SEMUANYA bermula dengan tidak disedari oleh Mat Akir.
Kegemarannya belajar ilmu-ilmu kebatinan tidak ada batasan. Disamping itu dia
juga belajar ilmu pengasih supaya dirinya sentiasa dipandang kasih oleh siapa
saja.
Satu ketika sewaktu dia memasang rawai di sungai jauh ke
hulu sedikit, dia tercium bau wangi. Kemudian terpandang olehnya seorang gadis
berjuntai kaki ke air, duduk di atas perdu pokok kelepung. Gadis itu sungguh
cantik, kulitnya putih, hidungnya mancung, giginya putih bersih, matanya bulat,
rambutnya ikal mayang, dan mukanya bujur sirih.
Pada mulanya Mat Akir tidak mahu menghiraukan sangat gadis
tersebut. Dia mengesyaki juga sesuatu, kerana selama ini dia belum pernah
melihatnya. Walau bagaimanapun dia cuba melarikan diri dari gadis berkenaan,
namun hatinya bagai diruntun-runtun supaya mendekatinya.
Akhirnya dia memberanikan hati menegur gadis tersebut. Dia
bersedia menghadapi apa saja risiko, kerana ilmu di dadanya sudah cukup
dibekalkan.
“Buat apa duduk di situ, nak mandi ke?” tegur Mat Akir
tersenyum.
“Iya, saya nak mandi. Tetapi saya nampak awak memasang
rawai, sebab itu saya tak jadi nak mandi,” sahut gadis itu mengerling manja.
“Awak seorang saja ke?” tanyannya lagi.
“Iya, saya memang suka berseorangan,” jawabnya perlahan.
“Tidakkah awak takut?” Mat Akir cuba menduga.
“Apa nak ditakutkan, tempat ni tempat kita,” gadis itu tidak
lepas mengerling kearah Mat Akir.
Mat Akir terus memasang rawai, sementara gadis berkenaan
duduk juga berjuntai kaki ke air. Kakinya dihayun-hayun ke dalam air hingga
menampakkan betisnya yang putih melepak.
Hari itu Mat Akir banyak mendapat ikan. Mahu juga hatinya
mengendap di mana rumah gadis tersebut. Tetapi didapatinya kawasan itu penuh
dengan belukar teberau. Tidak ada lorong orang turun ke air, atau menunjukkan
adanya terdapat rumah di situ.
Apabila balik ke rumah Mat Akir tidak dapat melupakan gadis
yang dilihatnya di sungai itu. Ilmu pengasihnya selama ini sudah tidak memberi
kesan lagi kepadanya. Sepatutnya gaids itu yang selalu terkenang-kenangkan dia
bila malam menjelang. Sebaliknya dia sendiri tidak dapat mententeramkan
hatinya.
Esok pagi-pagi lagi dia sudah membawa rawai ke sungai. Dia
menuju ke tempat dia bertemu gadis itu semalamnya. Lama dia menunggu di situ
sehingga matahari terbit segalah, barulah kelihatan gadis berkenaan datang
untuk mandi.
Dari pertemuan itu teruslah membibitkan perasaan cinta di
antara dua makhluk itu. Masing-masing sudah berjanji tidak ada berpisah lagi.
Rupa-rupanya ilmu pengasih yang ada pada Mat Akir masih berkesan. Sayangnya
gadis itu tidak dapat menunjukkan dirinya di depan masyarakat umum.
“Namaku Puteri Bongsu, puteri penghulu bunian,” dia
menerangkan kepada Mat Akir. “Aku tahu kau mencintai aku dengan hati bersih,
sebab itulah aku rela menerima kau. Tetapi aku tak dapat menjelma di depan
masyarakat kau, kerana kita makhluk yang berlainan,” jelasnya lagi.
“Bagaimanakah kita boleh berjumpa selalu?” Mat Akir
meluahkan perasaannya.
“Aku menunggu kau di sini.....” sahut Puteri bongsu memberi
jaminan.
