DARA DIMAKAN SUMPAH



“SAYA……,” CETUS Nonong mendadak. Dan kata-kata tidak diteruskan.
“Saya tak tahu apa isinya,” Harun Fadillah bagaikan menyambung ungkapan Nonong yang
terhenti.
Datuk menekan hujung dagu sebelah kiri dengan ibu jari tanngan kanan. Matanya, silih berganti
menatap wajah Harun Fadillah. Datuk bagaikan tahu, dua beradik akan membongkar apa sahaja
rahsia dalam rumah secara terperinci. Cuma apa yang diperlukan ialah sedikit kesabaran.
“Arwah emak, marah kalau ada diantara kami bertanya tentang bilik yang berkunci,” nada suara
Harun Fadillah lemah, ekor matanya menjeling ke arah Nonong. Tiada sebarang riaksi yang
diperlihatkan oleh si Nonong.
“Melintas di depan bilik yang berkunci juga dilarang,” tambah Harun Fadillah.
“Kamu bagaimana Nonong?”
Dauk menghalakan pertanyaan ke arah Nonong yang tunduk merenung lantai. Perlahan-lahan
Nonong angkat kepala, Sinar matahari nampak berkaca merenung ke arah datuk.
“Emak ada membawa saya masuk ke bilik itu, secara rahsia.”
“Haaa…… ,” Harun Fadillah bagaikan terkejut mendengar pengakuan Nonong. Buat beberapa
ketika, datuk menarik nafas dalam-dalam. Suasana terasa sepi. Semuanya membatu melayani
perasaan masing-masing.
“Ada apa di dalamnya, Nonong?” Tanya datuk. Matanya tidak berkedip merenung muka
Nonong.
“ Ada lilin besar,”
“Besar mana Nonong?”
“Sebesar peha budak empat belas tahun,”
“Tingginga?” Datang lagi pertanyaan dari datuk.
“Kira-kira dua kaki,” jawap Nonong tegas.
“Selain dari itu apa yang kamu lihat?”
Nonong termenung, macam ada sesuatu yang cuba diingatinya. Harun Fadillah merenung ke arah
saya. Dengan senang hati saya menghadiahkan senyuman buatnya. Dibalasnya dengan senyum
tawar.
“Ada tungkul kayu berbentuk monyet dan bertangan manusia. Di tepi bilik, ada talam tembaga
besar, yang ditengah-tengahnya ada benda, berbalut kain tiga warna. Emak mesti membaca
serapi-jampi sebelum menyentuh kain pembalutnya.”
“Apa warnanya Nonong?” Datuk terus mendesak.
“Hitam, putih dan kuning.”
“Macam warna bendera Negeri Perak,” celah datuk. Nonong diam. Tidak memberi sebarang
komentar.
BOSAN
Suasana di ruang makan kembali membeku. Saya memang berazam mahu mengikuti kisah
selanjutnya hingga akhir. Kecuali datuk menyuruh saya keluar. Semoga perkara itu tidak akan
dilakukan oleh datuk. Itu doa dan harapan dari hati kecil saya.
Bila bosan dengan suasana sekitar, saya halakan pandangan ke halaman rumah dan permukaan
jalanraya. Rasa jemu dan bosan segera terusir.
“Masa bila emak kamu bawa kamu ke dalm bilik rahsia tu, Nonong?’. Pertanyaan datuk itu
membuat saya berpaling ke arahnya. Macam tadi juag, wajah datuk agak serius.
“Biasanya waktu tengah malam.”
“Tengah malam tu, agaknya pukul berapa, Nonong?” Tekanan suara datuk bagaikan memujuk .
Muka Nonong nampak serius sedikit. Hanya Fadillah menarik nafas lega. Senang hati melihat
kerjasama yang diberikan oleh Nonong kepada datuk.
