.
Rasanya cukup selamat berada dekat
pintu, kalau ada apa-apa yang tidak saya senangi, mudah
bertindak mudah buka pintu lalu lari
masuk ke bilik datuk minta bantuan. Sambil duduk bersila
saya manfaatkan kekuatan lahiriah
dan batiniah agar kelopak mata tidak terkatup-tidak rasa
mengantuk.
Begitulah, antara sedar dengan tidak, bunyi yang gamat
dibilik sebelah terus berlaku. Saya
persetankan semuanya itu.
"Haaaaa... ," terpancut dari mulut saya.
Pintu bilik terus diketuk bertalu-talu dengan kuat sekali.
"Tamar."
Saya membisu sambil memasang telinga. Boleh jadi yang
menyeru nama saya itu, suara syaitan.
Tidak wajar dilayan, kalau dilayan nanti diri sendiri yang
masuk perangkap dan binasa.
"Tamar, Tamar buka pintu ni."
Setelah saya yakini bahawa itu adalah suara datuk, pintu
segera saya buka. Wajah datuk nampak
serius.
"Kamu berwirid, Tamar?" Tanya datuk.
Saya tersenggih sambil menggelengkan kepala.
"Habis, apa yang kamu buat, berjaga tidak tentu
fasal."
"Saya tak boleh tidur tuk."
"Ada sesuatu yang mengganggu kamu Tamar?"
Saya anggukkan kepala.
Datuk langkah, tiga langkah ke hadapan. Matanya merenung ke
arah tilam dan bantal yang
bertaburan atas katil. Kening datuk berkedut, bila dia
melihat longgokkan tanah hitam di lantai.
Tadi, warna tanah liat itu kemerah-merahan, entah bila pula
bertukar menjadi hitam bagaikan
arang. Semuanya itu membuat saya resah semacam. Datuk renung
batang hidung saya kembali.
"Huuuhhhhh............ ," keluh datuk,"
patutlah sepanjang malam aku resah semacam," sambung
datuk.
BIBIR
DATUK melangkah lagi, lebih jauh ke tengah ruang bilik. Kali
ini anak matanya melilau, apa
yang didalam bilik direnungnya dengan teliti.
Bila melihat patung kuda berlaga, dia mengigit bibir sambil
menelan air liur. Saya lihat kelopak
mata kirinya mengecil dan anak mata kirinya bagaikan
berhenti dipinggir kelopak mata tersebut.
Bagaikan ada sesuatu yang dapat dilihatnya dari patung kuda
berlaga itu secara kebatinan.
"Hummm, dah dekat waktu subuh, pergilah mandi, boleh
kita berjemaah di Masjid Raya, aku
dah selalu sembahyang di situ. Kamu, baru inilah kali
pertama," lembut suara datuk dalam
suasana subuh yang dingin.
"Iya, tuk."
"Kalau begitu, aku tunggu kamu di luar."
"Baik tuk."
Datuk melangkah keluar, saya masuk ke bilik air.
Setelah mandi dan menukar pakaian, saya segera mendapatkan
datuk yang menunggu diberanda.
Saya kira berseorangan, rupa-rupanya Harun Fadillah berada
di situ.
Tanpa membuang masa, kami segera meninggalkan rumah menuju
masjid. Sebaik saja sampai di
pekarangan Masjid Raya, azan subuh pun dilaungkan. Terasa
syandu dan sayu sekali meresapi
kalbu tanpa disedari air mata mengalir di pipi.
Jumlah para jemaah agak ramai juga. Hampir semuanya
mengenali Harun Fadillah. Malah, ada
yang berpatek dan berengku dengan Harun Fadillah. Saya agak
terkejut, beberapa orang daripada
jemaah itu bersalaman dan berpelukkan dengan datuk. Agaknya
kenalan lama datuk. Mana yang
tidak mengenali datuk, Harun Fadillah segera menjalankan
peranannya.
Lebih daripada dua puluh orang para jemaah yang bersalaman
dengan kami (saya dan datuk)
cukup peramah dan mesra, mereka bertanya suasana politik
Tanah Melayu, kemajuan yang
diperolehi rakyat bumiputera setelah bebas dari cengkaman
penjajah Inggeris. Hampir semuanya
bercakap dalam loghat Melayu Riau-Johor.