DI saat saya terjaga malam, kira-kira pukul dua.
Perlahan-lahan saya buka pintu bilik, saya
dapati datuk sedang melakukan sembahyang tahajud di ruang
rumah. Setelah daun pintu bilik
dirapatkan, terdengar dengkur Andi Kamarool. Syam tidak
berdengkur tetapi, saya yakin dia
tidur dengan nyenyak sekali. Syukur, saya tidak mengalami
sebarang kejadian, tidak diingini
sepanjang malam.
PATUH
BEGITULAH, semua syarat dan nasihat yang dianjurkan oleh
Kiai Musroh dipatuhi oleh, Datuk
dan Haji Basilam tetap mengawasinya. Kalau ada yang salah
dibetulkan, kalau ada yang terlupa
diingatkan. Pokoknya, sama ada Syam, Haji Basilam, datuk
malah saya dan Andi Kamarool
berusaha mahu membebaskan Syam dari kehidupannya yang serba
tidak kena. Dalam erti kata
lain, hidupnya terseksa dan tertekan.
Sudah diputuskan oleh Haji Basilam dan datuk, saya dan Andi
Kamarool diberikan tugas, setiap
pagi mesti menemani Syam pergi ke rumah arwah isterinya.
Sebelum pergi, saya diwajibkan mengerak-gerakkan otot-otot
sendi serta memanaskan badan
dengan melakukan senaman silat bersamaAndi Kamarool.
Bila badan sudah berpeluh dan tubuh terasa segar, barulah
boleh menemani Syam. (Tugas ini
dilakukan setelah membaca yassin pada sebelah malamnya di
masjid). Andainya, ada perkaraperkara
baru atau tambahan yang mesti kami lakukan, Pak Kiai Musroh
akan memberitahu datuk
atau Haji Basilam untuk disampaikan kepada kami berdua (Saya
dan Andi Kamarool) tanpa
pengetahuan Syam.
Pagi pertama mendatangi rumah arwah isteri Syam, ternyata
tidak terdapat sebarang perubahan.
Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai masih banyak. Tidak
ada tanda-tanda akan
berkurangan. Malah anai- anai yang melata di lantai nampak
agresif sekali, bersedia menyerang
kami, andainya terpijak lantai yang dikuasainya. Pagi yang
kedua, keadaannya seperti pagi yang
pertama.
Pagi yang ketiga terdapat sedikit perubahan, jumlah serangga
mula berkurangan, tidak ganas
seperti pagi-pagi sebelumnya. Serangga yang menjijikkan itu
bagaikan muncul dari perut bumi
atau datang bersama hembusan angin. Pagi Keempat dan kelima
jumlahnya bertambah susut.
Pada pagi keenam, jumlahnya boleh dihitung dan pada pagi
yang ketujuh serangga tersebut tidak
kelihatan langsung. Hilang entah ke mana. Seolah-olah
hukuman itu telah berakhir untuk
keluarga Syam. Keikhlasan dan niat baik dihati Syam, agaknya
diberkati oleh Allah, maka ulatulat
pemakan bangkai dan anai-anai terus lenyap.
Pada sebelah petang hari yang ketujuh, Kiai Musroh mengajak
kami semua meninjau keadaan
sekitar kawasan rumah arwah isteri Syam. Terbayang kepuasan
di wajah Pak Kiai Musroh dan
dia yakin dengan kuasa Allah, kejadian yang menakjubkan itu
tidak akan hadir lagi dalam hidup
Syam.
"Jangan kamu lupa atau lalai membahagi-bahagikan harta
bekas isteri kamu seperti yang telah
diputuskan," Kiai Musroh renung muka Syam, dibawah
sinaz matahari petang yang kian
meredup.
Syam tunduk merenung tanah.
"Sesungguhnya, apa yang kita lihat mungkin merupakan
gambaran nyata hukuman bagi
seseorang yang sangat kedekut atau enggan menyumbangkan sedikit
hartanya untuk beramal ke
jalan Allah," Haji Basilam bersuara tenang.
