SUDAH ramai orang menziarahi Aki Sahak semasa saya sampai
bersama isteri saya dan Sali. Sepanjang jalan untuk ke rumah Aki Sahak saya
berfikir bagaimana Aki Sahak boleh muntah darah. Bagaimanapun saya belum dapat
memastikan macam mana keadaan Aki Sahak sebenarnya.
Hendak bertanya pada Sali pun saya fikir tidak penting. Lagi
pun Sali dalam keadaan gelabah tidak tahu apa mahu dibuat. Bila Abang Amud
suruh memanggil saya, dia panggil. Makda Saodah suruh dia panjat kelapa ambil
buah kelapa muda, dia panjat. Itu saja yang dia tahu. Ketika saya masuk
mendapatkan Aki Sahak, saya lihat Abang Amud ada duduk di kepalanya. Manakala
Tonel sedang menyudukan air kelapa muda yang dijampi oleh Abang Amud.
Macam mana jadi ni? saya duduk sebelah Tonel. "Emm, dah
geruh macam mana pula" sahut Aki Sahak tenang. Saya lihat beberapa helai
kain sudah basah dengan darah yang keluar dari mulut Aki Sahak. Teringat saya
kepada kata-kata Aki Sahak semasa terdengar bunyi air disedut dekat lombong
semasa anak Abang Amud mati lemas. Aki Sahak pernah menyebut puaka lombong
mahukan geruh dia. Bererti puaka lombong mahukan Aki Sahak sendiri menjadi
galang ganti.
Heran juga saya bagaimana Aki Sahak boleh terlalai sehingga
puaka lombong dapat mengganggu dia. Tetapi ini bukanlah mustahil kerana manusia
ini ada kelebihannya dan ada kelemahannya. Musuh manusia akan sentiasa menunggu
kelemahan itu. Begitulah yang terjadi kepada seorang ulama di Seremban iaitu mufti
Negeri Sembilan. Saya mendapat tahu Allahyarham merupakan ulama yang doanya
selalu menolong orang ramai. Tetapi beliau juga menghembuskan nafas akibat
muntah darah juga.
Jadi, tidaklah heran perkara yang sama boleh berlaku ke atas
Aki Sahak. Sedangkan ulama besar seperti mufti itu pun bila sampai masanya
tidak dapat mengelak dari geruh, apakan pula Aki Sahak yang cuma belajar
pondok. Semuanya telah ditentukan oleh Allah. Bagaimanapun Aki Sahak masih
kelihatan segar, walaupun darah banyak keluar dari mulutnya. "Buatlah
apa-apa patut ustaz..." bisik Abang Amud perlahan. Saya tidak menyahut.
Saya memerhatikan pelupuk mata Aki Sahak. Pelupuk mata itu masih segar. Cuma
bibirnya agak lebam sedikit.
Ada juga di antaranya yang mengatakan Aki Sahak terkena
'kelintasan' yakni dilangkah oleh hantu raya atau hantu tinggi. Ada juga yang
menuduh puaka lombong membalas dendam. Tetapi pada pendapat saya jenis-jenis
syaitan tidak akan berani mengganggu Aki Sahak memandangkan amalannya selama
ini sudah cukup kuat mendinding dirinya. Boleh jadi syaitan digunakan oleh
orang-orang berilmu untuk menyempurnakan tugasnya. Inilah yang boleh
memporak-perandakan manusia.
Aruah Tok Aji iaitu tok aki saya juga pernah menghadapi
perbuatan orang-orang berilmu menggunakan syaitan bagi memenuhi kehendak
mereka. Tok Aji ini dilahirkan di Sumatera, kemudian dia berhijrah ke Tanah
Melayu. Dia sudah berkahwin di Semenyih, di Singapura dan di Kota Tinggi.
Kemudian menetap di kampung saya. Semasa dia menikah dengan nenek saya, Tok Aji
sudah berumur hampir 60 tahun, manakala nenek saya baru berumur 18 tahun.
Tetapi itu jodoh namanya. Tok Aji kekal dengan nenek saya sehingga akhir
hayatnya.