“Kira-kira pukul dua belas tengah malam, emak berada dalam bilik ada masanya sampai pukul
dua pagi. Kalau musim bulan naik, makin kerap emak masuk, terutama masa bulan
mengambang, “ Nonong mula membuka cerita, pasti menarik dan mendebarkan. Seluruh
perhatian dan pendengaran ditumpukan kearah Nonong.
“Apa yang dibuatnya kepada kamu, semasa berada di dalam bilik?” Susul datuk lagi.
“Emak bakar kemenyan, asapnya diusap ke tubuh saya. Barang yang berbungkus dengan kain
tiga warna juga di usap dengan kemenyan . Lepas itu emak suruh saya keluar. Dan juga
mengingatkan supaya jangan menceritakan pada sesiapa pun apa yang saya alami semasa di
dalam bilik.”
“Semasa kamu keluar, emak kamu ikut keluar sama Nonong?”
Tiada jawapan dari Nonong, dia gelengkan kepala perlahan-lahan. Datuk tanpa putus asa,
mengulangi pertanyaan yang sama kepada Nonong.
SUBUH
“Emak memang tak ikut keluar, dia berada di situ hingga masuk waktu subuh. Apa yang
dibuatnya, saya sendiri tidak tahu. Ayah tahu semua tentang perkara ini, peliknya ayah tidak pula
melarangnya. Entah mengapa, ayah patuh dan percaya dengan cakap emak,” Nonong mengakhiri
cakapnya dengan wajah yang merah padam.
Mungkin dia merasa malu. Buktinya, Nonong tidak mahu merenung ke arah saya. Harun fadilla
tetap tenang. Barangkali pada hematnya, penjelasan terus terang dari Nonong akan dapat
mengatasi masaalah yang membelengu diri Nonong.
Datuk segera bangun, berjalan dari sudut ke sudut ruang makan. Harun Fadilla dan Nonong
masih berada di tempat tadi. Mereka nampak seperti mengalamun. Entah apa yang berputar
dalam kotak otak mereka, tiada siapa yang tahu. Mereka tidak bercakap, malah renungan mata
juga berbeza, tidak satu arah. Datuk duduk kembali di tempatnya.
“Terima kasih Nonong,” suara datuk merendah, “ keterangan kamu memudahkan saya memilih
cara atau jalan menyelesaikan masaalah diri kamu. Berusaha dan berfikir memang tidak salah
dari siri agama. Allah yang menentukan sama ada berjaya atau sebaliknya,” sambung datuk
dengan tenang.
“Lagi apa yang patut kami bantu, memanda,” tanya Harun Fadillah sambil berdiri wajahnya
membayangkan sebuah keyakinan, bahawa usaha datuk akan berakhir dengan sebuah kejayaan
yang besar ertinya dalam kehidupan keluarganya.
Begitulah tanggapan Harun Fadillah tetapi, tidak demikian dengan datuk. Pertanyaan yang
diajukan memaksa datuk mengkerutkan kening sambil menarik dan melepaskan nafas berkali
kali. Seolah-olah membayangkan dia terpaksa menghadapi masaalah yang sukar diselesaikan.
“Begini Harun,” telapak kanan tangan datuk terkandas disayap bahu kiri Harun Fadillah.
“Apa dia memanda?” Pintas Harun Fadilla secepat kilat.
Datuk tersentak, memang tidak diduganya secepat itu Harun Fadillah, memintas cakapnya.
Datuk lahirkan rasa kurang senang dengan melagakan gigi atas dan bawah berkali-kali.
Sepatutnya, Harun Fadillah memberi laluan kepada datuk untuk menyelesaikan cakapnya dulu.
“Maafkan saya memanda,” kata Harun Fadilla setelah menyedari kesilapannya.
“Tak apa Harun.” Balas datuk, “ perkara yang mahu aku tanyakan kepada kakak kamu ini agak
peribadi, boleh memalukan dirinya. Jadi aku minta kamu tinggalkan dia bersama aku dan Tamar
di sini,” sambung datuk.