“Bolehkah aku berjumpa dengan ayah kau?” tanya Mat Akir.
“Bersabarlah dulu, nanti bila tiba masanya aku bawa kau
bertemu dengan ayahku,” kata Puteri Bungsu memeluk tubuh Mat Akir. “Ayahku
marah, kalau aku bawa kau dengan tidak izinnya,” dia menjelaskan.
Sejak itu seringlah Mat Akit bertemu dengan Puteri Bungsu.
Namanya juga sudah ditukar oleh Puteri Bungsu kepada Putera Ali. Pada Puteri
Bungsu dia bukan lagi Mat Akir, tetapi Putera Ali.
Dalam masa pertemuannya dengan Puteri Bungsu inilah sikap
Mat Akir mula berubah. Dia tidak lagi suka bercampur dengan kawan-kawannya
seperti Latip Debok, Sarip Uncoi dan anak-anak muda yang sebaya dengannya. Dia
lebih suka ke hutan mencari manau, rotan atau damar seorang diri saja.
Orang-orang kampung juga merasa heran mengapa Mat Akir
berubah sikap, tetapi mereka tidak lah mengesyaki apa-apa. Mereka percaya
kerana terlalu banyak menuntut ilmu kebatinan itulah sikapnya berubah.
Setiap kali Mat Akir balik dari hutan dia akan memperolehi
banyak rotan, manau atau damar. Rezekinya juga boleh di kira sangat baik. Mak
Teh tidaklah banyak soal jawabnya, kerana dia tahu Mat Akir seorang yang kuat
bekerja. Kalau dia pergi merawai di sungai banyak ikan diperolehinya.
Kadangkala Mak Teh sedekahkan pula pada jiran-jiran.
Semasa Mat Akir ke hutan mencari rotan, memang Puteri Bungsu
menemankan dia. Hinggalah pada suatu hari Puteri Bungsu mengajak dia bertemu
dengan ayahnya. Peluang yang ditunggu-tunggunya selama ini tidak dilepaskan
oleh Mat Akir.
Puteri Bungsu membawanya ke satu tanah lapang yang dipenuhi
oleh kabus memutih. Dia tidak dapat melihat dengan jelas di manakah dia berada.
Dia hanya mengikut saja ke mana dibawa oleh Puteri Bungsu. Tiba-tiba saja dia
sampai ke sebuah perkampungan yang indah. Orang-orang kampung yang melihat dia
berjalan bersama Puteri Bungsu itu tercengang-cengang keheranan. Kampung itu
belum pernah dilihat lagi oleh Mat Akir. Dia kemudiannya dibawa masuk ke sebuah
rumah besar seperti istana. Jalan untuk sampai ke istana melalui kolam-kolam
yang dipenuhi dengan teratai memutih.
Apabila masuk ke dalam dewan istana, Puteri Bungsu tiba-tiba
menghilangkan diri. Tinggallah dia seorang tergegak di tengah dewan. Namun Mat
Akir tidak merasa takut apa-apa. Sebagai seorang yang penuh ilmu di dada,
memang Mat Akir bersedia menghadapi siapa saja musuhnya.
“Selamat datang Putera Ali....” suatu suara menegurnya
kemudian muncul seorang lelaki berjanggut yang mendakwa dirinya penghulu
bunian.
Mat Akir membongkok memberi hormat. “Penghulu berniat jahat
atau berniat baik?” soalnya sambil meraba-raba parang di pinggang.
Penghulu Bunian tersenyum dengan sikap Mat Akir itu. “Tak
payah Putera Ali bertanya niat saya, kalau saya berniat jahat tak sampai Putera
Ali ke mari,” ujarnya macam menyindir.
Mat Akir terdiam. Terasa juga bimbang di hatinya kerana
menunjukkan sikap demikian. Mana tahu kalau hasratnya mahu mengambil Puteri
bungsu menjadi isteri akan ditolak, kalau dia bersikap kurang ajar terhadap
Penghulu Bunian. Tetapi kalau dia menunjukkan sikap takut, tentu dirinya akan
diperolok-olokkan pula.