Disebabkan Tok Aji berkahwin muda maka adalah orang yang iri
hati dengannya. Dalam satu kenduri di rumah seorang kawannya, dia telah
dihidangkan dengan kopi. Sebelum kopi itu diunjukkan kepadanya Tok Aji sudah
tahu bahawa yang diberikan kepadanya ialah racun santau. Bagaimanapun Tok Aji
tidak boleh mengelak dan dia mesti meminumnya juga. "Wah, sedap kopi
ni" katanya bila menghirup kopi tersebut. Orang ramai yang menyaksikan
tidak tahu apa telah berlaku.
Setelah diminumnya Tok Aji seperti biasa saja. Tidak ada
apa-apa yang berlaku ke atas dirinya. Tetapi tidak semena-semena anjing di
bawah rumah terjerit-jerit lalu mati dengan darah mengalir di mulutnya. Selepas
itu beberapa kali Tok Aji telah diuji, dan dia terpaksa meminumnya sekalipun
diketahuinya air tersebut telah dibubuh racun santau. Aruah Tok Aji memberitahu
saya, racun santau ini dibuat oleh manusia dari serbuk kaca yang mempunyai ibu.
Kadangkala orang yang menyimpan santau ini tidak perlu membubuhkan sendiri
racun santau tersebut, memadai dengan menyeru saja maka ibu racun itu akan
terbang seperti lipas dan memasukkan racun santau berkenaan ke dalam makanan
mangsanya.
Sebab itulah ayah saya tidak mahu mengetahui sangat tentang
racun santau, kerana katanya sesiapa yang sudah mengetahui maka dugaan sentiasa
mengganggu seperti aruah Tok Aji. Bagaimanapun ayah saya pernah juga mahu
diduga. Semasa saya bersamanya mengikut orang bertakbir Hari Raya pada malam
Hari Raya, tiba-tiba gelas yang dihulurkan orang kepada ayah saya meletup dan
pecah. Air kopi dari gelas itu menimpa kepala saya.
Semua orang menyangka pipi dan muka saya melecur terkena air
panas. Tetapi apa yang saya rasakan adalah sebaliknya. Air kopi itu sejuk
seperti dimasukkan ketul air batu. Rupanya ayah saya tidak mengambil ilmu
santau dari Tok Aji yang mesti diminum kalau mengetahui santau ada di dalamnya.
Ayah saya mempelajari doa supaya tidak sampai untuk diberikan kepadanya.
Walaupun Tok Aji dapat mempertahankan dirinya dari racun santau, tetapi apabila
akhir hayatnya bisa racun santau itu naik semula. dia tercungap-cungap seperti
itik kena sembelih sehinggalah nafasnya yang terakhir.
Inilah yang saya fikirkan kalau apa yang dialami oleh aruah
Tok Aji dilakukan oleh Aki Sahak. Mana tahu bisa racun santau yang mengancamnya
sekarang sudah bertahun-tahun dulu dihirupnya. Mungkin dia terpaksa
menghirupnya seperti aruah Tok Aji kerana amalannya terpaksa meminum juga. Hal
demikian bukan berlaku ke atas orang-orang yang mendalami ilmu agama saja.
Malah bomoh-bomoh terkenal juga mengalaminya. Seorang sahabat saya telah
mempelajari ilmu mempertahankan diri dari racun santau ini dari ayahnya seorang
bomoh. Sekarang sahabat saya berkhidmat dalam pasukan askar. Ketika dia
menuntut dari ayahnya dia masih di kampung lagi dan menoreh getah.
Pernah juga dia mengajak saya menuntut dari ayahnya ilmu
mempertahankan diri. Tetapi entah mengapa hati saya enggan saja mahu
mempelajarinya. Mungkin kerana saya lebih tertarik dengan pelajaran agama dari
aruah Tok Aji menyebabkan saya tidak tertarik hati dengan ilmu-ilmu bomoh ini.
Lagi pun saya tidak berniat langsung untuk menjadi bomoh, seperti kawan saya
itu. Malah dia sendiri apabila menyertai pasukan askar langsung melupakan terus
cita-citanya mahu menjadi bomoh itu.
Selepas saja dia tamat melalui ujian ilmu mempertahankan
diri dari racun santau, satu hari apabila dia balik dari menoreh getah dia
terasa haus lalu meminta air dari emaknya. Oleh kerana emaknya lewat membawakan
air, maka kawan saya terpandangkan botol aiskrim soda. Pada sangkaannya
tentulah aiskrim soda. Dia pun tidak bertangguh lagi lalu menghirupnya hingga
habis sebotol. Apabila emaknya keluar, alangkah terperanjatnya orang tua itu
kerana yang diminum oleh kawan saya itu ialah cuka getah yang baru dibeli oleh
emaknya. Kelam kabutlah emaknya menyaksikan kejadian tersebut. Tetapi tidak ada
apa pun merosakkan dia. Kawan saya hanya tersenyum saja selepas meminum cuka
getah tadi.