"Entahlah, Wallah hu alam. Itu semuanya kerja Allah
yang maha mengetahui dan maha kuasa.
Tetapi, kamu semua nampak, keadaan rumah ini sudah seperti
sediakala."
"Iya, Pak Kiai," jawab kami serentak.
"Jadikan semuanya ini sebagai pedoman. Ingatlah, Allah
itu maha benar dengan segala janjijanjiNya.
Apa juga yang dikehendakinya akan nyata terjadi didepan mata
kita selaku makhluk
ciptaanNYA," kata kiai Musroh sambil mengajak kami
semua meninggalkan kawasan halaman
rumah arwah isteri Syam.
"Bila semua syarat sudah ditunaikan, bolehkah saya
tinggal di situ," sambil melangkah Syam
kemukakan pertanyaan.
"Sudah tentu boleh, tapi " Kiai Musroh berpaling
ke arah Haji Basilam. "Tapi dengan syarat,
kamu mesti bergaul dengan orang-orang kampung, selalu
berjemaah di masjid. Rajin bersedekah
ke jalan Allah," sambung Kiai Musroh.
"Lagi?" Datang lagi pertanyaan dari Syam.
"Buangkan semua barang-barang yang digunakan oleh bekas
isteri kamu sebagai tempat
pemujaan. Kalau kamu takut melakukannya, minta tolong pada
orang lain."
"Pada siapa Pak Kiai," Syam bagaikan tidak sabar.
"Dengan dua orang ini," jari telunjuk Kiai Musroh
menuding ke arah datuk dan Haji Basilam.
"Dengan izin Allah, kami bersedia membantunya,"
datuk meluahkan sebuah ikrar.
"Tolong dan bantu dia sebelum kamu balik ke tempat asal
kamu," sudah jelas kata-kata yang
dituturkan oleh Kiai Musroh untuk Datuk. Buktinya, sambil
bercakap Kiai Musroh terus
menepuk bahu datuk berkali-kali.
"InsyaAllah...." janji datuk yang disambut dengan
ceria oleh kawan- kawan dikelilingnya.
ARAHAN
MENGIKUT jadual berikutnya, (hari yang ketujuh belas) Syam
boleh tidur di rumah bekas
isterinya tanpa ditemani oleh sesiapa. Tetapi, atas
permintaan Syam serta arahan datuk, saya dan
Andi Kamarool diperintahkan supaya Syam bermalam di rumah
bekas isterinya selama satu
minggu. Macam selalu, arahan datuk tidak
ditentang.
Setiap pagi, bila pulang ke rumah penginapan. Saya terpaksa
berhadapan dengan Haji Basilam
dan datuk. Mesti menjawab segala pertanyaan yang diajukan
kepada kami.
Memang membosankan. Kenapa tidak ditanya kepada Syam?
Bukankah ini masalah dirinya?
Mengapa saya dan Andi Kamarool mesti terkena getahnya.
Sayangnya, persoalan itu hanya
berlegar-legar dalam nada, tidak pernah diluahkan kepada
datuk atau Haji Basilam.
Antara pertanyaan yang sering diajukan kepada kami pada
setiap pagi ialah:
"Apa yang kamu kamu berdua rasakan semasa berada di
dalam rumahnya waktu malam?"
"Apa benda-benda pelik yang menganggu kamu
berdua?" "Apakah Syam tidak buat perangai
yang menakutkan?"
"Dia tidak mengingau atau berjalan malam?"
"Ada tetamu malam yang tidak diundang datang?"
Jawapan pasti yang kami berikan atas pertanyaan tersebut
ialah: TIDAK ADA.
Memang benar, kami tidak mengalami sebarang kejadian yang
tidak diingini, semasa berada
dirumahnya sepanjang malam. Saya yakin (mungkin Andi
Kamarool juga sama seperti saya)
jawapan itu akan menamatkan tugas kami menemani Syam. Apa
yang saya harapkan tidak
menjadi kenyataan.
