Sejak setengah jam sebelumnya gongong anjing memanjang di
bawah rumah menyebabkan Embok Jah tidak dapat melelapkan mata. Bagaimanapun dia
tidaklah bangun dari tidur kerana ketika ini dinihari sudah terlalu sunyi sepi.
Embok Jah berbaring saja di atas tikar mengkuang berbantalkan bantal kekabu
tidak bersarung. Hatinya berdebar-debar juga setiap kali bunyi gonggong anjing
memanjang memecahkan kesunyian malam.
Petua orang tua-tua memang apabila anjing mengonggong
panjang alamatnya dia terlihat sesuatu lembaga melintas. Di waktu malam anjing
akan melihat lebih jelas sekalipun tidak dapat dilihat oleh pancaindera biasa.
Sebab itulah Embok Jah merasakan ada sesuatu yang dilihat oleh sang anjing
berkeliaran di tengah malam sepi itu.
Kemudian dia mendengar bunyi tapak kaki berjalan
mengelilingi rumahnya, sementara gonggongan anjing mulai tidak kedengaran lagi.
Perlahan-lahan Embok Jah mengerakkan suaminya, Wak Seman yang tidur berdengkur.
Kadangkala dia sendiri takut mendengar dengkuran suaminya yang memanjang itu.
“Ada apa ...? “ tanya Wak Seman mengesatkan mata.
“Cuba dengar tu, dengar,” bisik Embok Jah berhati-hati
mendengar bunyi tapak kaki orang berjalan mengelilingi rumahnya.
“Aku tak dengar apa-apa pun ,” kata Wak Seman merungut kecil
kerana masih mengantuk. Memang dia merasa tidak senang diganggu tatkala sedang
nyenyak tidur. “Aku tak dengar apa-apa pun, kau ni takut tak fasal-fasal ,” dia
kembali menarik selimutnya untuk tidur semula.
Embok Jah tidak dapat berkata apa-apa kerana suaminya enggan
mendengar katanya. Dia sendiri mendengar bunyi tapak kaki orang berjalan
mengelilingi rumahnya, tetapi suaminya Wak Seman menafikan dia ada
mendengarnya. Sepatutnya Wak Seman mestilah mengambil perhatian dengan apa yang
diberitahunya. Tersinggunglah hati Embok Jah dengan tingkah laku suaminya itu.
Setelah Wak Seman tidur semula, bunyi tapak kaki yang
berjalan itu semakin jelas kedengaran. Kalau hendak dikatakan pencuri, apa
sangatlah hendak dicuri orang di rumahnya. Mereka tinggal berdua suami isteri
saja di situ dan menumpang di hujung tanah Haji Karim.
“Hei, bangunlah. Cuba dengar tu,” Embok Jah merasa geram
dengan sikap suaminya tidak mahu ambil peduli. Bunyi tapak kaki orang berjalan
mengelilingi rumahnya sangat jelas kedengaran.
Wak Seman hanya mengeliat-geliat saja. Dia tetap tidak juga
bangun menyiasat apakah yang sebenarnya yang berjalan mengelilingi rumahnya di
bawah sana. Jangankan dia mahu bangun, membuka matanya pun dia tidak. Semakin
digerakkan oleh Embok Jah, semakin kuat dia menarik selimut.
Melihat keadaan Wak Seman yang tidur macam batang kayu,
menyebabkan Embok Jah menjadi marah. Dia mencapai parang di atas bendul.
Kemudian dengan menggunakan lampu pelita ayan dia terus turun ke tanah mahu
menyiasat sendiri apakah sebenarnya yang berjalan mengelilingi rumahnya. Hati
Embok Jah marah sangat diganggu oleh bunyi tersebut, disamping sikap suaminya
Wak Seman yang tidak mempedulikan apa-apa kalau sudah tidur nyenyak.
Dia memberanikan hati berdiri di atas anak tangga, bunyi
tapak kaki orang berjalan itu senyap tidak kedengaran. Setelah mempastikan
tidak ada apa-apa Embok Jah naik semula ke rumah.