Bila dilihatnya air muka penghulu Bunian yang jernih dia
dapat memahami bahawa kedatangannya diterima dengan baik. Penghulu Bunian juga
sudah mengetahui mengenai percintaannya dengan Puteri Bungsu.
“Penghulu dah tahu niat Puteri Ali.....” kata Penghulu
Bunian merapati Mat Akhir. “Tetapi Putera Ali mesti berjanji merahsiakan
perkara ini dari pengetahuan masyarakat Putera Ali. Kita ini berlainan jasad.
Putera Ali jasad kasar, kami ni jasad halus,” Penghulu Bunian mengingatkan.
“Merahsiakan macam mana?” tanya Mat Akir tegas.
“Sebelum Putera Ali dinikahkan dengan Puteri Bungsu,
janganlah ceritakan perkara ini pada keluarga Putera Ali. Kalau dah nikah
nanti, tak apalah. Sebab masa tu, Putera Ali sudah menjadi keluarga kami.
Putera Ali tidak akan balik lagi kepada keluarga Putera Ali,” jelasnya
memandang tepat ke muka Mat Akir.
“Saya setujulah dengan syarat tu,” sahut Mat Akir. Dia
memang sudah nekad untuk menikahi Puteri Bungsu sekalipun terpaksa berpisah
dengan emaknya. Dia merasakan cintanya pada Puteri Bungsu sudah tidak dapat
dipisahkan lagi oleh sesiapa pun.
Mat Akir bersedia menjadi keluarga masyarakat bunian untuk
selama-lamanya. Inilah janjinya pada Puteri Bungsu. Bagaimanapun Puteri Bungsu
pernah memberitahu dia, kalau Mat Akir menjadi keluarga bunian dia di benarkan
juga bertemu dengan keluarganya. Syaratnya dia tidak boleh memberitahu tentang
perkahwinannya dengan orang bunian itu. Kalaudia melanggar syarat tersebut dia
terpaksa memilih antara dua sama ada keluarganya atau pun Puteri Bungsu. Kalau dia
memilih Puteri Bungsu, dia tidak akan dibenarkan lagi bertemu keluarganya untuk
selama-lamanya.
“Macam manapun Putera Ali kena berfikir juga dululah. Saya
benarkanlah Putera Ali tinggal di sini semalam dua dulu, lepas tu bolehlah
balik pada keluarga Putera Ali, dan berfikirlah habis-habis sebelum datang ke
sini,” kata Penghulu Bunian mengingatkan.
Sekonyong-konyong Penghulu Bunian itu ghaib dari pandangan
Mat Akir. Kemudian dia dibawa oleh seorang perempuan tua ke sebuah bilik, katil
tempat tidurnya dihiasai dengan lampu-lampu berbagai warna. Di situlah dia
disuruh berihat.
Semuanya berlaku seperti dalam mimpi kepada Mat Akir. Tetapi
dia yakin bahawa dirinya bermimpi. Dia dapat merasakan semua itu berlaku di
hadapan matanya. Malah Mat Akir sudah merasakan dunia bunian itu tidak lagi
asing kepadanya.
Dalam dia berfikir-fikir itu datanglah perempuan tua itu
membawakan dia hidangan makanan yang lazat-lazat. Dengan tidak berfikir panjang
Mat Akir memakannya dengan rakus. Dia tidak peduli lagi tentang cerita orang-orang
tua bahawa makanan yang dihidangkan oleh orang bunian sebenarnya ialah cacing
gelang-gelang dan tahi cacing itu.
Air minuman yang manis seperti serbat itu sebenarnya air
dari kubang babi atau gaung di sekitar kawasan tersebut. Ketikaini Mat Akir
tidak pedulikan apa lagi. Dia terus menikmati makanan yang di hidangkan itu.
