DENGAN tidak setahu
nenek saya, saya telah bertemu dengan seorang guru silat yang dikenali dengan
nama To’ Leh. Yang membawa saya berjumpa To’ Leh itu ialah bapa saudara saya
sendiri, iaitu adik bungsu emak saya.
Ketika itu saya sudah berumur 16 tahun, manakala bapa
saudara saya itu berumur 19 tahun. Sebenarnya saya tidaklah belajar silat
sangat dengan To’ Leh itu. Kalau saya belajar pun,saya sudah lupa langkah dan
tandaknya. Bapa saudara saya itu memang belajar bersungguh-sungguh. Dia tamat
menuntut dengan membawa pulut kuning sepinggan, pisau raut, garam dan duit
$25.00 sebagai ‘pemati’. Di samping tamat belajar silat, bapa suadara saya juga
dikehendaki mengamalkan pertapaan
“Kau juga boleh ambil hak ini…” kata bapa saudara saya.
“Aku tak tamat Cu, macam mana. Takkan To’ Leh bagi aku
bertapa,” ujar saya.
“Ah, bolehlah aku pujuk To’ Leh,” bapa saudara saya memberi
jaminan.
Memang benar, To’ Leh membenarkan saya ikut sama bertapa.
Kami dikehendaki mencari pokok pisang baru menjulur jantung dan jauh dari
tempat orang ramai. Di samping itu kami hanya dibekalkan dengan kapur sirih dan
kemenyan yang sudah dijampi oleh To’ Leh.
Pada sebelah petangnya saya bersama bapa saudara saya telah
mencari pokok pisang hutan di pinggir kampung, dan menandakan tempatnya untuk
membolehkan kami bertapa pada sebelah malam nanti. Perkara bertapa ini memang
kami tidak beritahu kepada nenek. Saya tahu nenek tentu marah kalau
diketahuinya saya dan bapa saudara saya pergi bertapa itu.
Saya telah menetapkan tempat saya pada serumpun pisang hutan
berhampiran dengan anak air yang terdapat batu-batu besar di sekelilingnya.
Manakala bapa saudara saya pula agak jauh dari situ, iaitu di sebalik bukit di
kawasan padang lalang. Bagaimana pun kalau ikut jalan dari kampung, tempat saya
bertapa itu lebih awal ditemui, sebelum sampai ke tempat rumpun pisang yang di
temui oleh bapa saudara saya.
Lepas maghrib kami pergi ke tempat bertapa masing-masing.
Saya membawa sebatang lilin bersama.Lilin itu hanya sebagai persediaan saja,
dan saya dibenarkan memasangnya kalau gagal dalam ujian pertapaan itu. Saya pun
duduk di bawah rumpun pisang yang telah saya tandakan pada sebelah
petangnya.Saya tidak peduli lagi mengenai diri bapa saudara saya, yang berjalan
menuju ke tempat yang telah dipilihnya petang tadi.
Mula-mula saya duduk di dalam gelap itu terasa juga
gementar. Tetapi To’ Leh sudah mengingatkan saya supaya berani menghadapi apa
jua kemungkinan. Kemenyan saya bakar, jampi serapah saya baca, saya menunggu
dugaan yang dikatakan oleh To’ Leh. Kelilingnya sunyi sepi, hanya kedengaran
bunyi cengkerik mengiang-ngiang.Semakin lama duduk di situ semakin seram
rasanya. Tiba-tiba saya mendengar satu benda besar melompat di hadapan saya.
“Datang kau ya, salam…” saya menyuluh dengan lampu picit.
Di depan saya tersergam seekor katak sebesar nyiru.
Cepat-cepat saya pangkah belakangnya dengan kapur. Kemudian katak berkenaan
hilang dari pandangan mata saya. Peluh mula berbintik-bintik di dahi
saya.Selepas kemunculan katak sebesar nyiru itu saya tidak menemui apa-apa
lagi. Puas saya melakukan apa yang di suruh To’ Leh, tetapi tidak ada apa pun
yang melintas.