Baru saja dia membaringkan tubuhnya, bunyi tapak kaki orang
berjalan itu kedengaran semula. Hatinya mula menuduh tentu ada pencuri mahu
mencuri buah kelapa Haji Karim di hujung sawah. Atau ada juga yang berani
mencuri padi di tengah sawah. Tetapi di kampung itu jarang pula kedengaran
pencuri.
Puas mengagak-ngagak Embok Jah terus berbaring dekat dengan
dinding yang boleh mengintai kebawah. Dia memerhatikan melalui lubang di celah
dinding kalau-kalau ternampak orang melintas.Puas dia mengintai namun bunyi
tapak kaki orang berjalan itu masih juga kedengaran, tetapi tidak sah siapa pun
di tanah.
Timbullah ketakutan di hati Embok Jah. Dia mula meneka-neka
yang bukan-bukan. Boleh jadi pengawal tanah Haji Karim yang didengarnya. Mana
tahu, orang kaya seperti Haji Karim memang ada memelihara pengawal supaya
hartanya tidak diganggu orang. Dia pernah juga mendengar cerita seorang lelaki
Cina yang cuba memanjat pokok rambutannya tiba-tiba saja jatuh terduduk tidak dapat bangun.
Sehinggalah Haji Karim sendiri datang ke situ dan lelaki Cina itu meminta maaf,
barulah lelaki Cina itu dapat bangun berjalan setelah belakangnya ditepuk-tepuk
oleh Haji Karim.
Apabila diceitakan pada Wak Seman, suaminya tertawa
terbahak-bahak macam mengejek dia. Wak Seman tidak percaya dengan cerita Embok
Jah kerana dia sendiri tidak mendengar apa-apa. Kalaulah benar pengawal tanah
Haji Karim tentulah Wak Seman juga boleh mendengarnya sama. Masakan Embok Jah
seorang saja yang mendengar bunyi tersebut.
Kerana mahukan kepastian Embok Jah sendiri bertanyakan pada
Haji Karim mengenai pengawal tanahnya yang dikatakan oleh Embak Jah berkeliaran
itu.
“His, Embok jangan percaya dengan perkara karut tu,” Haji
Karim menasihatkan dia. “Semua harta yang ada pada kita hanya kepunyaan Allah.
Dia boleh mengurangkan dan dia boleh melebihkan. Tak ada pelindung selain dari
Allah,” ujar Haji Karim geli hati dengan cerita Embok Jah.
“Habis apa Embok dengar tu?” dia masih lagi keheranan.
“Ah,, mungkin pendengaran Embok aje,” jelas Haji Karim. Dia
sendiri heran dari mana Embok Jah mendengar cerita mengatakan dia menyimpan
belaan tahyol untuk menjaga hartanya. Sepanjang hidupnya dia sendiri tidak tahu
menahu mengenai benda-benda demikian.
Lagipun apalah perlunya benda-benda belaan ini, kerana harta
dunia hanya untuk sementara. Allah SWT boleh menghilangkan harta di tangan
kalau dikehendakiNya, sekalipun banyak menyimpan benda-benda peliharaan bagi
mengawal harta. Tiada siapapun yang dapat mengatasi kekuasaan Allah.
Setelah mendengar penerangan Haji Karim, Embok Jah masih
juga belum puas hati. Dia tetap terganggu dengan peristiwa yang dialaminya
berturut-turut dua malam. Pada malam ketiganya Embok Jah bernekad untuk
menyiasat sendiri. Apapun akan terjadi dia tidak peduli lagi. Hatinya yang
takut sudah menjadi berani menghadapi apa juga kemungkinan. Biarlah suaminya
tidur nyenyak tidak memperdulikan apa pun yang ditanggungnya sekarang.