"Sambung tugas tu lagi," kata datuk.
Biji mata saya dan Andi Kamarool terbeliak. Tiba-tiba saja
saya rasakan dahi berpeluh dingin di
bawah sinar matahari pagi yang meninggi segalah. Memang
diluar dugaan, dipagi terakhir tugas,
menyusul pula azahan atau tugas baru.
"Sampai bila?" Tanya Andi Kamarool dalam nada
protes. "Dua minggu lagi."
"Dua minggu lagi," Andi Kamarool terkejut.
"Iya," angguk datuk.
Saya dan Andi kamarool saling berpandangan.
Bila saya alihkan pandangan ke arah Haji Basilam, dia
tersenyum lebar. Pasti dua manusia tua
dihadapan kami sudah berpakat, fikir saya dalam hati.
"Andi, Tamar dengan sini."
Lagi sekali wajah Haji Basilam jadi sasaran biji mata saya
dan Andi Kamarool. Macam selalu,
sebelum melanjutkan kata-kata dia senyum mesra ke arah kami.
"Ada apa Pak Haji," kami menyoal serentak.
Haji Basilam yang masih duduk di anak tangga ketiga
meluruskkan kaki kananya. Manakala
datuk yang berdiri disisi merenung ke arah matahari pagi
yang kian meninggi.
"Ini juga pengalaman, sesuatu yang baik untuk kamu berdua.
Bila banyak pengalaman boleh
dijadikan contoh teladan dalam hidup. Boleh dijadikan bahan
cerita untuk anak cucu kamu," kata
Haji Basilam yang diakhiri dengan ketawa kecil.
Sesungguhnya Andi Kamarool kurang senang dengan cara ketawa
Haji Basilam itu. Pada
pendapatnya, ada unsur-unsur mengejek. Andi Kamarool
menyatakan protesnya dengan
menjuihkan bibirnya ke depan.
ALASAN
TIDAK ada sebarang alasan yang boleh dikemukakan kepada
datuk bagi menolak perintah
barunya itu. Melainkan menerima sahaja dengan mengangguk,
tanda setuju sambil mensifatkan
perkara tersebut adalah sebuah cabaran yang mesti dijawab.
Syukur pada Allah, tempoh dua minggu yang ditetapkan, kami
lalui dengan aman dan jaya
sekali. Semuanya berjalan lancar. Syam makin berani, makin
percaya pada diri sendiri. Dia tidak
mahu kami menemaninya lagi, pada malam-malam berikutnya.
"Mula malam esok, tak payahlah Andi dan Tamar menemani
saya bermalam di rumah," secara
terang-terangan Syam memberitahu datuk dan Haji Basilam.
"Kamu berani?" Sergah Haji Basilam.
"Berani."
"Kamu tak takut, makhluk halus."
"Tidak."
"Habis apa yang kamu takut?"
"Apa yang saya a takut ialah Allah. Dia maha besar dan
berkuasa, padaNYA saya minta
perlindungan."
"Alhamdulillah," pekik Haji Basilam sambil meluru
ke arah Syam. Tubuh Syam dipeluknya
dengan kemas. Beberapa minit kemudian datuk
juga turut berbuat demikian.
Meskipun Syam sudah pulih dari gangguan makhluk halus,
akibat dari perbuatan bekas isterinya.
Datuk tidak mahu terburu-buru meninggalkan Syam. Hasrat hati
segera dinyatakan kepada Haji
Basilam.
"Kenapa? Kurang yakin dengan dirinya?"
"Hati aku macam keberatan meninggalkannya. Kalau aku
berbuat begitu macam ada sesuatu
yang tidak sempurna dalam tugas aku, macam ada sesuatu yang
buruk menanti," datuk berterus
terang dengan Haji Basilam.
"Jadi apa yang mahu sahabat lakukan?"
"Begini haji, aku nak duduk dua minggu lagi, agaknya
kamu tak marah rancangan aku ni."