“Tak jadi masalah, silakan memanda,” Harun Fadilla segera bangun dan kemudian melangkah
tenang, meninggalkan ruang makan. Sepasang anak mata Nonong menyorot langkah adiknya.
SUDUT
Datuk berdiri kembali. Macam tadi juga, dia bergerak dari sudut ke sudut. Akhirnya melabuhkan
punggung di tempatnya kembali. Nonong nampak tenang untuk menghadapi situasi selanjutnya
diruang makan.
“Tamar,”
Anak mata saya terpaku ke wajah datuk. Ada rasa gementar dalam hati.
“Ada apa tuk?”
“Apa yang kamu dengar ini jangan dihebahkan pada sesiapa pun. Kamu mesti ingat, membuka
aib sesaorang kepada orang lain, dilarang oleh agama. Kalau kamu buat kamu dapat dosa.”
“Saya faham, tidak saya hebahkan hal kak Nonong, samada yang baik atau yang buruk kepada
sesiapapun. Walau pun pada adik beradiiknya,” dengan tenang saya lafazkan sebuah ikrar di
depan datuk.
Ternyata, datuk senang dan gembira dengan ikrar tersebut. Saya toleh ke arah Nonong yang
tunduk merenung lantai. Wajahnya nampak cerah. Tadi, semasa datuk menyuruh adiknya keluar
dan mengizinkan saya berada di ruang makan, wajahnya nampak tidak ceria. Tetapi setelah
datuk mengingatkan saya agar “jangan banyak mulut” dan saya pula berjanji tidak akan
melakukan perbuatan demikian, Nonong nampak gembira.
“Nonong.”
Nonong pun angkat kepala. Sepasang anak mata hitam datuk bagaikan berada dalam kolam mata
Nonong.
“Ada apa memanda?” terungkap pertanyaan dari Nonong.
“Berikan kerjasama sebaik mungkin pada aku Nonong.”
Nonong anggukkan kepala.
Dengan tenang datuk memeluk tubuknya sambil menarik nafas dalam-dalam untuk beberapa
saat. Sebelum nafas dilepaskan , datuk luruskan kaki kirinnya. Bila kaki kiri berada kembali
kepada kedudkan asal, barulah datuk memindahkan sorotan matanya ke dinding.
“Nonong,” datuk memulakan kata, “ pernahkah sesaorang berkata kepada kamu begini, kau
cantik, sayangnya ada sesuatu pada diri kamu yang menyebabkan orang lelaki menjauhkan diri
dari kamu, mereka macam benci.”
“Hummmmmmmm……”
Nonong tidak meneruskan ungkapan. Dia termenung sebentar, macam ada sesuatu yang
diingatinya, “ada memanda,” sambungnya lemah.
“Siapa yang bercakap tu Nonong?”
“Seorang perempuan tua. Dia tu bidan kampung yang sekali gus jadi bomoh. Saya tak tahu
sekarang ni , dia masih ada atau sudah mati. Kenapa memanda?.”
“Tak ada apa-apa, cuma apa yang dikatakan oleh orang itu hampir sama dengan apa yang
terlintas dalam kepala aku,” ucap datuk bersahaja. Nonong nampak tergamam, saya pula terkejut.
Sesungguhnya, beruntung dan bertuah wanita yang dianugerahkan oleh Allah dengan kecantikan.
Tetapi malangnya manusia adalah makhluk lemah, selalu mensia-siakan pemberian tersebut,”
gegendang telinga saya masih dapat menangkap suara keluhan datuk dalam nada yang amat
perlahan. Dia masih juga merenung ke arah Nonong, tanpa berkedip.
RESAH
Entah mengapa secara tiba-tiba saya rasa resah tidak menentu. Badan terasa panas semacam,
padahal cuaca di luar tidaklah panas sangat. Tanpa mahu memberitahu datuk, saya bangun dan
lantas melangkah kemuka pintu lalu berdiri di situ.