Malam yang ketiga itu sehingga jam 12.00 malam dia berjaga
menunggu bunyi tapak kaki orang berjalan, tetapi tidak kedengaran . Suaminya
Wak Seman sudah tidur nyenyak. Dia bernekad tidak akan mengejutkan suaminya
lagi kalau bunyi itu muncul pada waktu tengah malam.
Puas dia menungu tapi tidak juga muncul bunyi yang
membimbangkan sejak dua malam berturut-turut. Bunyi gonggong anjing juga tidak
kedengaran mendayu dayu seperti malam sebelumnya. Percayalah Embok Jah gangguan
itu tidak datang lagi mengganggu. Barulah dia dapat melelapkan mata.
Dia turun di tengah halaman duduk mencangkung memerhatikan
di sekeliling rumah. Puas dia memerhatikannya tidak juga kelihatan apa-apa.
Nyamuk pula banyak menyebabkan Embok Jah hampir tidak tertahan mahu
menamparnya. Tetapi dia kuatkan semangat kerana kalau ditampar nyamuk berkenaan
bimbang juga dia akan didengar oleh orang yang berjalan mengelilingi rumah.
Embok Jah terus mencangkung di tengah halaman. Tangannya
memegang parang tidak berhulu erat-erat. Kalau musuh dia tidak akan tertangguh
menyerbunya walau apa pun akan terjadi. Hatinya sudah tidak merasa takut lagi,
sekalipun musuh yang di hadapannya lebih kuat dan perkasa. Dia mahu tahu apakah
tujuan berjalan mengelilingi rumahnya pada waktu malam?
Dalam masa agak-ngagak itu Embok Jah mendengar bunyi tapak
kaki orang berjalan itu makin hampir kepadanya. Dia pun mengamat-amati dari
mana arah datangnya. Sebaik saja dia berpaling ke belakang dilihatnya sebuah
benda bulat seperti buah kundur terlompat-lompat tergolek.
“Oh, kau rupanya !” bentak Embok Jah lalu ditetaknya buah
kundur yang melompat-lompat itu sehingga kedengaran seperti tapak kaki orang
berjalan. “Aku tau kau bajang....” kata Embok Jah lagi menetak berulang kali.
Walaupun di dalam gelap tetap Embok Jah dapat merasakan
bahawa tetakannya menyinggah sasaran. Dia juga tahu memang menjadi pantang
larang kalau ditetak dengan parang beletong.
“Cukuplah, jangan tetak aku lagi,” rayu bajang
terketar-ketar kerana parang beletong itu melemahkan dirinya.
Itulah kisah mula Embok Jah menemui bajang diceritakan
kepada saya oleh Usin Gagap semasa saya ke rumah kawan saya Haji Somo di
Tanjung Karang. Kebetulan ketika saya ke sana Usin Gagap ada di rumah Haji
Somo. Usin Gagap sengaja mahu berjumpa dengan saya kerana mendapat tahu dari
Haji Somo saya boleh membuangkan gangguan bajang turun temurun yang
dideritanya.
‘”Saya ni keturunan Embok Jah tu ustaz,” Usin Gagap
menjelaskan.
“Tapi saya bukannya bomoh Bang Usin,” jelas saya
mengingatkan dia.
“Ah, ustaz cubalah macam mana pun,” dia tetap merayu-rayu
kerana yakin betul-betul saya boleh membuangkan gangguan bajang tersebut.
Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa. Kalaulah bajang ini
peliharaan turun temurun dari nenek moyangnya, tentulah Usin Gagap sendiri
boleh membuangnya dengan jalan tidak lagi memeliharanya. Tetapi bagaimana pula
dia meminta saya untuk membuangnya.
Susah juga saya hendak menolak kerana orang menganggap saya
seorang bomoh yang boleh menyembuhkan penyakit. Mungkin Haji Somo cuma mahu
menerangkan pengunaan ayat-ayat Quran boleh menyembuh penyakit, seperti yang
pernah saya lakukan. Tetapi bukanlah bertujuan mahu jadi bomoh.