Tidak tahulah bagaimana dia sekarang, kerana sudah lama saya
tidak berjumpa dengannya. Dia pun sudah berkahwin dengan orang Kluang di Johor.
Jadi, jaranglah saya dapat bertemu dengannya. "Cubalah buat apa-apa
ustaz..." desak Abang Amud lagi. Aki Sahak tersandar pada bantal. Dia
kelihatan letih sedikit, tetapi matanya tetap segar. Dia tersenyum memerhati
saya sudah ada di sisinya. "Takkan kau nak biarkan Aki macam ni"
tangannya menampar lutut saya.
Saya tidak juga menyahut. Menghadapi orang berilmu seperti
Aki Sahak bukanlah mudah. Kadangkala dia sengaja mahu menguji seseorang walhal
dia memang tahu bagaimana mahu mengatasinya. Tidak ada langsung tanda-tanda dia
dalam kesakitan apabila saya mula-mula menjengah dia tadi. "Buatlah apa-apa
pun" pinta Aki Sahak masih memegang kepala lutut saya. "Bila kena
ni?" saya mengeluh pendek. "Tiba-tiba aje..." Makda Saodah
mencelah. "Lepas makan tengahari tadi dia rasa sakit dada. Langsunglah
jadi macam tu" jelasnya dalam keadaan rusuh.
Aki, tak buat apa-apa? tanya saya perlahan. "Nak buat
apa...!" jawabnya tersengih-sengih. Tok Kadi pun tak boleh nikahkan diri
dia sendiri. Orang sakit macam Aki ni pun tentulah tak dapat nak ubat diri
sendiri..." ujarnya ketawa macam menyindir. Serba salah juga saya
dibuatnya. Keadaan Aki Sahak memang tenat, tetapi saya lihat dia tidak seperti
orang sakit. Suaranya tetap tenang. Sekali sekala dia terbatuk hingga keluar
darah pekat dari mulutnya.
Darah yang keluar dari mulut Aki Sahak itu seolah-olah orang
mengalami luka parah. Kalau dibiarkan mungkin Aki Sahak akan kehilangan darah.
Ada juga orang yang mendesak Aki Sahak supaya dibawa ke hospital, tetapi Aki
Sahak enggan. Dia yang suruh Abang Amud segera memanggil saya. Sebenarnya saya
jadi bingung menghadapi keadaan demikian. Kalau Aki Sahak yang saya anggap guru
sudah tidak dapat bertahan, bagaimana pula saya boleh membantunya. Saya sendiri
tidak tahu apakah ubatnya, kerana sebelum ini saya tidak pernah mengubati orang
terkena racun atau santau. Lainlah kalau gangguan syaitan boleh juga saya
mencuba-cuba.
Penyakit macam ni jenis gangguan syaitan juga... ujar Aki
Sahak macam mengetahui apa yang terbendung di jiwa saya. "Macam mana saya
nak mulakan?" saya serba salah. "Buatlah macam mana pun..."
desak Aki Sahak tersenyum pahit. Darah masih mengalir juga apabila dia
terbatuk. Saya hanya mencuba. Tidak tahu apakah ayat-ayat tertentu harus
digunakan. Saya merenung muka Aki Sahak tepat-tepat sambil berzikir khusyuk di
dalam hati hingga terasa zikir itu menyeluruh ke segenap badan. Ketika ini
dapat saya rasakan diri saya ditolak kuat oleh satu tenaga, tetapi tenaga itu
tidak berdaya menolak saya.
Akhirnya saya tenggelam di dalam zikir. Saya tidak takut
kepada apa pun yang mencabar. Hanya berserah saja kepada Allah untuk meminta
pertolongan dan perlindungan. Saya terus menyemadikan diri, "Ya Allah, Ya
Rahman, Ya Rahim, Ya Hayyum Ya Qayyum, Ya Zaljalalil Wal Ikram, kepada
Engkaulah aku memohon pertolongan". Demikian saya memulakan doa yang
menyerahkan diri semata-mata kepada Allah.
