HAJI Basilam pun memulakan langkahnya. Kami segera
mengekorinya, meredah pepokok
renik dan badan yang dingin kembali berpeluh. Panas kembali
terasa mengigit kulit
tubuh. Sesekali terdengar siulan burung liar.
Kami segera berjalan hingga bertemu dengan jalan enam kaki
yang debunya
berterbangan ditolak angin. Debu-debu itu jatuh di dedaunan
dikiri kanan jalan enam
kaki.
“Berhenti."
Haji Basilam angkat tangan. Langkah kami segera terhenti.
"Kenapa Pak Aji?" Tanya Andi Kamarool.
"Apa yang kamu berdua alami dan rasai bersama aku tetap
menjadi rahsia kita bertiga,
tidak boleh diceritakan pada orang lain," wajah kami
terus ditatap oleh Haji Basilam silih
berganti. Saya dan Andi Kamarool bertukar pandangan.
Kemudian, .serentak kami
mengangguk.
"Jika aku tahu, kamu berdua pecahkan, rahsia ni pada
orang lain, aku pecahkan kepala
kamu berdua dengan ini...." Haji Basilam mengacukan
penumbuk kepada kami berdua.
Wajahnya nampak serius, anak mata hitamnya bagaikan memancar
keazaman. Nada
suaranya cukup keras, membuat hati kami kecut perut.
"Kami berjanji patuh dengan pesan Pak Aji,"
serentak kami memberi ikrar.
"Ok."
Ada senyum terukir di kelopak bibir Haji Basilam. Saya
menarik nafas lega.
"Mari Andi. Tamar, kita dah lewat ni."
Haji Basilam segera menarik tangan saya dan Andi Kamarool.
Kami dipeluk dan ditolak
dengan kasar agar mara ke depan.
Kemudian digesa berjalan cepat menuju ke kawasan perumahan.
Saya tidak berminat
bertanya pada Haji Basilam nama kampung yang ditujui. Sampai
dipintu tangga rumah
kelak, nama kampung akan diketahui juga, fikir saya dalam
hati.
Setelah melepasi sebuah surau kecil berdinding papan,
beratap zink, seterusnya, kami
berdepan dengan sebuah rumah berbumbung limas. Halamannya,
cukup bersih dari
dedauan dan rerumput. Kiri kanan halaman ditanam dengan
pokok kemunting serta
diselang seli dengan pokok bunga kertas.
"Datuk kamu ada di rumah tu."
Itu yang dituturkan oleh Haji Basilam, sebaik saja sebelah
kaki saya berada di halaman
rumah tersebut. Saya anggukkan kepala, Andi Kamarool
tersenyum. Kami terus
mendekati rumah berbumbung limas itu.
Entah bagaimana, pandangan saya tertumpu ke arah sesusuk
lelaki tua yang berdiri di
situ? Muncul pertanyaan dalam hati.
Walau demikian, di bawah sinar matahari yang membahang itu,
saya terus mengamati
lembaga tersebut. Sudah nyata, orang yang berdiri itu, tidak
lain, tidak bukan ialah datuk
saya. Dia melambai-lambaikan tangan ke arah kami bersama
senyum lebar. Lambaian
kami balas, Langkah dipercepatkan menuju ke rumah.
"Lama juga kamu menanti budak-budak ni?"
Begitulah datuk menyambut kedatangan kami. Haji Basilam
tidak segera menjawab.
Malah
dengan tenang mengesat peluh di dahi dengan hujung baju.
Saya dan Andi Kamarool
terus tercegat di kaki tangga.
"Budak-budak ni, buat hal pula. Lain yang disuruh, lain
pula yang mereka buat," sahut
Haji Basilam sambil menjeling ke arah saya dan Andi
Kamarool. Kami pura-pura buat
bodoh.
"Tak sangka agakkan aku betul, memang aku jangka budak
berdua ni, suka buat
tergeliat," tanpa memandang ke arah kami datuk
bersuara.
“Naik," Haji Basilam mengeluarkan perintah. Semuanya
kami patuhi.