"Kenapa nak marah kalau tujuannya baik, kurang tapak
tangan nyiru saya tadahkan," Haji
Basilam nampak serius.
"Dalam masa dua minggu itu, aku minta kamu membantu aku
mengawasi gerak- geri si Syam,
secara terperinci."
"Perkara itu, tidak menjadi masalah," kata Haji
Basilam sambil menepuk bahu datuk. Kemudian
serentak minum kopi petang yang saya sediakan.
Masa dua minggu itu dimanfaatkan oleh datuk dengan sebaik
mungkin. Dua puluh empat jam,
semua gerak-geri Syam diawasi dengan teliti. Rupa-rupanya
rancangan datuk itu direstui oleh
Kiai Musroh. Apa juga yang bakal dilakukan oleh mereka
bertiga (Datuk, Haji Basilam dan Kiai
Musroh) tidak dihebahkan kepada saya dan Andi Kamarool.
Dengan ditemani Haji Basilam, Kiai Musroh, Datuk sanggup
pergi ke rumah Syam menjelang
dinihari. Bertahan di situ hingga terbit bintang timur di
kaki langit. Mereka gembira sekali, Syam
sudah berubah.
Setiap malam bangun lalu melakukan sembahyang tahajud,
menjelang subuh membaca Quran.
Kemudian turun ke masjid berjemaah bersama orang-orang
kampung. Namanya, mula disebutsebut
sebagai manusia yang pemurah.
Besok berakhirlah tempoh yang ditetapkan oleh datuk. Dalam
rencana yang di atur, datuk akan
meninggalkan kampung halaman Syam, selepas sembahyang subuh
atau sebelum matahari pagi
terbit, menuju ke Sungai Penuh.
Dari situ bersama Haji Basilam akan menuju ke rumah Mia
(gadis harimau). Bagi melancazkann
perjalanan, ketua kampung dan Pak Imam
sudah pun mengatur kenderaan yang bakal digunakan.
DOA
MALAM itu, selepas sembahyang Isyak diadakan majlis doa
selamat jalan dengan jamuan bubur
kacang dan teh. Semuanya ini atas inisiatif ketua kampung
dan Pak Imam. Doa selamat dibaca
oleh Kiai Musroh.
"Sepatutnya, Haji Basilam tak perlu ikut mereka,
tinggallah disini dua tiga bulan lagi, ini
kampung laman awak. Buat apa ke mana-mana lagi," kata
ketua kampung.
"Saya ada hal dengan anak angkat saya si Mia,"
jawab Haji Basilam sambil menghirup kopi.
Serentak Pak Imam, Ketua kampung dan Kiai Musroh goyangkan
kepala. Mereka menerima
alasan yang diberikan oleh Haji Basilam.
Saya perhatikan, sejak dari sembahyang maghrib hingga ke
waktu Isyak. Syam bagaikan tidak
mahu berenggang dengan datuk dan Haji Basilam.
Wajahnya tidak begitu ceria. Tetapi, sering bertanya sesuatu
sama ada kepada datuk atau Haji
Basilam. Penduduk setempat yang ikut dalam majlis doa
selamat jalan itu, memperlihatkan sikap
ramah kepada saya dan Andi Kamarool, terutama pemuda yang
sebaya. Malah mereka secara
terang-terang menyatakan rasa senang hati terhadap saya dan
Andi Kamarool.
"Begini saja, orang yang mahu meninggalkan kampung ini,
diminta berdiri di muka pintu masjid.
Tujuannya, bukan apa-apa, bagi memudahkan orang yang berada
dalam masjid bersalaman,
sebaiknya mereka berdiri sederet," ketua kampung
menghamburkan cadangan.
"Satu cadangan yang baik, kami setuju," sahut
seorang jemaah dari sudut sebelah kanan masjid.
"Allah huakbar," kata seorang jemaah lagi lalu
disambut beramai- ramai oleh jemaah yang lain.