Lama saya menguatkan zikir saya barulah saya merasakan diri
saya cukup gagah. Kekuatan yang ada pada
saya sudah cukup untuk menghadapi sebarang musuh yang berdampingan dengan
syaitan. Saya melihat seorang lelaki tua yang pernah saya temui sedang mengambil
miang rebung dikumpulkan dalam satu balang. Puas saya mengingatkan di manakah
saya pernah menemui orang tua tersebut. Orangnya kurus tetapi tinggi susuk
tubuhnya. Dahinya sulah dan rambutnya jarang sedikit. Sudah dipenuhi uban
hingga memutih.
Tua kutuk...! keluh saya meluat melihat perangainya. Tidak
sedar sudah tua tetapi masih mahu melakukan perbuatan yang dilaknati Allah.
Sepatutnya orang tua seperti itu mestilah melebihkan amal ibadat. Miang rebung
yang diambilnya tadi digaul dengan serbuk kaca ditumbuk halus. Kemudian balang
berisi serbuk kaca bergaul miang rebung itu diasap dengan kemenyan. Selepas itu
ditapakan jauh dari kampung, di satu tempat yang dirahsiakan.
Orang tua itu memuja balang berisi serbuk kaca dengan miang
rebung itu hingga timbul ulat seperti bubuk di dalamnya. Ulat-ulat ini menjalar
dalam gumpalan miang rebung yang seakan-akan rambut itu. Sebenarnya saya
tidaklah nampak dengan jelas. Hanya seperti bayang-bayang saja. Sebab itulah
orang tua yang saya lihat hanya seperti bayang saja. Bagaimanapun memang saya
cam mukanya kalau bertemu di mana-mana.
Tua kutuk... keluh saya perlahan. Orang tua itu berpaling.
Dia seolah-olah mendengar keluhan saya tadi. Sebaik saja melihat saya berdiri
bercekak pinggang menghadapnya, orang tua itu cepat-cepat melontarkan serbuk
kaca itu ke mata saya. Tetapi serbuk kaca yang dilemparkan kepada saya itu
tersekat pada tembok yang memagari saya tiba-tiba. "Kau berani datang
ye!" pekik orang tua tersebut kelihatan marah. "Orang tua macam awak
ni patutnya banyakkan amal ibadat" saya menyindir. Marah sangat saya
kerana dicabar oleh orang tua berkenaan. "Kau datang nak cabar
aku...?" dia mengancam dengan pandangan yang menggerunkan. "Bukan
fasal cabar mencabar" jelas saya mengerling ke arahnya. "Kerja awak ni
kerja syaitan. Jadi hamba syaitan. Dilaknat Allah..." ujar saya
seterusnya.
Dia semakin marah bila saya sindir begitu. Dia melepaskan
beribu-ribu ekor ular mahu mematuk saya. Tetapi ular-ular yang dilepaskan oleh
orang tua itu semuanya terbakar hangus bila saya hembuskan ayat-ayat yang
tertentu. Bertambah marah dia bila dilihatnya semua ular-ular yang menyerang
tadi terbakar hangus. Kemudian dia membawa saya ke lombong tempat anak Abang
Amud mati lemas. Dia berlari-lari di atas air tersebut bagaikan berpijak dia
atas bumi. Orang tua itu ketawa berdekah-dekah bila melihat saya kehairanan
memerhati dia berjejak di atas air.
Awak berkawan dengan puaka, berkawan dengan syaitan...
bentak saya mula mengancam dia. Melihatkan saya marah orang tu itu semakin kuat
tertawa. Dia bertandak di atas air lombong itu seolah-olah memperagakan
kebolehan luar biasanya. "Awak nak tunjuk kepandaian awak ye!" saya
cuba mengawal perasaan marah apabila diejek-ejek. Dia tidak menghiraukan
kata-kata saya, sebaliknya terus bertandak-tandak. Tetapi dia tidaklah
menyerang saya seperti mula-mula tadi. Mungkin pada peringkat kedua dia hanya
mahu saya meradang saja. Memang inilah cara syaitan mahu mengalahkan manusia.
dia sengaja mahukan kita marah supaya mudah baginya mencari kelemahan.
Mujurlah saya sedar akan tipu muslihat syaitan yang mahukan
saya marah. Setelah dapat mengawal diri saya pun mula membacakan beberapa ayat
Quran dan menghembuskan ke arahnya. Air lombong tiba-tiba menggelegak dan cair.