Setelah berada lebih dari tiga jam di dalam perut rumah
berbumbung limas, sejarah
rumah itu terungkap. Rumah yang sudah berusia lebih dari
seratus tahun itu, milik salah
seorang keluarga rapat Haji Basilam. Sejak pemiliknya
meninggal dunia, rumah tersebut
terbiar dan menjadi rumah penginapan istimewa bila Haji
Basilam berkunjung ke daerah
Kerinchi.
"Saudara mara rapat yang lain, boleh dikatakan tidak
betah tinggal di rumah ni. Paling
lama mereka boleh tidur semalaman saja, masuk malam kedua,
kena campak keluar,"
tenang sekali Haji Basilam mengungkapkan kisah aneh rumah
pusaka.
"Pak aji pernah kena campak?" Andi Kamarool
bertanya.
"Setakat ni belum lagi, Insya Allah perkara macam tu tak
akan terjadi. Datuk si Tamar
juga hebat, dah tiga hari tiga malam di sini, dia tak apa-
apa."
"Ahemmm " Datuk bersuara.
Haji Basilam segera menoleh ke arahnya
(datuk) yang berdiri dekat tingkap. Serentak mereka ketawa
kecil yang tersirat dengan
seribu makna.
"Kata kamu dulu, kamu nak beri pengalaman baru pada
budak-budak berdua ni. Ada
baiknya kamu memikirkan perkara itu daripada bercerita
tentang rumah lama dan diri
aku," datuk melontarkan komen.
"Saya ingat."
"Apa rancangan yang kamu siapkan untuk mereka?"
"Mencari orang pendek?" biji mata datuk terbeliak.
Kemudian dia termenung sebentar,
macam ada sesuatu yang difikirkan. Tanpa banyak cakap datuk
masuk ke biliknya.
JUMPA
PETANG itu, Haji Basilam membawa kami berjumpa dengan
beberapa orang tertentu
yang masih ada pertalian keluarga dengannya. Selama Haji
Basilam dan datuk menginap
di rumah pusaka, mereka bermurah hati menyediakan sarapan
pagi, makan tengahari dan
malam untuk datuk dan Haji Basilam.
Imam surau berdekatan meminta datuk menjadi imam serta mengajar
ilmu agama. Datuk
tidak menghampakan permintaan tersebut.
Dalam sekelip mata saja nama datuk jadi buah mulut penduduk
setempat. Kalau mereka
menghadapi masalah hukum agama, datuk jadi tempat rujukan.
Pendek kata, datuk jadi
tumpuan, tempat mengadu susah senang dan meminta nasihat.
Malah kalau ada yang
kena sakit demam, datuk juga jadi tumpuan.
"Datuk kamu terkenal di sini," bisik Haji Basilam,
ketika keluar dari sebuah rumah anak
buahnya. Saya hanya anggukkan kepala sambil melagakan sisi
bawah dengan atas berkalikali.
Andi Kamarool tidak memberikan sebarang komentar.
"Kamu berdua boleh pergi ke mana-mana di kampung ni.
Dari pangkal hingga hujung
kampung ni semuanya anak buah aku, keselamatan kamu
terjamin, aku nak balik dulu.
Ada hal yang nak aku buat bersama datuk kamu di rumah,"
Haji Basilam segera
meninggalkan saya dan Andi Kamarool di kelapa simpang.
Kerana cuaca baik, saya mengajak Andi Kamarool pergi ke
sebuah kawasan sebelah
utara. Saya amat terpikat dengan suara burung merbuk yang
datang dari arah tersebut.
Permintaan saya tidak dihampakan oleh Andi Kamarool. Bila
sampai di kawasan tersebut,
saya dapati banyak sekali beburung merbuk terbang bebas dan
turun berkejar-kejaran
dikawasan yang berpasir halus.