Membiarka sekawan angin merempuh sekujur tubuh. Mendongak langit kota Medan yang terang
di bawah matahari petang dan sinar matahari yang redup itu jatuh di atas setiap bumbung
bangunan, tidak terkecuali bumbung Istana Maimun dan Masjid Raya. Sesungguhnya sebuah
kepuasan yang tiada taranya menyelinap ke dalam kalbu.
Kepuasan itu, tidak dapat dipertahankan dalam jangka waktu yang agak panjang. Musnah
diganggu batuk keras yang disengajakan oleh datuk.
Saya faham, batuk itu adalah batuk protes dari datuk untuk saya. Lebih tepat, batuk kemarahan
atas kebiadapan saya yang tidak memnita izinnya, ketika bangun tadi.
Tanpa banyak ragam dan karenah saya kembali masuk ke ruang makan dan duduk di tempat asal.
Kemarahan datuk masih belum reda, ekor matanya merenung tajam ke arah saya. Tidak berani,
saya menyanggah renungannya, melainkan tunduk macam orang bodoh.
“Nonong, cerita dengan jujur, jangan sembunyi-sembunyi, jangan tipu dan ditokok tambah,
walaupun perkara yang dicakapkan ini membuka pekung sendiri dan keluarga, mendatangkan
aib. Cuma dengan cara ini saja memanda boleh berusaha menolong kamu, boleh menunaikan
permintaan arwah ayah kamu. Kamu bersedia atau tidak. Cakap dengan jujur dan ikhlas,” suara
datuk bergetar. Badanya ditegakkan sambil mendada.
“Bersedia memanda,” sahut Nonong tangkas.
“Kalau begitu, kamu ceritakan pengalaman danperasaan yang kamu alami, semasa umur hampir
tiga puluh tahun, jangan segan,” pujuk datuk penuh diplomasi.
Buat beberapa detik, Nonong nampak resah. Mukanya membayangkan rasa kurang senang.
Sebentar menoleh ke kiri, sebentar menoleh ke kanan. Dalam saat-saat tertentu dia mengigit bibir
dan mengaru-garu leher jenjangnya. Semua yang dibuat , serba tidak kena.
Pelik sekali, dalam keadaan Nonong resah begitu, saya jadi ghairah terhadapnya. Timbul rasa
berahi terutama bila mengaru-garu lehernya. Cepat-cepat saya mengucap dan beristighfar
berkali-kali.
Kerasahan, kebimbangan yang dialami oleh Nonong berakhir juga. Dia tersenyum kerana
berjaya mengatasi gelodak hatinya. Dengan rasa penuh tanggung jawap untuk membebaskan diri
dari bayangan belengu ghaib, Nonong pun mengungkapkannya dengan rasa rendah hati kepada
datuk.
Nonong mengakui, semasa berusia awal tiga puluhan dia mengalami tekanan perasaan yang
cukup hebat,. Sering timbul pertanyaan dalam diri , kenapa tidak ada seorang pemuda yang ingin
mendekati dirinya.
Kawan-kawan persekolahan dan sepermainan, hampir semuanya sudah menikah. Malah ada
yang sudah mempunyai anak.
Dalam usia begitu, Nonong ingin menikmati suasana bercinta, bermesra serta berdampingan
dengan lelaki idaman yang berakhir dengan ikatan suami-isteri. Bila di depan cermin, dia segera
mencari kekurangan dan kelebihan dirinya.
Jauh di sudut hatinya, dia tetap mengatakan yang dirinya terjumlah dalam kategori gadis cantik
dan menarik. Berkulit putih kemerah-merahan . Berhidung mancung dengan sepasang anak mata
hitam yang bulat bersinar. Enungannya mampu menundukkan hati setiap lelaki.