Lama saya menunggu di bawah rumpun pisang baru menjulur
jantung itu. Nyamuk juga banyak mengiang-ngiang di teliga menyebabkan saya
tidak dapat membuat amalan bertapa itu dengan khusuk (konsentrasi). Sehingga
jauh malam saya merasa mengantuk. Baru mahu tersengguk tiba-tiba saya terdengar
bunyi tapak kaki orang berjalan. Hentakan kaki itu bagaikan bergegar bumi
tempat saya duduk itu. Oleh sebab gegarannya yang kuat membuatkan saya menjadi
gementar.
Belum pun sempat saya melihat siapakah yang berjalan itu
saya terdengar bunyi orang terbatuk-batuk, sayup-sayup bunyi batukkan itu jauh
di awan. Keadaan ini menambahkan saya semakin gementar. Disebabkan rasa takut
semakin menekan perasaan, saya pun lantas bangun lari meninggalkan tempat
pertapaan itu.
Saya tidak peduli apa yang tejadi kepada bapa saudara saya.
Sebaliknya saya terus berlari balik ke rumah. Tercungap-cungap saya sampai di
rumah. Kira-kira jam dua pagi saya sampai di rumah. Sehingga subuh saya masih
tidak dapat melelapkan mata apabila sudah sampai di rumah.
Semua peristiwa ini tidak saya beritahu kepada emak atau
ayah. Hanya saya dan bapa saudara saya yang tahu apa yang kami lakukan. Tetapi
besoknya saya tidak dapat pergi kerumah nenek untuk bertanyakan kepada bapa
saudara saya akan pengalamannya. Saya merasa badan saya seram-seram sejuk.
Keadaan saya semakin bertambah teruk bila menjelang petang.
Setiap kali saya mahu melelapkan mata, terbayang saja kepada
saya satu lembaga besar. Hidungnya saja sebesar tempayan dengan batuknya yang
menggerunkan. Mimpi saya juga sentiasa menakutkan. Malamnya saya bermimpi tidur
bersama mayat-mayat yang terbujur.
Ini menyebabkan saya mengigau ketakutan. Akhirnya baru
disedari bahawa saya jatuh sakit. Sepanjang saya sakit itu sering saya bermimpi
betemu dengan lembaga besar. Dia mengaku dirinya penghulu bunian.
“Dah panggil To’ Sheikh, kenapa lari…..?” soalnya dengan
suara garau.
“To’ Sheikh ni siapa…” Tanya saya pula gementar.
“To’ Sheikh ni penghulu bunian, To’ Sheikh nak beri, tapi
awak tak mau,” dia tersenyum merenung muka saya.
Dalam mimpi saya itu To’ Sheikh cuba menghampiri saya, namun
saya tidak percaya kepadanya. Saya tetap lari menjauhkan diri darinya. Tetapi
kemana saja saya lari dia tetap mengekorinya.
“Jangan lari, tunggu To’Sheikh dulu….” Katanya sambil
mengekori saya.
Saya bertambah gementar. Saya cuba menjerit sekuat hati,
tetapi tidak siapapun mendengar jeritan saya. Akhirnya saya terjerumus ke dalam
liang kubur. Di situ ada berpuluh-puluh mayat terbujur. Saya tertiarap di atas
mayat-mayat berkenaan.
Mimpi menakutkan ini sentiasa berulang setiap malam.
Kemudiannya saya diberitahu bahawa dalam keadaan tersebut saya sentiasa
meracau-racau. Dukun Amid telah dipanggil untuk mengubat. Mengikut kata Dukun
Amid saya sudah tersampuk orang bunian.
Rupanya, semasa saya jatuh sakit itu, bapa saudara saya juga
jatuh sakit. Tetapi dia tidaklah meracau-racau seperti saya. Yang mengubat bapa
saudara saya juga bukannya nenek saya atau pun Dukun Amid. Tetapi dia minta
untuk diubat sendiri.
Bapa saudara saya dikatakan ‘menurun’. Dia minta dibuatkan
kelabu kuning untuk tempat tidurnya. Dari cara sakit yang menimpa bapa saudara
saya itu. Dukun Amid juga mengatakan bahawa bapa saudara saya tidak sakit.
“Khatib ni dah ada pengasuh…” Dukun Amid memberitahu nenek
saya.