Hal ini samalah seperti seorang kawan saya meminta saya
menuliskan beberapa pengalaman saya, telah dihubungi oleh pembaca-pembacanya
untuk berubat. Ada diantaranya merayu-rayu mahu bertemu dengan saya bagi tujuan
perubatan. Sebenarnya saya tidak berani melakukan kerana saya bukan seorang
bomoh. Apa yang berlaku hanyalah secara kebetulan di kalangan kawan-kawan rapat
saya saja, dan saya cuba membantunya.
Beginilah saya hadapi dengan Usin Gagap semasa saya ke
Tanjung Karang mengunjungi kawan saya Haji Somo ini. Sebenarnya saya sendiri
belajar beberapa perkara mengenai fiqah dengan Haji Somo, kerana sesungguhnya
saya masih kekurangan dengan ilmu. Malah sewaktu menunaikan umrah di Mekah saya
sering beberapa kali, duduk mendengar ceramah agama di beberapa penjuru
Masjidil-Haram, yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah dari Indonesia,
Pakistan dan India. Kadangkala saya tidak faham apa yang disampaikannya, tetapi
tetap mendengarnya terutama apabila menyentuh tentang tafsiran al-Quran.
Sebab itulah saya sering memberitahu kawan-kawan yang
mengenali saya bahawa jangan sekali-kali menganggap saya ini bomoh. Saya tidak
tahu mengubat apa-apa penyakit pun.
“Saya minta sangatlah ustaz, cubalah doakan sikit masalah
saya ni,” Usin Gagap mendesak saya.
Sukar juga saya mahu memberikan jawpan kerana doa yang afdal
adalah dilakukan sendiri oleh mereka yang memerlukan. Tetapi masalah yang
dihadapi oleh Husin Gagap memang unik, kerana isterinya selalu sakit-sakit
seluruh badan. Anaknya seorang juga sakit,, bagaimanapun pihak hospital
memberitahu ianya mengidap sakit jantung berlubang.
Wallahualam!
Aapabila diceritakan masaalah ini kepada Haji Somo, maka
Haji Somo menyuruhnya menemui saya. Inilah yang menyebabkan saya serba salah.
Sebab itulah saya meminta Usin Gagap menceritakan apa yang diketahuinya tentang
moyangnya Embok Jah itu.
SELEPAS bajang itu merayu meminta Embok Jah jangan
menetaknya lagi, terasalah belas kesihan di hati Embok Jah. Tidak jadilah dia
meneruskan menetak bajang yang tergolek seperti buah kundur itu.
“Apa kau hendak sudah tiga malam berturut-turut menakutkan
aku?” herdik Embok Jah memberanikan hatinya.
“Aku tak bertuan,, belalah aku,” bajang seperti buah kundur
tergolek itu merayu.
“Aku orang miskin, makan pun susah. Macam mana nak bela
kau,” sahut Embok Jah menengking.
“Kalau kau bela aku, sudah tentu aku akan menolong kau. Kau
akan jadi senang linang,” ujar bajang memberikan janji.
Mendengarkan bajang itu boleh membantunya menjadi senang,
hati Embok Jah merasa ada baiknya dia menerima bajang itu untuk dibela. Lagipun
bukan dia yang mencari tetapi bajang itu datang sendiri ke rumahnya. Sudah
tentulah bajang berkenaan merupakan rezki juga padanya.
“Macam mana aku nak bela kau ?” Embok Jah mash juga sangsi.
“Belalah aku,” bajang itu meirntih-rintih minta belas
kesian.
Setelah dirayu oleh bajang akhirnya Embok Jah bersetuju
membela bajang berkenaan. Embok Jah hanya memerlukan sebulan sekali saja
memberi makan iaitu apabila bulan mengambang penuh. Makan yang diperlukan oleh
bajang hanyalah menyiramkan darah ke tubuhnya yang tergolek seperti buah kundur
itu.