Sebagai manusia yang memang minat dengan burung merbuk
terutama suaranya,
keadaan begitu membuat saya lupa dengan keadaan begitu
membuat saya lupa dengan
keadaan sekitar. Tanpa kami sedari, langit yang putih
bersih, segera bertukar menjadi
hitam pekat, angin mula bertiup kencang. Dedaun tua dan
reranting yang reput segera
berjatuhan. Dalam sekelip mata, beburung merbuk yang
berkeliaran terus ghaib entah ke
mana.
"Hari nak ribut," kata Andi Kamarool.
Saya anggukan kepala.
"Kita balik Tamar."
“Tak sempat sampai, kita tumpang, kita tumpang teduh di
mana-mana."
"Ayuh, kita cari tempat," Andi Kamarool
mengemukakan usul.
Sebaik saja Andi Kamarool selesai bercakap, hujan pun turun
dengan lebatnya. Kami
tiada pilihan dan terpaksa meredah hujan lebat yang turun
berjurai.
Akhirnya, kami tumpang berteduh di sebuah pondok usang. Saya
dan Andi Kamarool
mula mengigil. Hujan terus turun mencurah-curah dan kali ini
disertai dengan petir dan
kilat sabung menyabung, memekakkan anak telinga. Di
mana-mana kelihatan air sekata.
Kabel letrik yang terentang ditiang berlaga sama sendiri
hingga menimbulkan percikan
bunga api. Saya melihat dahan yang sekah dari pokok lalu
jatuh ke bumi. Keadaan
sekeliling sungguh mendebarkan. sungguh menakutkan.
"Ribut dan hujan bersatu," saya merunggut.
"Macam membawa petanda yang buruk," sahut Andi
Kamarool.
Dan satu ledakan petir mengegarkan seluruh kawasan.
Kelihatan api petir menjilat pokok
nibung.
"Macamana kita Tamar. Apakah kita mesti bertahan di
sini."
"Sabar, bila reda kita balik."
Andi Kamarool mengangguk setuju.
Tidak lama berselang hujan beransur kurang. Begitu juga
dengan angin. Kilat dan petir
juga tidak sehebat tadi. Tanpa melengah-lengahkan masa, kami
pun memulakan langkah
pulang penuh debar.
"Terperangkap?" Tanya datuk sebaik sahaja kami
melintasi ruang tengah untuk menuju
ke bahagian belakang.
"Hujan lebat, petir dengan kilat sabung menyabung,
angin cukup kuat." Andi Kamarool
menjawab. Ketika itu, saya sudah pun berada di bahagian
belakang rumah menukar
pakaian yang basah.
"Singgah dimana?"
Haji Basilam pula bertanya.
"Di rumah tinggal."
Jawapan itu disambut oleh datuk dan Haji Basilam dengan
ketawa kecil. Haji Basilam
memberitahu Andi Kamarool, semasa ketiadaan kami tadi,
mereka dikunjungi oleh dua
orang lelaki. Tetamu yang tidak diundang itu meninggalkan
rumah sebelum hujan lebat
turun.
Anehnya, Haji Basilam tidak pula menerangkan siapakah nama
tetamu yang tidak
diundang itu? Apakah tujuan mereka menemui datuk dan Haji
Basilam. Buat seketika
legar-legar dalam tempurung kepala saya. Dan akhimya, punah
sendiri.
TOPIK
PERISTIWA hujan ribut petang tadi, menjadi topik perbualan
yang agak hangat di
kalangan para jemaah surau kecil. Para jemaah memberi
tafsiran yang sendiri tentang
kejadian itu. Malah ada di antara mereka menimbulkan
kejadian-kejadian aneh yang
terjadi, sejak akhir-akhir ini sebagai tanda-tanda
kemusnahan dunia atau kiamat.
Seorang jemaah malam itu dengan suara lantang menyebut
tentang seekor binatang yang
menyerupai lembu, boleh menyembuhkan orang yang sakit. Di
sebut juga seorang anak
yang dilahirkan berkaki tiga oleh seorang wanita.
Si jemaah yang berkulit hitam, berbadan kulit hitam,
berbadan kurus itu terus bercerita
tentang perkara-perkara yang menyeramkan. Boleh membuat bulu
tengkuk meremang.