Nenek faham dengan kata-kata Dukun Amid. Baik Dukun Amid,
mahu pun nenek tidak lagi memanggil bapa saudara saya dengan namanya, tetapi
dengan panggilan ‘moyang’ apabila berkata-kata dengannya.
Suatu hari ayah saya telah melaporkan kepada polis dengan
mengatakan bapa saudara saya itu gila. Dengan tidak banyak usul periksa, pihak
polis telah datang untuk menangkapnya. Sebaliknya semasa pihak polis sampai
bapa saudara saya sudah mengetahuinya terlebih dulu.
“Mengapa mahu ganggu moyang?” bapa saudara saya kelihatan
seperti orang tua.
“Kami nak bawa moyang ke balai,” Sarjan Polis yang
mengepalai pasukannya itu menyahut.
“Mengapa mahu bawa moyang ke sana?” soalnya.
“Moyang boleh berihat,” ujar Sarjan Polis macam memujuk.
“Baliklah awak semua, jangan ganggu moyang,” dia
mengingatkan.
Tetapi dengan permintaan ayah saya, dia menyuruh pihak polis
menangkap bapa saudara saya itu. Sebaik saja pasukan polis mahu menghamprinya,
bapa saudara saya yang tertegak di tengah halaman teus melompat naik ke atas
bumbung.
Perbuatan bapa saudara saya itu dilihat sendiri oleh pihak
polis. Pada masa ini saya tidaklah melihatnya kerana saya juga sakit. Semua ini
diceritakan semula oleh nenek saya. Perbuatan bapa saudara saya boleh melompat
dari tengah halaman naik ke atas bumbung memanglah perkara luar biasa.
“Saya dah kata, dia ni bukannya sakit. Dia ni sedang diasuh
oleh moyang,” Dukun Amid memberitahu ayah saya sambil memerhatikan bapa saudara
berjalan di atas bumbung rumah, bagaikan sedang berjalan di atas bumi saja
lakunya.
Ayah saya memanglah tidak berapa mempercayai dengan apa yang
berlaku ke atas bapa saudara saya. Bagaimana pun dia merasa heran bagaimana
bapa saudara saya boleh melompat setinggi itu.Setelah berbincang dengan pihak
polis, di samping perkara itu disampaikan oleh nenek saya kepada Orang Besar
Daerah, maka pihak polis bersetuju menyerahkan perkara bapa saudara saya untuk
di rawat secara tradisional.
Sejak peristiwa itu bapa saudara saya sentiasa membenci ayah
saya. Kadang-kala dia tidak membenarkan ayah saya ada bersama di rumahnya.
Dengan perantaraan To’ Leh yang diminta oleh nenek saya
membantu Datuk Amid, bapa saudara saya ditempatkan di hujung serambi dengan di
buatkan kelambu kuning untuknya. Pakaiannya juga serba kuning. Makanan untuknya
disediakan tidak boleh dari sisa-sisa orang. Dia juga dilarang memakan
barang-barang yang dibeli dari kedai Cina. Terpaksalah nenek saya membeli padi
dari orang-orang kampong supaya tidak membeli beras dari kedai Cina. Garam juga
terpaksa dibeli dari kedai orang-orang Melayu atau India Muslim.
Syarat-syarat ini adalah ditetapkan oleh To’Leh. Mengapa
syarat-syarat itu dibuat tidak siapa pun mengetahui. Bapa saudara saya
sentiasalah duduk di dalam kelambunya. Tetapi bila malam lepas maghrib saja To’
Leh akan membakar kemenyan. Tidak lama selepas kemenyan dibakar, bapa saudara
saya mula terbatuk-batuk lalu memberi salam.
“Assalamualaikum….” Katanya dengan suara yang luar biasa.
“Waalaikumsalam, moyang,” sahut To’ Leh.
“Apa halnya panggil moyang?” Tanya bapa saudara saya dari
dalam kelambunya.
Selepas itu To’ Leh menyuruh siapa saja bertanyakan
masalahnya kepada bapa saudara saya itu. Ada yang bertanyakan tentang penyakit,
ada yang bertanyakan tentang perkara-perkara lain. Kalau ada orang yang mengadu
tentang penyakit,dia akan menawarkan air atau ubat untuk pesakit berkenaan.