Saya lihat ketua kampung tersenyum puas. Anak buahnya tidak
menolak cadangan yang
dianjurkannya.
Di tengah-tengah gema suara takbir yang menguasai ruang
masjid, saya terus menyelinap
ditengah-tengah para jemaah menuju ke pintu masjid dan
berdiri di situ. Tidak lama kemudian,
datuk, Haji Basilam dan Andi Kamarool menyusul.
Seorang demi seorang para jemaah bersalaman dengan kami,
malah ada yang memeluk kami.
Semuanya mendoakan semoga perjalanan yang bakal kami lalui
akan terhindar dari sebarang
malapetaka. Akhirnya, ruang masjid terus kosong. Dan orang
terakhir menghulurkan salam
kepada datuk ialah ketua kampung.
"Semuanya sudah diaturkan, lepas subuh ada kereta yang
akan membawa kamu ke Sungai
Penuh," kata ketua kampung.
"Bagaimana dengan bayarannya?" Haji Basilam
bertanya, buat seketika ketua kampung kerutkan
dahi, renung ke arah Pak Imam dan Kiai Musroh yang berdiri
di sisinya. Bila ketua kampung
renung ke arah Syam, saya lihat Syam anggukkan kepala,
terukir senyum di kelopak bibir ketua
kampung.
"Semuanya ditanggung oleh si Syam, tugas saya cuma
mencarikan kereta saja."
"Dia tak mahu awak semua susah," Pak Imam
mencelah.
"Subuh nanti jemaah di masjid bersama kami," Kiai
Musroh renung muka Haji Basilam, seolaholah
minta sebuah kepastian yang tepat.
"Rasa-rasanya tidak, kami berjemaah di rumah,"
jawab Haji Basilam dengan rasa yakin.
"Kalau begitu, saya suruh drebar ambil awak di rumah,
elok saja satu kereta, awak duduk di
depan sebelah drebar," ketua kampung tepuk bahu kiri
datuk," Haji Basilam, Tamar dan Andi
Kamarool duduk di belakang," sambung ketua kampung. Dia
mengatur kami duduk dalam
kereta.
"Drebarnya orang muda ke atau orang tua?"
Pertanyaan saya itu membuat Pak Imam ketawa kecil.
"Kalau orang muda kenapa pula, kalau orang tua apa pula
lebihnya," Kiai Musroh menghalakan
pertanyaan kepada saya. Kemudian dia senyum sinis.
"Orang muda bawa laju, cepat naik darah tak fikir keselamatan
penumpang. Orang tua sabar
bawa kereta berhati-hati," itu alasan yang saya
berikan. Semuanya mengangguk. Alasan saya
memang lojik dan dapat diterima oleh semua pihak.
BERANGKAT
SETELAH menunaikan fardhu subuh, kami pun berangkat
meninggalkan kampung halaman
Syam. Pemandu kereta Fiat, berwarna merah hati,
memperkenalkan dirinya sebagai ADI
PUTRA, berusia sekitar lima puluhan. Berbadan kecil tetapi,
raut wajahnya membayangkan dia
seorang lelaki yang memiliki semangat waja.
Ada hubungan keluarga dengan Pak Imam. Anak saudara Pak Imam
jadi isterinya. Bekas pelaut
yang kini membuka kedai makan, kadangkala menjalankan
khidmat kereta sewa di kalangan
penduduk untuk perjalanan jauh. Tiada bayaran tetap yang
dikenakan. Terpulang pada
keikhlasan penyewa tetapi, minyak harus ditanggung oleh
penyewa.
Di pagi yang dingin dengan kabus tebal yang menutup puncak
gunung- ganang. Bukit-bukau
Tanah Kerinci, kereta terus dipandu dengan cermat dan
hati-hati oleh Adi Putra. Memang
mempesonakan melihat matahari pagi muncul dicelah-celah
pergunungan. Awan yang berarak
lembut, bagaikan emas terhampar akibat terkena pancaran
matahari yang kian membesar.