Setelahmakan perempan tua yang melayani dia pun
mengemas-ngemaskan pinggan mangkuk, langsung ghaib dari pandangan mata.
Walaupun Mat Akir mempunyai kelebihan ilmu kebatinan, tetapi dia semacam
terpukau oleh keindahan di tempat bunian itu.
Oleh itu dia tidak pernah merasa dirinya di aniaya oleh
bunian. Selalunya ilmu kebatinan itu digunakan untuk mempertahankan diri dari
dianiaya oleh orang lain. Sebaliknya Mat Akir merasakan dirinya sentiasa
dihormati oleh orang-orang bunian di situ.
Selepas makan datanglah Puteri Bungsu mengajaknya mandi
dikolam. Mat Akir mengikut saja segala kemahuan Puteri Bungsu. Kasihnya kepada
Puteri Bungsu benar-benar mendalam, bukan hanya godaan nafsu semata-mata.
Telah menjadi kelazimannya sesiapa yang benar-benar jujur
dalam percintaannya, memang dapat diterima oleh orang bunian. Mengikut cerita
orang tua-tua kelebihan orang-orang bunian ialah mereka dapat menilai kejujuran
hati seseorang itu.
“Sudikah Putera Ali mengambil saya menjadi isteri?” tanya
Puteri bungsu semasa mereka sama-sama mandi di kolam.
“Kalau tak sudi masakan saya datang ke sini...” sahut Mat
Akir mengerling tubuh Puteri Bungsu yang berkemban saja. “Saya takut cuma saya
bertepuk sebelah tangan,” ujarnya perlahan.
“Tidakkah Puteri Ali sedar kami ini berlainanmakhluk. Putera
Ali dari jasad kasar, saya dari jasad halus?” katanya semacam mahu menduga hati
Mat Akir.
“Kalau jasad kita berbeza, apakah hati kita tidak boleh
disatukan?” tanya Mat Akir.
“Putera Ali patut menjelma menjadi jasad yang halus juga,”
beritahu Puteri Bungsu bercampur sangsi kalau-kalau Mat Akir menolak. “Hanya
dengan Putera Ali menjadi jasad halus sajalah kita tidak berpisah lagi,
keranakalau tidak bertukar jasad saya bimbang Putera Ali akan kembali semula
kepada keluarga Putera Ali,” dia menjelaskan dengan penuh harapan.
“Saya sudah memberitahu semuanya pada Penghulu Bunian,” Mat
Akir menerangkan.
Dia memang sudah nekat untuk tinggal bersama masyarakat
bunian. Kasihnya pada Puteri Bungsu sudah tidak dapat dipisahkan oleh sesiapa
pun. Dia rela jasadnya bertukar menjadi jasad halus yang tidak dapat dilihat
lagi oleh orang-orang kampungnya.
Memang dia tahu wanita yang dicintainya itu bukan manusia
biasa, tetapi makhluk yang hidup bernyawa juga. Apalah salah baginya
kalaumencintai sesama makhluk. Sedangkan Puteri Bungsu juga mencintai dia.
Dia juga tahu adalah mustahil Puteri Bungsu menjelma menjadi
jasad kasar sepertinya, kerana pantang larangnya terlalu banyak kalau dia
menjelma ke alam nyata. Mat Akir memang tidak sanggup memenuhi pantang larang
itu sekiranya Puteri Bungsu menjelma menjadi manusia biasa.
Kononnya mengikut petua gurunya, kalau orang bunian itu
menjelma menjadi manusia biasa, adalah menjadi larangan kepadanya memakan
benda-benda yang berdarah. Tidak boleh bertengkar, tidakboleh memarahinya, dan
macam-macam lagi yang sukar diterima oleh manusia biasa.
Sebab itu dia lebih rela meninggalkan keluarganya dan jasad
kasarnya untuk bersama-sama denganmasyarakat bunian.
“Apa yang Putera Ali beritahu pada Penghulu?” tanya Puteri
Bungsu.