Dalam keadaan begitu bapa saudara saya sudah dianggap oleh
mereka sebagai dukun. Disebabkan ketika itu saya sakit, maka emak saya pun
mengambil peluang meminta dia mengubatkan saya.
Bagi mengubatkan saya, dia menyuruh emak saya siapkan tujuh
geluk air. Di samping itu dia juga meminta carikan limau nipis untuk melangir
saya di sebuah kubur yang di anggap keramat (sebenarnya kubur tidak mempunyai
apa-apa keramat pun). Ayah saya telah berusaha mencari limau nipis di seluruh
kampung. Sayangnya, kalau ada pun pokok limau tetapi tidak ada buahnya. Sampai
kekampung lain pun ayah saya mencari limau, namun tidak dapat juga.
Pada sebelah malamnya waktu orang nyenyak tidur, ayah saya
terdengar bunyi geluk air itu bagaikan dipukul orang. Esoknya apabila bapa
saudara saya datang menjengah saya, perkara geluk air berbunyi itu
diberitahunya kepada bapa saudara saya. Cepat-cepat dia memeriksa isi geluk.
“Ah, ada pun limau di dalam ni,” kata bapa saudara saya
sambil menyelukkan tangannya ke dalam geluk. Tiba-tiba dia menyerit kesakitan
sambil mengurut-ngurut tangannya.
“Mengapa tu?” Tanya ayah saya keheranan.
“Air ni panas…..” dia mengerang-ngerang kesakitan.
Saya lihat tangan bapa saudara saya kemerah-merahan seperti
terkena air panas. Bertambah heran lagi, dari manakahn datangnya limau yang ada
di dalam geluk air itu. Kalau mahu dikira air itu panas, buah limau itu tidak
pula lecur kulitnya. Setelah membaca sesuatu balrulah bapa saudara saya
mengambil limau dari dalam geluk tadi. Kali ini dia tidak mersa panas lagi.
Demikianlah keanehan peristiwa ini yang berlaku di depan mata saya sendiri.
Apabila limau ini sudah diperolehi, saya pun di bawa ke
kubur yang di sebutkan tadi. Di situ saya dilangirnya dengan air diari tujuh
geluk. Sejak itu tidaklah ada lagi gangguan mimpi yang menakutkan itu apabila
saya melelapkan mata.
Sama ada anda pecaya atau tidak, itulah hakikat sebenarnya
yang pernah saya alami. Tetapi akhir-akhir ini bapa saudara saya tidak lagi
menjadi bomoh yang dipanggil ‘moyang itu. Sebaliknya dia di anggap ‘sasau’
pula, kerana kelakuannya yang sering cepat panas baran.
Kononnyadia telah melanggar pantang larang yang disyaratkan
oleh To’ Leh. Dia pernah dikatakan minum teh di kedai kopi kepunyaan orang
Cina. Makanannya juga tidak lagi diasingkan. Entah benar, entah tidak saya
sendiri kurang maklum.
Untuk mengetahui pengalaman dia semasa sama-sama bertapa
dulu, baru sekarang dapat saya bertanyakan kepadanya. Menurut ceritanya dia
berjaya melakukan seperti apa yang diajar oleh To’ Leh. Tidak lama dia duduk di
bawah rumpun pisang itu sekumpulan lebah telah menghurungi tubuhnya. Dia memangkah lebah yang bersarang pada
tubuhnya itu dengan kapur yang disediakan. Tidak lama kemudian lebah berkenaan
terbang meninggalkannya. Belum sempat dia berihat, melompat pula tikus putih
sebesar kucing di hadapannya. Selepas tikus itu ghaib muncul pula ular tedung
selar macam mahu memagut. Ular itu juga hilang apabila dipangkah dengan kapur.
Akhir sekali datanglah orang tua memakai jubah kuning,
janggut sampai ke kaki, tongkatnya rotan songsang. Orang tua litu memperkenalkan
dirinya sebagai To’ Sheikh, penghulu orang bunian.
“Bertapa ni ilmu salah….” To’ Sheikh berdiri tegak di
hadapan bapa saudara saya.
“To’ Leh yang suruh saya bertapa To’ Sheikh,” bapa saudara
saya memberanikan hati menjawabnya.