Orang tua itu tercungap-cungap lari mencari tanah daratan. "Sahabat kau
tak akan datang menolong!" saya mengejek dia. Kerana saya tahu dia lari ke
lombong adalah untuk mendapatkan pertolongan syaitan yang menjadi sahabatnya.
Sahabat kau akan dipanah petir kalau berani datang menolong
kau kata saya lagi menyebabkan dia mulai marah. Gelak ketawanya tidak
kedengaran lagi, sebaliknya mendengus-demgus marah. Dia berpaling mahu
menentang. Entah macam mana dia menjadi gementar apabila bertentang mata dengan
saya, ketika ini saya sedang azan. Gema azan itulah menyebabkan syaitan yang
diserunya tidak berani datang menolong. Nampaknya dia menggunakan puaka lombong
itu untuk menentang saya.
Serulah sahabat-sahabat kau saya terus mengejek.
"Selagi kau bersahabat dengan syaitan, selama itulah kau ditipu oleh
syaitan. Tak mungkin syaitan datang menolong kalau dia tak dapat
keuntungan" kata saya lagi. Orang tua itu semakin marah. Tetapi dia tidak
berani menentang saya disebabkan syaitan yang diserunya tidak datang setelah
saya azan tadi. Bumi tempatnya berpijak juga bergegar menyebabkan dia terhuyung
hayang tidak dapat berjejak. "Bertaubatlah, dan kembali ke jalan
Allah" saya menyerunya.
Dia tidak juga menyahut. Berlegar-legar dia mahu menyerang.
Tetapi setiap kali dia mahu mencuba gegaran bumi semakin kuat menyebabkan dia
terhuyung hayang tidak dapat berjejak. Orang tua ini memang manusia biasa,
tetapi dia menggunakan ilmu syaitan untuk kepentingan diri sendiri. Tidak
heranlah mengapa manusia demikian mudah tertipu kerana syaitan boleh
memperdayakan mereka dengan janji-janji untuk memberi kekuatan, kekayaan,
kemewahan atau apa saja yang dihajat.
Syaitan akan memberikan mereka kebal tidak lut oleh besi,
syaitan menjanjikan kebolehan menyerang musuh dari jauh saja, syaitan
menjanjikan ilmu yang boleh ghaib dari pandangan mata. Hal-hal seperti inilah
menyebabkan manusia mudah terpedaya. Segala janji-janji syaitan itu adalah
untuk sementara saja, iaitu selagi manusia mahu mengikut perintahnya.
Bagaimanapun syaitan akan lari meninggalkan manusia tadi, apabila dia terseksa
dengan ayat-ayat Quran. Dengan itu manusia yang ditinggalkan oleh syaitan akan
terseksa pula sebagai galang gantinya. Inilah yang terjadi pada orang tua
berkenaan.
Memang saya cam orang tua tersebut. Bagaimanapun saya
terpaksa rahsiakan dia dari pengetahuan orang-orang kampung. Orang tua ini ada
hubungan kekeluargaan dengan Abang Amud. Semasa saya membantu Aki Sahak mencari
mayat anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong, dia juga ada
menyaksikannya bersama. Dialah yang mendesak Ketua Penyelam itu supaya
meneruskan kerja mencari mayat tersebut dengan tidak payah pertolongan dari Aki
Sahak. Apakah tujuannya tidaklah saya tahu.
Apa yang awak sakit hati sangat pada Aki Sahak? soal saya
mengherdiknya. Dia mengacau hak orang..." sahutnya marah. "Apa yang
dikacaunya?" "Kawasan ni kami punya!" "Kawasan apa?"
"Kawasan anak ubat kami..." "Dia cuma menolong"
"Tidak! Dia mengacau,,!" "Dia bawa ilmu Allah, awak kata
mengacau?" sindir saya. Orang tua itu menjadi serba salah. Memang ada niat
dia mahu menyerang saya. Tetapi setiap kali dia mahu menyerang terasa dadanya
bagaikan kena pijak. Memang telah saya perhatikan sikapnya, sebab itu saya
sudah menghentakkan tumit saya ke bumi dengan makrifat memijak jantungnya.