Bagaimana tidak seram dan cemas bila dia menyebut tentang
ayah yang memperkosa
anak kandung. Abang yang mencabuli adik sendiri. Lelaki tua
yang mahu mampus
meliwat anak kecil, dia juga menyebut hal lesbian, homoseks
dan paling tidak masuk akal
bila anak memperkosa ibu kandungnya sendiri.
Semua yang berada dalam surau kecil. mendengar cerita itu
dengan mulut terlopong.
"Apakah sewaktu melakukan perkara terkutuk itu mereka
tidak ingat alam akhirat, di
situlah kita akan kekal dan di situ juga kita akan menerima
balasan dengan apa yang kita
lakukan semasa hidup di dunia yang fana ini," kata
orang itu dengan nada suara yang
meninggi, semua muka yang tertonggok di depannya ditatap
satu persatu. Saya lihat datuk
dan Haji Basilam anggukkan kepala.
"Orang yang banyak membuat dosa ....." sambungnya
penuh semangat."....akan diseksa
dalam api neraka. Manakala orang yang berbuat kebaikan,
banyak membuat amalan akan
hidup kekal dan bahagia dalam syurga bersama para nabi dan
Rasul. Bersama para wali,
para Syuhada dan orang orang yang soleh."
Saya kira, kalaulah manusia dapat membayangkan betapa
ngerinya seksaan api neraka,
mungkin manusia tidak berani membuat dosa seperti menipu,
mencuri, membunuh,
memperkosa. Durhaka kepada ibu yang telah melahirkan kita
dengan susah payah,
kemudian memelihara kita hingga dewasa. Tetapi, sejak
akhir-akhir ini durhaka kepada
kedua orang ibu bapa sering terjadi.
"Apa yang saya katakan tadi untuk renungan
bersama," secara mendadak orang kurus berkulit hitam
bersuara dengan keras. Semua
yang bermain dalam kepala saya terus hilang.
"Kita balik." bisik Haji Basilam kepada saya.
"Jum....," kata saya.
Serentak saya dan datuk bangun, kemudian dituruti oleh Andi
Kamarool dan Haji
Basilam. Beberapa orang jemaah mengikut jejak kami keluar
dari surau kecil. Orang yang
berkulit hitam dan berbadan kurus meneruskan ceramahnya.
ASAR
PETANG besoknya, tanpa memberitahu datuk dan Haji Basilam,
kami berdua membuat
keputusan untuk pcrgi sembahyang Asar di sebuah masjid yang
jaraknya lebih kurang
500 meter dari rumah tinggal, tempat kami berteduh petang
semalam. Saya berharap
tindakan tidak bersembahyang jemaah disurau kecil tidak akan
menimbulkan kemarahan
pada datuk atau Haji Basilani.
"Mesti Pak Aji tertanya-tanya bila melihat kita tak ada
di surau." bisik saya pada Andi
Kamarool sambil membasuh tangan di kolah.
"Kalau marah, kita minta maaf." sahut saya.
"Aku juga terfikir macam tu."
Saya dan Andi Kamarool terus ketawa kecil dan terus
mengambil wuduk. Semasa saya
membasuh kedua belah cuping telinga, saya tercium bau yang
amat busuk. Macam bau
daging dan tulang yang dibakar rentung. Saya berhenti
mengambil wuduk.
"Aku tercium bau bangkai, Andi."
"Aku juga begitu, Tamar."
"Kalau tak silap, bau itu datang dari arah belakang
masjid dibawa angin, kau tengok
daun pokok kecil tu bergoyang-goyang," saya arahkan
sepasang anak mata menghala ke
belakang masjid. Andi Kamarool turut juga berbuat seperti
apa yang saya buat. Lantas
kami saling berpandangan.
"Kita sembahyang dulu, kemudian baru siasat dari mana
bau busuk itu datang," satu usul
yang lojik dari Andi Kamarool. Cepat-cepat saya anggukkan
kepala tanda setuju.