Embok Jah merasa tidaklah susah sangat hendak mendapatkan
darah, kerana darah yang dikehendaki oleh bajang bukanlah semestinya darah
manusia. Dia memerlukan apa saja darah sebagai makanan. Dia akan menunggu Embok
Jah setiap kali bulan mengambang penuh di bawah pohon cenerai dekat dengan
tanah perkuburan.
Sejak membela bajang itu kehidupan Embok Jah suami isteri
berubah. Dia mendapat rezeki yang berlipat ganda.
Haji Karim sendiri berasa heran kerana sawahnya yang
diusahakan oleh Embok Jah tidak seberapa, tetapi hasilnya berkepuk-kepuk.
Disebabkan Haji Karim bimbang dengan perubahan mendadak itu, maka dia telah
menjualkan tanah sawah yang dikerjakan oleh Embok Jah itu kepada Embok Jah
sendiri.
Selepas inilah Embok Jah mendapat seorang anak perempuan.
Tidak lama selepas dia mendapat anak itu, suaminya Wak Seman meninggal dunia.
Embok Jah tidaklah berkahwin lagi selepas kematian Wak Seman. Dia mampu
memelihara anaknya Jarah, kerana hartanya semakin bertambah.
Demikianlah kehidupan Embok Jah. Padinya sentiasa menjadi.
Berkepuk-kepuk padinya tidak habis setiap tahun. Kadangkala dijual berapa
banyak pun padinya tetap penuh d kepuk. Buah kelapa di kebun kelapanya pun
menjadi-jadi sehingga tidak putus-putus berbuah.
Segala janji bajang untuk memberikan kesenangan kepadanya
ternyata ditunaikannya. Ternakan Embok Jah juga menjadi-jadi. Sehinggalah Jarah
menjadi anak dara, kekayaan Embok Jah semakin bertambah. Malah dia lebih kaya
dari Haji Karim sendiri. Tidak siapa pun tahu akan rahsia kekayaan Embok Jah.
Satu masa seorang pemuda telah masuk meminang Jarah.
Pinangan itu diterima dengan senang hati oleh Embok Jah, walau pun Lamid yang
meminang itu merupakan seorang pemuda miskin yang selalu mengambil upah
mengopek kelapanya. Pada mulanya orang-orang kampung tidak yakin Embok Jah yang
kaya raya itu mahu menerima pinangan Lamid.
Tetapi ternyata dugaan orang-orang kampung tidak tepat.
Embok Jah tidak memilih taraf dan kedudukan untuk menerima menantunya. Setelah
semuanya bersetuju maka Lamid pun dikahwinkanlah dengan Jarah.
Selepas menjadi suaminya, Jarah berubah sikap. Dia memandang
rendah suaminya yang berasal dari orang miskin. Malah kalau ibu bapa Lamid
datang berkunjung ke rumahnya dia tidak membenarkan naik ke rumah oleh Jarah.
Perbuatan Jarah ini menyebabkan Lamid tersinggung menyebabkan berlakunya
pertengkaran antara Lamid dan Jarah.
“Tak sedar diri jantan menumpang,” jerit Jarah melepaskan
geram terhadap Lamid. “makan pun emak aku tanggung, nak tunjuk besar kepala,”
katanya mengejek suaminya sendiri.
“Bangsat kau,” Lamid meninggikan suara kerana tersinggung
dengan sikap isterinya. “Kaya harta apa gunanya kalau tak ada budi bahasa.
Menantu apa namanya kalau menghalau mertua datang ke rumah,” jerkahnya.
“Kalau tak ada harta emak aku, kau mati kebulur,” Jarah
menyakiti hati Lamid.
Disebabkan tidak tertahan dengan sikap isterinya yang
sombong itu Lamid terus mempertahankan dirinya. Dia tidak rela Jarah
mengungkit-ungkit tentang kekayaan Embok Jah. Dia duduk di situ pun dengan
membuat kerja bukannya duduk saja tidak membuat apa-apa.