Kalau awak berani lepaskanlah kawan.. bentaknya pula mahu
menerkam saya. "Kalau sahabat awak boleh menolong lepaskanlah
sendiri" sahut saya mengejeknya. "Awak halang dia, macam mana dia nak
datang!" katanya. "Kalau awak handal lepaskan halangan tu" kata
saya sengaja menyakitkan hatinya. Berkali-kali dia cuba menerkam tetapi terasa
jantungnya terpijak. Dia mengerang kesakitan bila terasa jantung kena pijak.
Akhirnya dia memekik kuat melepaskan kemarahannya. "Kau nak bunuh aku
ke?" jeritnya menggema. "Awak nak bunuh Aki Sahak kan?" soal
saya kuat sedikit. "Fasal dia nak bunuh sahabat aku!" jawabnya
membentak.
Kalau awak tak mahu malu, pergi sekarang perintah saya masih
tidak melepaskan tumit yang dihentak ke bumi. "Kalau tidak awak malu,
keluarga awak pun malu" saya mengingatkan dia. "Biar mati aku takkan
mengalah dengan kau!" dia berkeras tidak mahu mengalah. "Mengapa kau
beri Aki Sahak santau?" jerkah saya apabila dia berkeras tidak mahu
berundur. "Kau fikir kau boleh selamat. Ayat-ayat Allah lebih berkuasa
dari santau, awak tau!" ujar saya seterusnya.
Untuk mengujinya sengaja saya lepaskan tumit dari menekan
bumi. Serentak dengan itu dia menerkam saya. Bagaimanapun belum sempat dia
sampai kepada saya, orang tua itu jatuh terhempap ke bumi Saya menghembusnya
dengan Surah Al Fatihah hingga dia terlambung tidak dapat bertahan. Kemudian
saya susul dengan Surah Al Ikhlas. Ketika ini berpuluh-puluh bukit berterbangan
menimpa ke atas dirinya. Dia terhimpit di bawah bukit-bukit yang berterbangan.
"Kau tidak akan dibantu oleh sahabat kau. Dia juga akan hancur kalau cuba
mendekati" saya menyerunya berulang kali.
Setelah saya melihat dia tidak bergerak di bawah himpitan
bukit-bukit yang berterbangan, barulah saya mengembalikan diri saya seperti
sediakala. Saya masih menghadapi Aki Sahak yang terbaring. Dia kelihatan lemah
sedikit. Darah juga sudah mula kering dari mulutnya. Di samping itu air kelapa
muda yang sudah didoakan oleh Abang Amud tadi disudukan ke mulut Aki Sahak.
Saya tahu Abang Amud mendoakan 'peluruh' iaitu mengatasi bisa racun, tetapi
'peluruh' yang diberikannya belum lagi berkesan.
Walaupun keadaan Aki Sahak sudah ada reda dia masih juga
terbatuk-batuk. Bahang panas di dadanya terasa berwap-wap. Lalu saya pun
meminta air sejuk dari Makda Saodah. Pada sangkaannya saya mahukan air minum,
maka mereka pun memberikan kopi O. "Bukan saya nak minum" ujar saya
tersenyum kerana geli hati. "Air nak buat ubat..." jelas saya.
Barulah Makda Saodah menghulurkan kepada saya satu jag air sejuk. Saya
membacakan Yassin tiga kali. Selepas itu air tersebut diberi minum pada Aki
Sahak. Kira-kira sepuluh minit selepas dia minum air tersebut, Aki Sahak
muntahkan darah dengan lendir-lendir putih.
Saya suruh muntah itu ditadah dalam besen supaya tidak habis
tempat tidur. Tiga kali Aki Sahak terjeluih muntah. Kali yang ketiga muntahnya
tidak lagi darah tetapi segumpal rambut sebesar penumbuk, serbuk kaca dan miang
rebung. Setelah semuanya habis keluar barulah kelihatan Aki Sahak terkulai
lemah akibat keletihan. Disebabkan keadaan baru pulih, saya pun menyuruh Aki
Sahak tidur saja. Jiran-jiran pun saya tidak beri mengganggunya. Biarlah jangan
ditanyakan apa-apa sehingga Aki Sahak pulih betul-betul. Biasanya dalam masa
seminggu barulah ada perubahan sedikit.