“Salah bertapa ni. Anak masih muda lagi, carilah ilmu yang
baik.To’ Sheikh tahu anak menunggu sesuatu masuk ikut jantung pisang tu,
kemudian anak akan memancung pangkal
pisang sebelum benda itu jatuh ke umbi pisang. Itu kerja sia-sia. Benda itu
tidak akan datang kalau To’ Sheikh ada disini,” ujar orang tua itu
mengingatkan.
Pada mulanya bapa saudara saya menyangka orang tua itu hanya
sebagai sebahagian dari ujian juga. Dia cuba memangkahnya dengan kapur.
Cepat-cepat tangannya ditepis oleh To’ Sheikh.
“Saya ni penghulu bunian, saya kesihan melihat anak kerana
mahu menuntut ilmu salah ini. Mari ikut To’ Sheikh supaya anak terselamat dari
ilmu yang salah ini…..” katanya lalu menarik tangan bapa saudara saya.
Mahu tidak mahu bapa saudara saya mengikut saja ke mana dibawa
oleh To’ Sheikh. Dia dibawa oleh To’ Sheikh ke sebuah kampung yang permai. Di
situ ada tasik yang cantik, ada taman dan bunga-bungaan yang kembang mekar.
Kemudian dia dibawa masuk ke dalam istana penghulu bunian. Di situ ramai
wanita-wanita yang cantik megelilingi dia.
“To’ Sheikh harap anak lupakan saja fasal ilmu yang
dituntut, ilmu itu salah,” penghulu bunian mengingatkan dia.
“Apakah To’ Sheikh mahu mengagalkan saya?” bapa saudara saya
menunjukkan sikap berani.
“Iya, fasal ilmu itu salah,” jawabnya tegas.
“Mana To’Sheikh tahu, ilmu ni salah?” bapa saudara saya
semacam marah.
“To’ Sheikh dah tua, To’ Sheikh tau semuanya,” ujarnya
merenung muka bapa saudara saya. “Anak mahu belajar ilmu setan, anak mahu minta
pertolongan pada setan,” dia tertawa macam mengejek bapa saudara saya.
“To’ Sheikh pun setan,” jerkah saudara bapa saya semakin
berani.
“Setan tak sama dengan To’ Sheikh. To’ Sheikh jua tidak sama
dengan setan. To’ Sheikh ni penghulu bunian, dan bunian ni tidak sama dengan
setan. Bernasib baik anak ni berjumpa dengan To’ Sheikh. Kalau tidak, tentu
anak sudah dapat diperdaya oleh setan,” penghulu bunian menjelaskan.
Akhirnya bapa saudara merasa takut bila mengenangkan dia
berada di kampung orang bunian. Dia tidak akan dapat balik kalau tidak dengan
bantuan penghulu bunian itu.
“To’ Sheikh lah berikan saya ilmu,” dia memberanikan
hatinya.
To’ Sheikh tidak menyahut, tetapi dia menanggalkan serbannya
yang kuning lalu diberikan kepada bapa saudara saya.
“Bawalah balik serban ni, selagi anak tak makan
barang-barang kafir, To’ Sheikh sentiasa ada bersama anak,” katanya lalu ghaib
dari pandangan mata bapa saudara saya Ucu Khatib.
Setelah To’ Sheikh itu ghaib dia dapati dirinya sudah berada
di halaman rumahnya. Ketika itu hari sudah pagi kira-kira jam enam (kalau
sekarang jam 5.30 pagi). Serban kuning yang diberi oleh To’Sheikh itu masih ada
di tangannya.
Semasa dia ‘menurun’ serban itu sentiasa dipakai di
kepalanya. Tetapi selepas dia melanggar pantang, serban berkenaan terbakar
menjadi abu. Kononnya semasa menyapu sampah di atas rumah, nenek saya
terpandang serban itu seperti kertas-kertas buruk. Nenek telah membawanya ke
tempat membuang sampah lalu di bakarnya.
Sejak itulah orang-orang kampUng menganggap Ucu Khatib ‘sasau’
tetapi saya dan To’ Leh tahu bagaimana Ucu Khatib boleh jadi begitu.
SELESAI