Dengan raut muka bujur sirih bersama sepasang bibir nipis dengan tingginya hampir lima kaki,
mpat inci, Nonong memang menarik dan mempersonakan. Siti Hidayah yang tingginya lima kaki
sahaja sudah bersuami dan mempunyai dua orang anak. Nonong tahu, dimana dia berada, orang
tetap memuji dirinya, cantik dan anggun.
Semasa berkunjung di rumah Siti Hidayah yang baru seminggu melahirkan anak kedua, secara
kebetulan dia menemui dengan yang mengurut Siti Hidayah. Kali pertama melihat wajahnya,
bidan kampung itu tersenyum serta mengkagumi kecantikan yang dimiliki Nonong. Sebagai
seorang gadis tentu dia merasa megah, bila terpuji begitu.
BIDAN
Kemegahan dan kegembiraan itu tidak dapat bertahan lama dihatinya bila bila bidan kampung
itu mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.
Pada mulanya, Nonong tidak dapat menerima apa yang dikatakan oleh bidan kampung tersebut.
Tetapi, setelah Siti Hidayah campur tangan, sedikit kepercayaan mula berputik dalam hatinya.
Secara jujur dan ikhlas, Siti Hidayah memberitahu Nonong, dia mendapat suami adalah berkat
jasa dan usaha bidan kampung tersebut.
Siti Hidayah menyarankan supaya Nonong mengikuti jejak langkahnya . Mandi bunga tujuh
warna setiap malam. Bedak tubuh dengan bermacam jenis ramuan. Mandi tujuh kolah masjid,
satu tugas berat untuk dilaksanakan oleh Nonong.
Memang, sejak zaman sekolah lagi, Nonong tidak berminat dalam perkara-perkara yang ada
unsur tahyul.
Setelah didesak berkali-kali hati Nonong jadi lembut dan bersedia mematuhi saranan dianjurkan
oleh Siti Hidayah. Dia pun buat temu janji mengunjungi rumah bidan yang letaknya agak jauh di
hujung kampung, terasing dari rumah para penduduk lain.
Dalam pertemuan awal, bidankan kampung mengenakan beberapa syarat yang cukup ketat serta
pengeras yang cukup tinggi. Jika syarat-syarat itu dipatuhi, bidan kampung yang kaya dengan
pengalaman, memberi jaminan dalam waktu terdekat Nonong akan menemui jodoh.
Terpaku dengan harapan dan jaminan yang dikatakan itu. Pantang larang tidak dilanggar, segala
syarat akan dipatuhi.
Setahun Nonong menanti penuh sabar, harapannya tidak menjadi kenyataan. Tidak ada lelaki
mendekati atau masuk meminang. Usia Nonong terus bertambah. Bagi menghilangkan
kerunsingan yang membelengu fikiran dan batinnya, Nonong cuba bergerak dalam badan-badan
sosial dengan harapan akan bertemu jodoh.
Bila usianya masuk angka tiga puluh dua tahun, Nonong mengalami goncangan batin yang amay
hebat. Dia melihat adiknya mendirikan rumah tangga dengan pemuda kacak ang satu ketika dulu
pernah cuba mendekatinya.
Goncangan batin itu menimbulkan bermacam-macam reaksi dalam kalbu Nonong. Ada
ketikanya dia merasa benci dan marah dengan keadaan sekitarnya. Di waktu yang lain, dia
merasa hampa dan putus asa yang amat sangat. Nonong menangis dan mengurung diri dalam
bilik.
Sebagai anak sulung perempuan, dia lebih dekat dengan ibunya. Tidak hairanlah bila semua
masalah yang bersarang dalam dadanya ditumpahkan kepada ibunya. Dan ibunya mendamaikan
gelora batinnya dengan ungkapan,
“Belum ada jodoh lagi. Rajin-rajinlah berdoa pada Tuhan. Semuga kamu dipertemukan oleh
Tuhan dengan lelaki yang baik dan berhati mulia.”