Kerja siapa agaknya? Sali menggertap bibir. Barulah dia mahu
bersuara setelah melihat Aki Sahak tidak lagi terbatuk-batuk. "Siapa
agaknya ustaz?" Abang Amud pula bertanya. "Mana kita nak tau"
sahut saya lemah. Sebenarnya saya juga terlalu letih. Pada lahirnya memang
nampak saya duduk saja di situ, tetapi keletihan yang saya alami seolah-olah
baru saja mengangkat beban berpikul-pikul. "Kalau tau orangnya" Sali
menumbuk-numbuk tinju ke tapak tangan. "Kalau tau orangnya, aku
pijak-pijak kepalanya. Aku terajang dia...!" gerutunya mcam menyimpan
dendam.
Saya mendiamkan diri
saja. Biarlah Sali melepaskan geramnya. Saya tahu dia tidak akan bertindak
kerana dia tidak tahu siapakah yang didendamnya. Tugas saya sudah selesai iaitu
cuba mengubati Aki Sahak. Soal membalas dendam bukan kerja saya. Sebab Allah
sendiri menjanjikan: Setiap perbuatan yang baik ada ganjarannya di akhirat, dan
setiap perbuatan jahat ada balasannya di akhirat. "Hati binatang!"
Sali masih merungut marah.
Kalaulah saya terangkan siapakah orang yang ternampak oleh
saya mungkin Sali sanggup menyerangnya. Tetapi saya tidak boleh memberitahunya.
Kadangkala bayangan yang kita lihat itu tidak semestinya benar. Boleh jadi
orang yang berniat jahat itu menjelmakan dirinya seperti orang lain. Sudah
tentulah kita menganiaya orang apabila kita memberitahu apa yang kita lihat.
Sebab itu aruah tok aki saya melarang menyebutkan orang yang kita lihat melalui
bayangan itu kepada keluarga pesakit. Ditakuti mereka akan bertindak membalas
dendam.
Ustaz tak tau siapa orangnya?" tanya Sali semakin kejap
menggertap bibir. "Tidak..." saya menggeleng kepala. "Kita baca
Yassin ramai-ramai" Abang Amud pula mencadangkan. "Kita balikkan
semula pada orang yang membuat Aki Sahak" katanya membayangkan kemarahan
yang membakar perasaannya. Dia berkisar punggung bagaikan mahu melompat
menerkam sesiapa saja. "Jangan ikut perasaan..." Aki Sahak membuka
matanya perlahan. Rupanya sejak tadi dia mendengar saja perbualan kami.
"Jangan ikut perasaan. Kau boleh bacakan Yassin dengan niat nak membunuh
orang. Kalau Allah makbulkan, kau mesti ingat dosanya! Dosanya tetap dosa
membunuh juga" suara Aki Sahak masih lemah tetapi nadanya keras.
Orang hati binatang yang buat ni... sahut Sali mengepal
tinju kejap-kejap, kemudian meninju-ninju kepala lututnya. "Habis, kau nak
ikut pula jadi hati binatang?" soal Aki Sahak bangun perlahan-lahan
bersandar pada bantal. "Kalau kau nak balas juga, kau pun sama macam dia.
Sama berhati binatang!" Aki Sahak mengingatkan. Sali tidak berani
membantah cakap Aki Sahak lagi. Bukan saja Aki Sahak itu gurunya, tetapi juga
pangkat bapa saudara pula. Makda Saodah itulah emak saudara Sali. Sebab itu dia
tidak berani sangat berbantah-bantah dengan Aki Sahak.
Allah lebih Maha Mengetahui... jelas saya setelah Sali
terdiam dimarahi Aki Sahak. "Kalau setiap hari sekurang-kurangnya kita melafazkan
iyya kana'budu waiyya kanastai'n tujuh belas kali dalam solat kita ketika
membaca Fatihah iaitu hanya kepada Engkau aku sembah dan hanya kepada Engkau
aku memohon pertolongan, mengapa kita mesti membalas dendam! Mengapa kita tidak
mematuhi ikrar kita dengan Allah" kata saya mengerling Sali.
Sali terdiam. Terasa juga dia sudah terlanjur bercakap
mengikut perasaan. Ketika inilah terdengar seorang seorang perempuan memanggil
Pak Semail Ketua Kampung dari tengah halaman. Pak Semail yang duduk di belakang
saya terkejut juga bila ada orang mencarinya ketika itu. Sedangkan Aki Sahak
masih belum pulih akibat termakan santau. "Ada Abang Mail di sini?"
perempuan itu bertanya dari tengah halaman sebaik saja pintu serambi dibuka
oleh Makda Saodah.