“Biarlah saya mengikuti Puteri Bungsu, kerana saya tidak
menyanggupi memenuhi syarat-syarat kalau Puteri Bungsu mengikut saya,” tegasnya
tidak lepas memandang tubuh Puteri Bungsu yang berkemban ditepikolam.
“Saya tahu Putera Ali bemar-benar mencintai saya, sebab itu
saya juga benar-benar mencintai Putera Ali,” bisiknya lemah lembut. “Macam mana
pun Penghulu menyuruh saya menghantar Putera Ali balik dulu kepada keluarga
Putera Ali, nanti bila sampai masanya kita akan dinikahkan, saya akan datang
mengambil Putera Ali semula,” dia memberi tahu.
Pada malamnya Mat Akir tidur seorang diri saja di dalam
biliknya. Teringat juga pada dia bahawa kalau tidur di atas tilam bunian,
biasanya tidur tidur di dalam kubang babi. Tapi Mat Akir tidak peduli. Dia
tetap yakin dirinya dipelihara baik baik oleh orang bunian. Hanya orang-orang
yang menganggap dirinya diperdaya oleh bunian saja akan menerima akibat
demikian.
Memang Mat Akir sudah mengetahui cerita menenai orang-orang
yang pernah disembunyikan oleh bunian. Bila mereka sedar semula mereka dapati
makanan yang diberikan kepadanya hanya tahi cacing. Tempat tidurnya ialah
kubang babi.
Mereka yang menerima nasib demikian, selalunya hati mereka
tidak jujur. Niat mereka ialah untuk memperdayakan orang-orang bunian,
sebaliknya mereka sendiri yang kena perdaya. Apabila mereka tergoda dengan
gadis-gadis bunian yang cantik-cantik mereka bertujuan untuk merosakkannya.
Sebab itulah mereka diperdayakan oleh bunian.
Tetapi pada Mat Akir hatinya ikhlas. Dia tidak bertujuan
untuk menyakiti hati orang-orang bunian. Semenjak dia menuntut ilmu kebatinan
hatinya sudah mula diruntun oleh perasaan cintakan gadis bunian. Oleh itu bila
dia terpandangkan Puteri Bungsu, cintanya sudah mula bertunas.
Apa saja hadiah diberi oleh Puteri Bungsu kepadanya belum
pernah bertukar rupa apabila dibawa balik ke rumah. Pernah orang menyatakan
kalau bunian memberi gelang atau barang-barang kemas, sebenarnya ialah lipan
atau kala. Kalau memberi wang selalunya ialah daun-daun kering. Barang-barang
itu akan bertukar rupa bila orang bunian itu ghaib.
Perkara seperti itu belum pernah terjadi pada Mat Akir.
Hatinya tetap cinta sepenuh hati kepad Puteri Bungsu. Oleh itulah dia yakin
bahawa Puteri Bungsu tidak memperdayakan dia.
Esoknya, pagi-pagi lagi Puteri Bungsu sudah mengejutkan dia
dari tidur. Mereka sama-sama mandi di kolam. Selepas minum bersma-sama dengan
Penghulu Bunian, dia pun meminta izin untuk balik ke kampungnya.
“Fikirlah habis-habis Putera Ali,” kata Penghulu Bunian
semasa mnereka makan.
“Baiklah Penghulu. Bagaimana pun biarlah saya berterus
terang, bahawa saya rela meninggalkan segala-galanya di kampung saya, untuk
datang berhamba pada Penghulu,” Mat Akir memberi pengakuan.
“Saya tahu hati Putera Ali memang jujur, sebab itu kami
menerimanya pun dengan jujur. Kami sedia menunggu kedatangan Putera Ali,”
balasnya bercampur bangga.
“Terima kasihlah atas budi baik Penghulu,” Mat Akir memberi
hormat apabila mahu berangkat balik. Penghulu Bunian menghantarnya sampai ke
pintu pagar istana.