Memang di kawasan belakang masjid terdapat sebidang tanah
yang boleh dikatakan agak
luas juga. Di atas tanah itu terdapat beberapa batang pokok
cempedak, asam gelugur atau
asam keping dan selebihnya adalah pokok-pokok getah yang
subur tidak ditoreh. Tanah
kubur tersebut sentiasa dijaga dengan rapi oleh penduduk
setempat.
Malah, orang-orang dari kampung berdekatan yang meninggal
dunia diizinkan ditanam
ditanah perkuburan tersebut dengan syarat orang yang
meninggal itu mempunyai
pertalian keluarga dengan penduduk.
Selesai sembahyang Asar kami pun memulakan tugas mengesan
bau busuk tersebut. Kami
menutup hidung dan mulut dengan sapu tangan tetapi, bau yang
tidak menyenangkan itu
terus mencucuk lubang hidung.
Tidak sukar bagi kami memasuki kawasan perkuburan yang pintu
pagarnya tidak
berkunci.
Cuaca yang terang benderang secara mendadak bertukar menjadi
redup. Bila kepala di
donggakkan ke langit, saya lihat ada tompok-tompok awan
hitam tebal yang mula
melindungi pancaran matahari.
Walaupun hari siang tetapi, bila memasuki perkuburan memang
terasa seram sejuk.
Lebih-lebih ladi keadaan cuaca redup dan mendung.
Suasana di kawasan perkuburan terasa sunyi. Batu-batu nisan
tegak kaku sementara
pepohon kemboja yang ditanam berdekatan batu-batu nisan
nampak bergerak-gerak
lemah. Beberapa ekor burung tanpa suara terus melompat dari
dahan ke dahan kemboja.
"Nak hujan Tamar," bisik Andi Kamarool.
"Kita berdoa supaya hujan tak jadi macam semalam."
"Aku juga begitu," balas Andi Kamarool sambil merenung
ke dada langit yang kian
menghitam.
Bau busuk dan hangit terus menusuk batang hidung. Kami terus
berjalan dengan hati-hati
di celah-celah pepohon kemboja dan batu nisan yang kaku.
Bila sampai ke perdu
cempedak atau pokok asam gelugur kami berhenti sebentar
untuk menghilangkan rasa
penat. Bau busuk dan hangit kian bertambah kuat, anak tekak
terasa loya dan mahu
muntah.
TIBA-TIBA saya merasakan apa yang dilakukan adalah kerja
yang sia-sia. Saya mengajak
Andi Kamarool pulang. Tetapi, Andi Kamarool membantah
cadangan saya.
"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal
lengan. Kalau sudah sampai
separuh jalan. tiba-tiba mahu berhenti. tak kenalah caranya.
Kenapa masa mula-mula tadi
tak mau fikir habis-habis," Andi Kamarool meluahkan
protesnya. Saya kira diam lebih
baik dari bertekak. Perjalanan dan percarian ditanah
perkuburan diteruskan.
"Berhenti."
Andi Kamarool memegang bahu kanan saya.
"Kenapa Andi?"
"Aku dengar suara orang bercakap di sebelah hujung
sana," bisik Andi Kamarool. Dan
saya terus pasang telinga. Apa yang dikatakan oleh Andi
Kamarool memang benar. Suara
orang bercakap sama kuatnya dengan bau busuk dan hangit.
"Kita jalan perlahan-lahan. jangan sampai gerak-geri
kita dapat mereka kesan," Andi
Kamarool mengeluarkan arahan. Saya patuhi arahan itu.
Perjalanan selanjutnya cukup hati-hati. Dengan sedaya upaya
kami cuba menghindari
dari terpijak reranting kering. Ada ketikanya kami
membongkok dan merangkak di
bawah pepohon kemboja. Berusaha dengan sedaya upaya agar
kami tidak melanggar
batu-batu nisan yang bersimpang perinang di tanah
perkuburan.
Bunyi orang bercakap, makin lama, makin jelas. Bau busuk dan
hangit makin kuat,
membuat saya enggan melangkah ke depan.
"Lihat itu," kata Andi Kamarool sambil
memberhentikan langkah.