Oh, kau tadi Sumi, naiklah pelawa Makda Saodah masih berdiri
di muka pintu. "Ada Abang Mail di sini?" ulangi perempuan yang
dipanggil Sumi oleh Makda Saodah itu. "Ada..." beritahu Makda Saodah.
"Macam mana pun naiklah dulu..." dia mengajak Sumi naik ke rumah.
Belum sempat Sumi menyahut Pak Semail sudah berdiri di belakang Makda Saodah.
"Apa halnya Sumi?" tanya Pak Semail bimbang. Berdebar juga hatinya
bila adiknya itu datang memanggil dia ke situ.
Sumi tidak terus memberitahu. Dia kelihatan rusuh sedikit
tetapi masih juga tercegat di tengah halaman. "Apa halnya?" tanya Pak
Semail lagi. "Rumah kami dilanda ribut" jelas Sumi tergagap-gagap.
"Abang Fakeh terperangkap dalam runtuhan rumah tu..." dia
tersedu-sedu menahan perasaannya yang menyebak ke dada. "Ribut apa pula?"
Pak Semail keheranan kerana kampung itu tidak pun dilanda ribut. Tidak ada
tanda ribut atau hujan melanda. Kampung itu tetap cerah dengan cahaya matahari
petang memancar bersih. "Macam mana boleh ada ribut, rumah kau bukan jauh
dari sini..." ujarnya sambil berastaghfar beberapa kali.
Entahlah... Sumi menggeleng kepala. "Tapi ribut kencang
tadi saya ada di rumah. Saya sempat terjun ke tanah sebelum rumah tu
roboh" jelasnya perlahan. Dia juga heran kerana di kawasan rumah Aki Sahak
itu tidak ada pun kesan-kesan dilanda ribut. Kalau ada ribut melanda tentulah
habis sebuah kampung terlibat. Inilah yang mengherankan mereka. "Marilah
kita pergi tengok Pak Fakeh..." saya mencadangkan. Saya bersama beberapa
orang jiran lelaki yang ada menziarahi Aki Sahak terus mengikut Pak Semail.
Apabila sampai ke rumah Pak Fakeh memang semuanya terkejut
melihat keadaan di situ. Rumah Pak Fakeh habis musnah ditimpa kayu jongkang
kalang. Mereka bertambah heran bagaimana Sumi boleh terselamat kalau melihat
keadaan rumah tersebut. Pokok kelapa tidak kurang dari lapan batang bertupang
tindih menimpa rumah. Pokok durian juga melintang menghempap dari tengah
bumbung. Kalau mahu dikira sempat melompat ke tanah memang tidak masuk akal
langsung bagaimana Sumi boleh terselamat. Mujurlah juga cucu-cucu mereka tidak
ada di rumah ketika itu. Kesan ribut juga jelas di sekitar kawasan rumah itu
kerana banyak pokok-pokok yang patah dahan.
Macam mana ribut di sini aje? keluh Sali yang sama mengikut
kami tadi. Kencang betul ributnya" beritahu Sumi masih dalam ketakutan.
"Tengoklah pokok-pokok tu habis terbongkar akar" katanya lemah.
"Habis macam mana Mak Sumi lepaskan diri?" tanya Tonel pula.
"Entahlah..." ujarnya gementar mengenangkan peristiwa yang menimpa
dirinya. "Mak Sumi rasa macam mati hidup balik..." dia mengesat mata
dengan hujung lengan bajunya.
Terpaksa pula masing-masing mengambil kapak dan gergaji
untuk memotong kayu yang jongkang kalang menimpa rumah Pak Fakeh. Hampir dua
jam barulah kawasan rumah itu dapat
dibersihkan. Kira-kira sudah dekat masuk Maghrib barulah mayat Pak Fakeh
ditarik keluar dari bawah pokok durian. Kepalanya berkecai remuk. Mata, hidung
dan telinganya dipenuhi darah pekat. Memang Pak Fakeh yang saya lihat ketika
saya mengubati Aki Sahak tadi. Tetapi saya tidak mahu memberitahu sesiapa pun
tentang Pak Fakeh itu. Biarlah mereka semua menyangka Pak Fakeh menemui ajalnya
apabila rumahnya dilanda ribut.
TAMAT