Semasa keluar dari pintu pagar, Puteri Bungsu terus
menghantarnya. Mereka melaui denai tetapi diselubungi oleh kabus tebal.
Kelilingnya memutih tidak kelihatan pun pokok-pokok yang menghijau. Tempat itu
terlalu asing pada Mat Akir.
“Bolehlah saya memegang jari Puteri Bungsu?” tanya Mat Akir
memberanikan hatinya.
Puteri Bungsu tidak menyahut. Dia terus berjalan tidak
menoleh kebelakang. Mat Akir mengikut saja dari belakang. Bimbang juga dia
Puteri Bungsu marah dengan pertanyaannya tadi. Maklumlah hati orang bunian
mudah tersinggung, demikianlah yang diketahuinya melalui petua gurunya.
“Marahkah Puteri Bungsu dengan pertanyaan saya tadi?” Mat
Akir merasa bimbang.
“Apakah tujuan Putera Ali mahu memegangnya, sama ada niat
jahat atau niat baik?” Puteri Bungsu pula menyoalnya.
“Saya berniat baik kerana terlalu kasih pada Puteri Bungsu.
Tetapi kalau Puteri Bungsu tidak benarkan, saya tidak akan memegangnya,” sahut
Mat Akir perlahan.
Tiba-tiba Puteri Bungsu berhenti. Perlahan-lahan di
berpaling ke belakang sambil menghulurkan tangannya. Mat Akhir pun menyambut
tangan itu lalu dipimpinnya dengan penuh kasih sayang. Dia merasakan jari
Puteri itu terlalu lembut bagaikan kapas.
“Kita sudah semakin hampir sampai ke kampung Putera Ali.....”
Puteri Bungsu mengingatkan. “Ingatlah semula pesan Pengulu supaya rahsiakan
pertemuan kita ini dari pengetahuan orang-orang kampung,” katanya sambil
meminta tangannya di lepaskan.
“Saya tetap ingat,” Mat Skir menganggukkan kepala lalu
melepaskan jari Puteri Bungsu dari genggamannya.
“Ingatlah, Putera Ali masih lagi berjasad kasar. Kita belum
boleh lagi bersatu,” kata Puteri Bungsu.
Mat Akir mengangguk. Dia tidak bimbang kalau menjelma
menjadi jasad halus seperti bunian. Tidak ada pantang larang yang harus
dipengangnya selagi dia terus mematuhi keadaan hidup masyarakat bunian.
Sejak dari mula lagi dia tidak berani membawa Puteri Bungsu
menjelma menjadi manusia biasa. Kalau dia membawa Puteri bungsu, banyak pula
tohmah dan fitnah yang mesti dihadapinya. Walaupun Penghulu Bunian membenarkan
dia membawa Puteri Bungsu, tetapi dia tidak sanggup memegang pantang larang
tersebut.
Takdirnya berlaku pertengkaran suami isteri dan dia terpaksa
memarahi Puteri Bungsu, mala petaka akan menimpa dirinya. Begitu juga kalau
emaknya tidak sengaja memarahi Puteri Bungsu, tentulah mereka akan menerima
kebinasaan.
Oleh itulah dia sendiri memilih untuk mengikuti Puteri
Bungsu.
“Sampai di sinilah dulu Putera Ali.....” Puteri Bungsu
tiba-tiba memeluk leher Mat Akir lalu mengucup bibirnya. “Saya akan selalu
mencari Putera Ali sehingga kita akan dinikahkan oleh Penghulu,” katanya,
kemudian hilang dari pandangan Mat Akir.
Apabila kabus tebal bilang. Mat Akir dapati dia berada di
perdu pokok kelepung tepi sungai, di tempat dia selalu memasang rawai. Teruslah
dia balik ke rumah dengan bermacam-macam persoalan di kepalanya.
Ketika inilah orang-orang kampung gempar mengatakan Mat Akir
hilang selama tiga hari. Tetapi dengan pulangnya Mat Akir semula, mereka
merasakan semuanya sedah selamat.
SELESAI