Kalau dia tidak mengusahakan kebun kelapa dan sawah Embok
Jah tentulah tidak siapa mahu membantunya. Memang Embok Jah sendiri
mengharapkan dia menguruskan semua kerja-kerja tersebut. Tentulah dia
tersinggung bila Jarah mensifatkan dia hanya menumpang harta kekayaan Embok Jah
semata-mata.
Sebab itulah dia terlalu marah bila Jarah tidak membenarkan
kedua orang tuanya datang berkunjung ke situ. Malah Embik Jah sendiri tidak
pernah bersikap demikian. Tetapi Lamid tidaklah mahu memberitahu masaalah rumah
tangganya kepada Embok Jah. Dia tahu kalau diberitahu kepada Embok Jah tentulah
perempuan itu akan memarahi Jarah.
Rumahtangga Jarah tidak aman ini diketahui juga oleh Embok
Jah. Risau juga dia kerana harta kekayaan tidak dapat menjamin kebahagian rumah
tangga anaknya. Padahal seingatnya dia tidak pernah bersikap sombong walaupun
sudah menjadi kaya raya. Sebab itulah dia sanggup menerima Lamid menjadi
menantnya walaupun lelaki itu miskin.
“Nampaknya kekayaan tak boleh memberi kebahagiaan pada anak
cucuku,” keluh Embok Jah apabila mendapati anaknya Jarah sering bergaduh dengan
Lamid. “Inilah kesan harta yang diperolehi dengan pertolongan bajang,” katanya
terlepas cakap di depan Lamid.
Apa boleh buat kata sudah terlanjur. Rahsia kekayaannya
sudah diketahui oleh Lamid. Oleh itu apabila berlaku pertengkaran dengan Jarah,
dengan pantas Lamid akan menyebut mengenai harta kekayaan yang diperolehi
melalui pertolongan bajang itu. Setiap kali Lamid mengungkit-ngungkit setiap
kali pula Embok Jah jatuh sakit.
“Jangan kau nak tunjuk sombong, harta kau ni harta bajang
tau!” Lamid mengejek.
“Harta bajang pun, kau sama juga makan,” balas Jarah geram.
“Sekarang aku tak mahu lagi harta bajang. Aku tak perlu lagi
makan harta bajang,” katanya menahan kemarahan yang membara. Itulah
pertengkaran terakhir antara mereka berdua. Selepas itu Lamid meninggalkan
kampung tersebut tidak diketahui ke mana dia menghilang.
Sejak kehilangan Lamid Embok Jah sentiasa bermuram durja
kerana tidak ada siapa yang mahu menguruskan hartanya. Lamid pula tidak
mengetahui sikap Jarah yang selalu marah-marah itu rupanya ‘pembawa’ budak.
Ketika itu Jarah sedang mengandung. Sehingga Jarah selamat melahirkan anak,
Lamid tetap tidak balik ke kampung tersebut. Terasa menyesal Jarah, tetapi apa
hendak dikatakan semuanya sudah berlalu.
“Macam inilah ustaz ceritanya,” beritahu Usin Gagap.
“Jadi perkara ni belaan turun temurun laaa,” ujar saya
perlahan.
Usin Gagap mengangguk. Dia sendiri tidak mahu lagi ‘belaan”
datuk nenek moyangnya datang menggangu keluarganya. Kerana ‘belaan’ itu tidak
dijagalah menyebabkan keluarga Usin Gagap tidak kaya raya seperti kisah Embok
Jah itu.
Kadangkala sukar juga mahu difikirkan oleh akal biasa,
bagaimana ‘belaan’ demikian boleh memberikan kekayaan kepada sesaorang. Tetapi
inilah diamalkan oleh orang tua-tua dulu yang masih berpegang kepada
kepercayaan sebelum kedatangan Islam.
Usin Gagap memberitahu dia memang tidak pernah meninggalkan
sembahyang, sentiasa berzikir kepada Allah, tetapi gangguan bajang turun
temurun itu tetap tidak dapat dihindarkan.
“Sebab itu lah saya minta sangat ustaz menolong saya,”
katanya macam merayu.
“Apa yang menjadi masalah Abang Usin?” soal saya.
“Isteri saya itulah,” jelasnya sayau bila mengenangkan
masalah yang dihadapi oleh isterinya. Selama 20 tahun mereka berkahwin, sudah
mempunyai 5 orang anak, penyakit
isterinya sentiasa menganggu. Seluruh badannya sakit-sakit seperti dicucuk
jarum, kadangkala perutnya sakit memulas-mulas sampai seluruh mukanya menjadi
pucat.
Pernah juga isterinya batuk-batuk hingga keluar darah hidup.
Apabila dibawa ke hospital pihak doktor mengagakkan batuk kering. Usin Gagap
sudah pun membawa isterinya berubat di hospital batuk kering di Kuala Lumpur,
tetapi setelah diperiksa dengan rapi tidak ada tanda-tanda batuk kering itu.
Usin Gagap sudah juga membawa isterinya berjumpa bomoh. Ada
bomoh yang mengatakan isterinya termakan santau. Setelah diubat, penyakit
isterinya tidak juga berubah.
Usin Gagap hampit putus asa, kerana sejak berkahwin dengan
isterinya penyakit itu tetap tidak berubah. Kalau termakan santau atau pun
dihinggapi batuk kering, masakan isterinya boleh bertahan sehingga 20 tahun
kalau dilihat dari segi zahirnya. Tetapi kalau sudah ditentukan Allah, tidak
sakit pun boleh menemui ajal.
Kerunsingannya ini, diceritakan pada Haji Somo. Itulah
sebabnya Haji Somo lah yang mengaturkan pertemuan saya dengan Usin Gagap,
kerana dia tahu saya akan datang ke rumahnya pada hari Ahad itu.
Mula-mula tersinggung juga saya pada Haji Somo yang
mendorongkan Usin Gagap menemui saya, kerana sudah berkali-kali saya mengingatkan
dia janganlah dorongkan sesiapa pun menemui saya. Tetapi setelah memikirkan
Usin Gagap beriya-iya sangat berharap, maka saya bersetujulah untuk mencari
punca masaalahnya.
Sebelum itu saya hendak tahulah samada Usin Gagap pernah
menuntut ilmu-ilmu kebatinan dan berpa banyak ilmu –ilmu kebatinan yang
diamalkannya. Usin Gagap memberitahu dia tidak pernah menuntut ilmu-ilmu
kebatinan. Sebab itulah saya tanyakan sekiranya datuk neneknya
pernahmenceritakan samaada mereka dulu ada benda-benda ‘belaan’.
Dari sinilah baru dia teringat akan cerita Embok Jah.
Isterinya mengaku dia merupakan salah seorang keturunan dari Embok Jah itu.
Malah sebahagian tanah pusaka peninggalan Embok Jah di kampungnya adalah
miliknya.
Semasa Lipah, isteri Usin Gagap keluar menatang air bersama isteri Haji Somo, dia kelihatan sihat
walaupun tubuhnya kurus. Mukanya yang kecil serta pipi cengkung ,
memperlihatkan tanda-tanda dia menanggung penderitaan yang lama melawan
penyakitnya. Mujurlah dia mempunyai pendidikan agama yang baik dan banyak
menghafal doa-doa dari ayat Quran.
“Sekarang kakak tak rasa sakit apa-apa?” tanya saya sebaik
saja Lipah duduk sambil menuangkan air.
“Sekarang ni tak sakit, tapi ada masa-masanya terasa
menyucuk-nyucuk seluruh badan macam ditusuk jarum.” Jelasnya memberitahu.
“Insya Allah kita akan cuba tengokkan penyakit kakak itu,”
saya memberi jaminan walaupun saya tidak tahu apa harus dilakukan.
Nota. Cerita ini
macam tiada penamatnya..Tetapi sampai setakat itu saja ceritanya yang tertulis
dalam buku tersebut